Kematian Haji 2025 lebih rendah berbanding tahun sebelumnya
Kematian Haji 2025 lebih rendah berbanding tahun sebelumnya
RIYADH: Laporan awal menunjukkan jumlah kematian yang jauh lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya semasa pelaksanaan ibadah haji 2025.
Ibadah Haji yang berlangsung dari 4 hingga 9 Jun tahun ini menyaksikan penurunan ketara dalam angka kematian, sedangkan pada tahun-tahun lalu, ibadah ini sering kali mengakibatkan ribuan kematian akibat cuaca panas melampau dan kesesakan jemaah yang sukar dikawal.
Pada tahun 2025 ini, lebih daripada 1.6 juta jemaah menunaikan haji, jumlah yang paling rendah dalam tempoh 30 tahun, kecuali untuk tempoh pandemik Covid-19.
Walaupun jumlah kematian rasmi belum diumumkan, beberapa negara telah melaporkan jumlah kematian yang relatif rendah. Menurut laporan tempatan, seramai 175 jemaah dari Indonesia, 10 dari Malaysia, 13 dari Iran, dan tujuh dari Nigeria dilaporkan meninggal dunia.
Jumlah kematian dari negara lain termasuk Pakistan dan India, belum diumumkan.
Pada tahun 2024, seramai 1,300 orang meninggal dunia setelah suhu melebihi 51 darjah Celsius. Menurut Menteri Kesihatan Arab Saudi, Fahad Al-Jalajel, kematian tersebut disebabkan oleh “berjalan jauh di bawah terik matahari tanpa perlindungan atau keselesaan yang mencukupi.”
Waktu pelaksanaan Haji ditentukan oleh kalendar lunar Islam dan berubah setiap tahun, namun sejak 2015, Haji sering jatuh pada bulan-bulan paling panas di Arab Saudi. Penurunan drastik dalam jumlah kematian tahun ini mungkin menunjukkan bahawa langkah-langkah kawalan kerumunan yang diperkenalkan oleh kerajaan Arab Saudi telah berjaya.
Kerajaan Arab Saudi telah melabur besar dalam infrastruktur yang tahan panas, termasuk tempat perlindungan berpendingin udara, hospital lapangan, sistem kabus, stesen air mudah alih, dan melarang kanak-kanak di bawah umur 12 tahun daripada menunaikan haji.
Saudi juga telah menjalankan penguatkuasaan yang ketat terhadap sistem permit Haji, yang mengehadkan jumlah jemaah mengikut kuota negara. Pada tahun 2024, 83 peratus daripada mereka yang meninggal dunia tidak mempunyai permit rasmi, yang menghalang mereka daripada mengakses sistem penyejukan atau perkhidmatan kesihatan.
Sebelum Haji tahun 2025 ini, pihak berkuasa Arab Saudi menjalankan serbuan dan menggunakan pengawasan dron untuk mengenal pasti jemaah yang tidak berdaftar dan menangguhkan pembekal perjalanan yang tidak sah.
Papan iklan, media, dan mesej teks besar memberi amaran kepada jemaah: “Tiada Haji tanpa permit.” Pada 1 Jun, pihak berkuasa melaporkan berjaya menghalang hampir 270,000 jemaah yang tidak berdaftar daripada memasuki Makkah. Mereka yang memasuki kota secara haram berisiko dikenakan denda, diusir, dan dilarang masuk ke negara itu selama 10 tahun.
Sebagai cabang pelaksana Suruhanjaya Diraja untuk Makkah dan Tapak Suci, Syarikat Pembangunan Kidana (Kidana) melaksanakan perkhidmatan bersepadu yang saling berkaitan untuk menjadikan perjalanan di Tanah Suci satu pengalaman yang selamat dan selesa, membolehkan jemaah haji menunaikan ibadah dengan mudah melalui sistem perkhidmatan menyeluruh yang mampan dan fleksibel.
Dengan mengutamakan projek pembangunan, inisiatif pengurangan tekanan haba Kidana di laluan pejalan kaki di Arafah dan Mina, serta sistem penyejukan di sekitar Jabal Al-Rahmah dan Masjid Namirah, berjaya mengurangkan sebanyak 90 peratus kes tekanan haba musim Haji kali ini, menurut Kementerian Kesihatan Arab Saudi.
Agensi Berita Arab Saudi (SPA) melaporkan, sepanjang musim Haji 1446H, Kidana melaksanakan lebih 22 projek untuk meningkatkan persekitaran di Tanah Suci, dengan penekanan kepada penambah baikan infrastruktur, kelancaran aliran jemaah dan mencipta pengalaman haji yang lebih tersusun.
Kidana mengagihkan lebih 4,500 penyejuk air dan pancuran minuman di seluruh kawasan Tanah Suci, sekali gus meningkatkan keselesaan sepanjang perjalanan haji.
Tempat rehat yang ditempatkan secara strategik di sepanjang laluan pejalan kaki turut disediakan untuk memberi ruang jemaah berehat dan memulihkan tenaga.
Selain itu, Kidana menghasilkan dan mengedarkan sejuta risalah kesedaran dalam sembilan bahasa untuk membimbing jemaah semasa melontar jamrah, serta memasang 6,300 papan tanda maklumat bagi mendidik pengunjung tentang Tanah Suci.
Musim Haji kali ini juga menyaksikan kesiapsiagaan kesihatan dan kecemasan dipertingkat melalui projek Hospital Kecemasan Mina, yang dilengkapi dengan jambatan dan eskalator elektrik yang menghubungkan ke laluan utama bagi respons kecemasan pantas.
Sistem ini turut merangkumi 71 titik penghantaran ambulans untuk tindakan pantas dan 14 unit rawatan kecemasan yang ditempatkan secara strategik bagi menyediakan rawatan kritikal semasa waktu puncak.
SPA turut melaporkan yang Kidana menaik taraf sistem penginapan di Mina dengan memperkenalkan khemah dua tingkat untuk menambah kapasiti.
Syarikat itu juga memasang eskalator elektrik baru untuk memudahkan pergerakan jemaah warga emas dan membangunkan lebih 100 unit komersial di seluruh kawasan Tanah Suci bagi meningkatkan pengalaman keseluruhan jemaah. - Agensi berita

