WASHINGTON: Kemenangan besar Parti Demokrat dalam pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat bukan sahaja menggugat kedudukan politik Presiden Donald Trump, malah berpotensi mengubah percaturan kuasa di Timur Tengah.

Perubahan berlaku ketika rantau itu masih bergelut dengan peperangan, ketegangan keselamatan dan ketidaktentuan ekonomi.

Penguasaan Demokrat terhadap Dewan Perwakilan dan Senat selepas pilihan raya 3 November memberi isyarat bahawa dasar luar Encik Trump, khususnya perang terhadap Iran dan hubungan Washington dengan Israel, bakal menghadapi penelitian lebih ketat.

Namun, perubahan politik itu tidak semestinya membawa keamanan segera.

Beberapa penganalisis memberi amaran bahawa kekalahan Republikan mungkin mendorong Encik Trump mengambil tindakan ketenteraan lebih agresif bagi menunjukkan beliau masih mampu menentukan hala tuju dasar luar Amerika.

Pada masa yang sama, kemenangan Dr Abdul El-Sayed sebagai senator Islam pertama Amerika memperlihatkan perubahan dalam landskap politik Amerika, apabila suara masyarakat Arab dan Islam yang menuntut dasar lebih adil terhadap Palestin semakin mendapat tempat.

Persoalan utama kini bukan sekadar sama ada Demokrat mampu menyekat Encik Trump, tetapi sejauh manakah perubahan kuasa di Washington boleh mempengaruhi keputusan mengenai perang Iran, bantuan ketenteraan kepada Israel dan hubungan dengan negara Arab.

Perang makan diri

Antara faktor yang membayangi kekalahan Republikan ialah perang terhadap Iran, yang semakin membebankan rakyat Amerika melalui kenaikan harga minyak, kos pengangkutan dan harga barangan.

Konflik yang berlaku beribu-ribu kilometer dari tanah air mereka kini menjadi isu ekonomi domestik yang dirasakan dalam kehidupan harian.

Menurut analisis Institut Antarabangsa bagi Kajian Strategik (IISS), kos sara hidup kekal antara kebimbangan utama pengundi, tetapi perang Iran turut menjadi faktor penting yang menjejas sokongan terhadap pentadbiran Encik Trump.

Keadaan itu menunjukkan bahawa dasar luar yang sebelum ini dianggap terpisah daripada politik domestik kini mempunyai pengaruh langsung terhadap keputusan pilihan raya.

Encik Trump mempertahankan tindakan ketenteraan terhadap Iran sebagai usaha melindungi keselamatan Amerika dan sekutunya.

Namun, apabila peperangan berlarutan tanpa penyelesaian jelas, pengundi mula mempersoal sama ada manfaatnya setimpal dengan kos yang ditanggung.

Lebih membimbangkan Republikan, kritikan terhadap perang bukan lagi datang daripada Demokrat semata-mata.

Dalam kalangan penyokong Encik Trump sendiri, timbul persoalan sama ada penglibatan ketenteraan berpanjangan di Timur Tengah bercanggah dengan janji beliau untuk mengutamakan kepentingan rakyat Amerika.

Keadaan itu meletakkan Encik Trump dalam kedudukan sukar.

Jika peperangan diteruskan, beliau berisiko menghadapi tekanan ekonomi dan politik lebih besar.

Namun, jika berundur tanpa mencapai matlamat yang diumumkan, langkah itu boleh dianggap sebagai kegagalan dasar luar.

Trump mungkin pilih tindakan lebih keras

Pengarah Kanan Program Timur Tengah Majlis Atlantik, Encik William F. Wechsler, memberi amaran bahawa kekalahan Republikan mungkin melambatkan tindakan ketenteraan baharu terhadap Iran, tetapi tidak semestinya menghalangnya.

Menurut beliau, Encik Trump masih mempunyai kuasa besar sebagai ketua angkatan tentera Amerika walaupun Demokrat bakal menguasai Kongres.

Malah, Encik Trump mungkin menganggap perjanjian diplomatik yang tidak memberikan kemenangan jelas kepada Washington sebagai bukti bahawa peperangannya gagal mencapai matlamat.

Dalam keadaan itu, beliau mungkin terdorong melancarkan serangan baharu bagi memaksa Teheran menerima tuntutan Amerika.

Pengarah Kanan Inisiatif Keselamatan Timur Tengah Majlis Atlantik, Encik Jonathan Panikoff, turut memberi amaran bahawa tempoh sebelum Kongres baharu bersidang pada 3 Januari 2027 boleh menjadi masa paling berbahaya.

Ini kerana Republikan masih menguasai Kongres sedia ada, sekali gus memberikan Encik Trump ruang politik lebih luas untuk bertindak sebelum Demokrat mengambil alih.

Bagaimanapun, penganalisis lain melihat kemungkinan berbeza.

Sebahagian kerajaan negara Teluk percaya kekalahan Republikan memberikan Encik Trump alasan lebih kuat untuk mencari penyelesaian diplomatik, sekali gus mengurangkan risiko peperangan lebih besar.

Perbezaan pandangan itu memperlihatkan betapa sukar meramalkan langkah Encik Trump ketika beliau berdepan tekanan politik domestik dan tuntutan keselamatan daripada sekutunya.

Harapan baharu untuk Palestin

Di sebalik kemenangan besar Demokrat, kejayaan Dr El-Sayed sebagai senator Islam pertama Amerika turut membawa makna penting kepada Timur Tengah, khususnya Palestin.

Ahli politik berusia 42 tahun berketurunan Mesir itu menewaskan calon Republikan, Encik Mike Rogers, di Michigan, wilayah yang mempunyai masyarakat Arab dan Islam yang besar.

Kemenangannya bukan sekadar mencatat sejarah, malah menunjukkan bahawa calon yang lantang mengkritik Israel dan menentang bantuan ketenteraan tanpa syarat masih mampu mendapat sokongan pengundi Amerika.

Lebih penting, kejayaan Dr El-Sayed dicapai walaupun beliau menghadapi tentangan kuat daripada kumpulan pelobi pro-Israel, Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika-Israel (Aipac).

Menurut majalah hal ehwal antarabangsa Amerika, Foreign Policy, Aipac membelanjakan sekurang-kurangnya AS$30 juta ($38.4 juta) bagi menyokong pencabarnya dalam pemilihan calon Demokrat, sebelum turut membantu usaha menentangnya dalam pilihan raya umum.

Kemenangan itu menunjukkan bahawa pendirian tegas terhadap dasar Israel tidak lagi semestinya menjadi penghalang kepada seseorang calon untuk memenangi pilihan raya Amerika.

Dr El-Sayed menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza dan mengamalkan dasar aparteid di Tebing Barat.

Beliau turut menyokong rancangan Encik Trump menghentikan bantuan ketenteraan kepada Israel, tetapi mahu Washington melangkah lebih jauh dengan menghentikan penjualan senjata yang boleh digunakan untuk mencabuli hak asasi manusia.

Pendirian Dr El-Sayed juga tidak terhad kepada Israel.

Beliau mahu bantuan ketenteraan tanpa syarat kepada negara Timur Tengah lain, termasuk Mesir dan Arab Saudi, dinilai semula.

Ini bermakna pengaruh politiknya berpotensi mencetuskan perdebatan lebih luas mengenai hubungan keselamatan Washington dengan sekutu Arab.

Bagaimanapun, seorang senator tidak mampu mengubah dasar luar Amerika secara bersendirian.

Pengaruh Dr El-Sayed bergantung kepada kemampuannya meraih sokongan anggota Kongres, khususnya blok Demokrat yang semakin kritikal terhadap bantuan ketenteraan kepada Israel.

Penganalisis Pusat Arab Washington DC, Encik Yousef Munayyer, melihat kemenangan calon seperti Dr El-Sayed sebagai petunjuk bahawa pengaruh politik Aipac mungkin semakin dicabar.

Bagi Palestin, perkembangan itu belum menjamin perubahan dasar Washington dalam masa terdekat.

Namun, ia menunjukkan bahawa suara yang menuntut hak rakyat Palestin kini semakin mendapat tempat dalam institusi politik tertinggi Amerika.

Negara Teluk bimbang konflik berpanjangan

Kesan kemenangan Demokrat turut dirasai negara Arab Teluk, khususnya Arab Saudi, Qatar dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Negara-negara itu mempunyai hubungan keselamatan rapat dengan Washington, tetapi kian bimbang terhadap risiko peperangan lebih besar dengan Iran.

Gangguan perkapalan di Selat Hormuz dan ancaman terhadap kemudahan tenaga boleh menjejas ekonomi mereka.

Bagi negara Teluk, keutamaan utama bukan menentukan siapakah yang menang atau kalah dalam pertikaian Washington-Teheran, sebaliknya memastikan konflik tidak merebak sehingga mengancam keselamatan dan kestabilan ekonomi.

Penganalisis Pusat Arab Washington DC, Dr Jim Krane, mengingatkan bahawa pemulihan pasaran tenaga tidak akan berlaku serta-merta walaupun ketegangan ketenteraan berkurangan.

Gangguan bekalan, kerosakan prasarana dan ketidaktentuan perkapalan boleh terus mengekalkan tekanan terhadap harga minyak.

Pada masa yang sama, negara Teluk mungkin perlu menyesuaikan pendekatan diplomatik dengan menjalin hubungan lebih rapat bersama pemimpin Demokrat di Kongres.

Kebergantungan kepada hubungan peribadi dengan Encik Trump sahaja tidak lagi mencukupi apabila Kongres mempunyai kuasa lebih besar untuk meneliti penjualan senjata dan peruntukan pertahanan.

Menurut pertubuhan penyelidikan dan badan pemikir bebas yang berpangkalan di New York City, The Soufan Center, perang Iran juga telah mengubah andaian keselamatan yang selama ini menjadi asas hubungan negara Teluk dengan Washington.

Negara-negara itu dijangka memperluas kerjasama keselamatan dengan rakan serantau dan kuasa luar, walaupun hubungan pertahanan dengan Amerika kekal penting.

Demokrat belum tentu mampu sekat Trump

Walaupun Demokrat merampas kedua-dua dewan Kongres, kemampuan mereka mengubah dasar luar Amerika masih mempunyai batasan.

Kongres mempunyai kuasa meluluskan perbelanjaan pemerintah, meneliti penjualan senjata, melancarkan siasatan dan memanggil pegawai pentadbiran memberikan keterangan.

Senat juga boleh menyekat pelantikan pegawai kanan diplomatik dan keselamatan.

Namun, Encik Trump masih mempunyai kuasa luas dalam mengendalikan dasar luar serta operasi ketenteraan.

Demokrat juga tidak mempunyai majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk mengatasi veto presiden.

Mantan diplomat kanan Amerika, Encik Ryan Crocker, yang kini menjadi zamil diplomatik Institut Timur Tengah, berpendapat kuasa belanjawan akan menjadi senjata politik paling berkesan bagi Demokrat.

Beliau menjangkakan permintaan Pentagon untuk membiayai perang Iran menjadi antara medan pertembungan utama apabila Kongres baharu bersidang.

Bagaimanapun, Encik Brian Katulis, daripada Institut Timur Tengah mengingatkan bahawa kemenangan Demokrat tidak semestinya menghasilkan perubahan besar dalam dasar Timur Tengah.

Menurut beliau, Kongres selama ini telah menyerahkan terlalu banyak kuasa dasar luar kepada presiden, manakala Demokrat sendiri belum mempunyai pendekatan alternatif yang benar-benar sepakat terhadap Iran.

Selain itu, parti tersebut perlu memberikan perhatian kepada pelbagai isu domestik, termasuk kos sara hidup, penjagaan kesihatan dan imigresen.

Ini bermakna perubahan dasar Timur Tengah mungkin berlaku secara berperingkat, bukannya melalui keputusan mendadak.

Dua kemungkinan

Menjelang Kongres baharu mengambil alih pada Januari, Timur Tengah kini berdepan dua kemungkinan yang sangat berbeza.

Pertama, tekanan politik terhadap Encik Trump boleh mempercepat usaha diplomatik bagi menamatkan perang Iran dan mengurangkan ketegangan dengan Israel.

Kedua, Encik Trump mungkin menggunakan tempoh sebelum Demokrat mengambil alih untuk meningkatkan tekanan ketenteraan terhadap Teheran bagi mendapatkan kemenangan yang boleh ditonjolkan kepada rakyat Amerika.

Kedua-dua kemungkinan itu membawa risiko tersendiri.

Perjanjian yang terlalu tergesa-gesa mungkin gagal menyelesaikan pertikaian nuklear Iran dan kebimbangan keselamatan negara Teluk.

Sebaliknya, serangan ketenteraan baharu boleh mencetuskan tindak balas yang mengganggu pasaran minyak dunia dan mengancam kestabilan rantau itu.

Dalam jangka panjang, keputusan pilihan raya pertengahan penggal menunjukkan bahawa campur tangan ketenteraan Amerika di Timur Tengah kini semakin sukar dipisahkan daripada tekanan politik dan ekonomi di dalam negara.

Pada masa sama, kemenangan Dr El-Sayed memperlihatkan bahawa sokongan tanpa syarat kepada Israel tidak lagi boleh dianggap sebagai pendirian politik yang tidak boleh dicabar.

Namun, perubahan itu belum bermakna Washington akan meninggalkan sekutu tradisionalnya atau mengambil pendekatan baharu terhadap Palestin dalam masa terdekat.

Seperti yang diingatkan penganalisis Encik Katulis, walaupun Kongres baharu dijangka lebih aktif dalam isu Iran dan Timur Tengah, kuasanya tetap terbatas kerana begitu banyak keputusan dasar luar kini berada di tangan presiden. – Agensi berita.

“

Persoalan utama kini bukan sekadar sama ada Demokrat mampu menyekat Encik Trump, tetapi sejauh manakah perubahan kuasa di Washington boleh mempengaruhi keputusan mengenai perang Iran, bantuan ketenteraan kepada Israel dan hubungan dengan negara Arab.
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti