Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketegangan memuncak, ancaman nuklear dijadikan alasan Israel lancar serangan ke atas Iran

Jun 13, 2025 | 11:00 AM
Foto edaran saluran rasmi Telegram Sepah News milik Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pada 13 Jun 2025, dipercayai menunjukkan kepulan asap tebal dari sebuah lokasi yang disasarkan dalam serangan udara Israel di ibu negara Iran, Teheran, awal pagi 13 Jun. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dalam satu kenyataan video pada awal pagi 13 Jun, mengesahkan bahawa Israel telah melancarkan serangan ke atas Iran dan menyatakan bahawa operasi ketenteraan terhadap republik Islam itu akan “diteruskan selama mana yang diperlukan.”
Foto edaran saluran rasmi Telegram Sepah News milik Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pada 13 Jun 2025, dipercayai menunjukkan kepulan asap tebal dari sebuah lokasi yang disasarkan dalam serangan udara Israel di ibu negara Iran, Teheran, awal pagi 13 Jun. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dalam satu kenyataan video pada awal pagi 13 Jun, mengesahkan bahawa Israel telah melancarkan serangan ke atas Iran dan menyatakan bahawa operasi ketenteraan terhadap republik Islam itu akan “diteruskan selama mana yang diperlukan.” - Foto AFP

TEL AVIV: Tindakan berani Israel yang melancarkan serangan udara ke atas beberapa sasaran strategik di Iran disifatkan oleh Tel Aviv sebagai langkah “serangan pendahuluan” untuk menangkis apa yang didakwa sebagai ancaman berterusan dari Iran terhadap keselamatan Israel.

Namun, pemerhati antarabangsa mempersoalkan justifikasi serangan tersebut, memandangkan tiada bukti konkrit bahawa Iran sedang merancang serangan ke atas Israel ketika itu.

Menurut kenyataan rasmi Tentera Pertahanan Israel (IDF), serangan udara itu dilakukan “sebagai tindak balas terhadap tindakan agresif berterusan rejim Iran terhadap Israel.” Kenyataan itu juga menyebut bahawa serangan ini hanyalah “tahap pertama” daripada satu siri operasi yang lebih besar.

Seorang pegawai kanan tentera Israel yang menyatakan kepada media secara tertutup menjelaskan bahawa serangan itu menyasarkan beberapa lokasi penting yang dikaitkan dengan program nuklear Iran serta sistem peluru berpandu jarak jauhnya.

“Maklumat perisikan kami menunjukkan bahawa Iran kini berada pada fasa akhir membangunkan senjata nuklear secara rahsia. Mereka berpotensi menghasilkan sehingga 15 bom nuklear dalam masa beberapa hari,” dakwanya. Namun begitu, tiada bukti kukuh atau butiran lanjut dikemukakan bagi menyokong kenyataan tersebut.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dalam satu kenyataan video yang disiarkan ke seluruh negara, menyifatkan program nuklear Iran sebagai “ancaman nyata dan segera terhadap kelangsungan hidup Israel.” Beliau turut mendedahkan bahawa sasaran serangan termasuk kemudahan pengayaan uranium utama Iran di Natanz serta beberapa orang saintis nuklear kanan republik itu.

Sementara itu, Amerika Syarikat menafikan sebarang penglibatan dalam serangan tersebut. Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, berkata dalam kenyataan rasmi bahawa Washington “tidak terlibat dalam serangan ke atas Iran.” Namun, beliau mengesahkan bahawa Israel telah memaklumkan kepada pihaknya tentang rancangan tersebut. “Israel memaklumkan bahawa tindakan ini perlu bagi mempertahankan diri mereka,” katanya.

Encik Rubio turut memberi amaran keras kepada Iran agar tidak mengambil tindakan balas terhadap kepentingan atau kakitangan Amerika di Timur Tengah. “Iran tidak seharusnya menyasarkan kepentingan atau personel Amerika,” tegas beliau.

Ketegangan ini berlaku ketika Presiden Donald Trump dan Encik Netanyahu berselisih pendapat tentang pendekatan terhadap Iran. Encik Trump dilaporkan berulang kali menggesa Israel agar tidak mengambil tindakan ketenteraan sementara rundingan diplomatik nuklear antara Amerika dan Iran masih berjalan.

“Saya rasa jika Israel menyerang, ia akan merosakkan peluang diplomasi,” kata Encik Trump beberapa jam sebelum serangan dilancarkan. “Atau mungkin membantu, tetapi ia juga boleh menghancurkannya,” tambah beliau.

Amerika telah menarik balik diplomatnya dari Iraq dan membenarkan keluarga anggota tentera meninggalkan beberapa lokasi di Timur Tengah. Kapal pengangkut pesawat USS Carl Vinson yang dilengkapi jet F-35 kini berada di Laut Arab sebagai sebahagian daripada kesiapsiagaan tentera Amerika.

Konflik antara Israel dan Iran telah berlarutan selama bertahun-tahun, berpunca daripada sokongan Iran terhadap kumpulan militan seperti Hamas dan Hezbollah serta program nuklearnya yang mencetuskan kebimbangan Israel dan sekutunya.

Sejak 2019, Israel telah melancarkan serangan ke atas sasaran Iran dan sekutunya di Syria, Lebanon, dan Iraq bagi menghalang penyaluran senjata ke rantau tersebut, termasuk serangan terhadap kapal-kapal Iran di Laut Mediterranean dan Laut Merah.

Ketegangan meningkat pada tahun-tahun berikutnya, termasuk pembunuhan saintis nuklear Iran, Mohsen Fakhrizadeh pada 2020 dan Kolonel Sayad Khodayee pada 2022, yang kedua-duanya disyaki didalangi Israel.

Serangan saling membalas turut berlaku di laut dan di darat, termasuk serangan terhadap kapal, serangan udara di Syria, dan siri pembunuhan yang melibatkan pegawai kanan Iran serta pemimpin Hamas dan Hezbollah. Serangan militan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 menjadi titik kemuncak, mencetuskan perang di Gaza dan reaksi ketenteraan berangkai dari pelbagai pihak yang disokong Iran.

Pada 2024, Israel meningkatkan serangannya, termasuk menghancurkan bangunan kedutaan Iran di Damsyik dan membunuh beberapa komander utama Iran, yang mendorong Iran melancarkan lebih 300 dron dan peluru berpandu ke Israel, walaupun kebanyakannya berjaya dipintas.

Kini, pada 2025, Israel kembali melancarkan serangan ke atas sasaran strategik Iran dengan alasan mencegah ancaman nuklear, meskipun Presiden Trump secara terbuka bimbang bahawa tindakan tersebut boleh menggagalkan rundingan diplomatik sedia ada. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg