Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kebangkitan pemerintah baru Syria: Antara harapan rakyat, bayangan lama

Wujud tanda awal hasrat laksana pembaharuan, namun perlu pastikan perwakilan lebih bersifat terangkum
Apr 7, 2025 | 5:30 AM
Presiden sementara Syria, Encik Ahmed al-Sharaa (tiga dari kiri), menghadiri mesyuarat bagi mengumumkan pembentukan pemerintah  peralihan baru di Damsyik, Syria, pada 29 Mac. Beliau melantik 23 menteri bagi menganggotai Kabinet baru.
Presiden sementara Syria, Encik Ahmed al-Sharaa (tiga dari kiri), menghadiri mesyuarat bagi mengumumkan pembentukan pemerintah peralihan baru di Damsyik, Syria, pada 29 Mac. Beliau melantik 23 menteri bagi menganggotai Kabinet baru. - Foto EPA-EFE

DAMSYIK: Ketika fajar menyingsing pada hari terakhir Ramadan, Syria, menyaksikan satu perubahan penting dalam sejarahnya.

Selepas lebih lima dekad berada di bawah pemerintahan autoritarian, Encik Bashar al-Assad, rakyat Syria akhirnya bangkit kepada satu era baru – pemerintahan yang dibentuk oleh Presiden Sementara, Encik Ahmed al-Sharaa.

Namun begitu, di sebalik pelantikan 23 menteri dalam Kabinet baru itu, pelbagai persoalan masih berlegar di minda rakyat.

Adakah ini benar-benar permulaan bagi Syria yang bersifat terangkum dan demokratik, atau sekadar pengulangan kuasa oleh kelompok elit baru?

Kabinet yang diumumkan oleh Encik Sharaa pada malam 29 Mac dilihat sebagai jalan tengah antara tekanan dari dalam dengan luar negara.

Walaupun tujuh menteri adalah sekutunya daripada pentadbiran daerah Idlib yang pernah beliau ketuai, sembilan menteri lain merupakan tokoh bebas termasuk teknokrat, aktivis dan bekas pegawai rejim Encik Assad.

Pelantikan lima bekas tokoh rejim memberi isyarat bahawa kesinambungan pengalaman tetap dihargai, tetapi dengan semangat pembaharuan.

Antara menteri yang mencuri tumpuan ialah Cik Hind Kabawat, tokoh Kristian yang dilantik mengetuai Kementerian Hal Ehwal Sosial.

Walaupun beliau merupakan satu-satunya wanita dalam Kabinet, kehadirannya mewakili suara minoriti dan keazaman wanita Syria dalam era pembangunan semula negara.

“Tidak diragui, masih ada pihak yang berasa diri mereka tersisih,” kata Encik Abdy Yeganeh, Pengarah Dasar, Independent Diplomat – kumpulan penasihat diplomatik bukan meraih untung yang berusaha mewujudkan lebih keterangkuman – yang berpangkalan di London.

“Namun secara keseluruhan, ada rasa optimis yang berhati-hati dalam kalangan masyarakat sivil Syria,” tambah beliau.

Tekanan terhadap Encik Sharaa datang bukan sahaja daripada rakyat Syria, malah daripada masyarakat antarabangsa yang menjadikan keterangkuman sebagai syarat utama untuk memulihkan hubungan diplomatik dan mempertimbangkan pengurangan sekatan.

Keganasan sektarian yang meletus baru-baru ini di kawasan pantai Syria memperkuatkan lagi keperluan untuk pemerintah yang benar-benar mencerminkan kepelbagaian masyarakat negara itu.

“Mereka perlu memperluas lingkungan,” tegas Zamil Kanan di Institut Timur Tengah, Dr Ibrahim al-Assil, merujuk kepada dominasi kelompok kecil di sekeliling Encik Sharaa sejak Disember.

“Mereka tidak boleh mengurus negara ini secara bersendirian,” tambahnya.

Pemerintah sementara itu turut menampilkan tokoh berpengalaman seperti, mantan Menteri Pengangkutan yang berkelulusan dari Paris, Encik Yarab Badr, dan pakar ekonomi yang dilantik sebagai Menteri Ekonomi, Dr Nidal al-Shaar.

Malah, Menteri Kehakiman baru, Encik Madhhar al-Weys, pernah dipenjarakan oleh rejim Encik Assad.

Walaupun terdapat usaha untuk kelihatan lebih terangkum, beberapa pelantikan utama menunjukkan Encik Sharaa masih belum bersedia melepaskan sepenuhnya genggaman kuasa.

Kementerian Pertahanan, Luar Negeri dan Dalam Negeri masih kekal di bawah kawalan sekutu rapatnya.

Mantan ketua risikan beliau, Encik Anas Khattab, kini dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri, sekali gus menimbulkan kerisauan tentang pembaharuan sebenar dalam sektor keselamatan.

Dalam ucapannya, Encik Sharaa menegaskan hasratnya untuk menyatukan negara dan memulihkan martabat rakyat Syria.

“Bersama sebagai rakyat dan pemerintah, kita akan membina Syria yang kuat. Kita akan menghadapi kesukaran ini dan membentuk sebuah Syria yang layak untuk kita semua,” katanya.

Perisytiharan perlembagaan sementara yang diumumkan juga masih mengekalkan struktur presiden yang kuat, termasuk kuasa melantik hakim Mahkamah Agung dan satu pertiga Anggota Parlimen.

Walaupun perlembagaan itu memperkenalkan sistem pemisahan kuasa dan badan kehakiman bebas, ia masih mensyaratkan presiden mesti beragama Islam dan tidak secara jelas mengiktiraf kepelbagaian etnik secara menyeluruh.

Profesor undang-undang dari Universiti Damsyik, Dr Ibrahim Draji, menyambut baik tempoh had darurat selama tiga bulan dan sekatan ke atas kuasa tentera sebagai perlindungan daripada kembalinya pemerintahan diktator.

Namun, peguam dan pengasas Pusat Kewarganegaraan Setara, Encik Faeq Huaiji, membangkitkan kebimbangan bahawa tiada mekanisme semak dan imbang yang mencukupi terhadap presiden dalam perlembagaan sementara tersebut.

Sebahagian daripada pelantikan dalam Kabinet ini jelas ditujukan untuk memenuhi tuntutan luar.

Pelantikan seorang menteri Kurdi sebagai Menteri Pendidikan memberi harapan baru sistem pendidikan di bawah rejim Encik Assad yang berat sebelah akan diteliti semula.

Di samping itu, Ketua Pasukan Pertahanan Awam, Encik Raed al-Saleh, kini mengetuai Kementerian Pengurusan Bencana dan Kecemasan.

Langkah-langkah itu dijangka akan diteliti rapi oleh negara Arab dan Barat yang meletakkan keterangkuman sebagai syarat kepada pemulihan hubungan dan pengurangan sekatan.

Namun begitu, ia banyak bergantung kepada tindakan susulan Encik Sharaa dan keikhlasannya dalam melaksanakan pembahatuan yang menyeluruh.

Pemerintah sementara turut berhadapan tekanan geopolitik yang kompleks.

Tentera Turkey dan Israel masih aktif di wilayah Syria, manakala Russia mengekalkan kehadiran tenteranya di pangkalan udara di pesisir barat.

Amerika Syarikat pula memiliki 2,000 anggota tentera di timur laut Syria dan menyokong puak Kurdi.

Encik Sharaa juga diberi tekanan agar mengambil tindakan terhadap kumpulan militan Islam dan saki-baki rejim Encik Assad yang masih menimbulkan ancaman ketenteraman dalam negara.

Jika beliau gagal menangani isu itu dengan tuntas, harapan untuk membina Syria baru yang demokratik mungkin akan tergelincir.

Pembentukan pemerintah sementara itu adalah titik tolak penting dalam sejarah Syria moden.

Ia memberi isyarat awal kepada hasrat ke arah pembaharuan, tetapi turut menampakkan bayangan sistem lama yang masih belum lenyap sepenuhnya.

Apakah yang akan berlaku seterusnya banyak bergantung kepada keberanian Encik Sharaa untuk benar-benar membuka ruang kepada semua lapisan masyarakat – bukan hanya sekutunya.

“Syria baru hanya akan wujud jika suara setiap kelompok, setiap wanita, setiap minoriti dan setiap mangsa diberikan tempat dalam pentas pembinaan semula negara,” ujar Cik Kabawat. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg