TEHERAN: Ketiadaan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, daripada sebarang kemunculan awam selama hampir seminggu telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat dan elit politik negara itu, khususnya ketika Iran sedang berdepan krisis terbesar sejak beberapa dekad lalu.
Dalam siaran langsung televisyen nasional, seorang pengacara bertanya secara langsung kepada seorang pegawai kanan pejabat Khamenei:
“Rakyat sangat bimbang dengan keadaan pemimpin tertinggi. Boleh anda jelaskan bagaimana keadaan beliau?”
Pegawai tersebut, Ecik Mehdi Fazaeli, yang mengetuai Pejabat Arkib Ayatollah Khamenei, tidak memberikan jawapan jelas.
Sebaliknya, beliau hanya berkata bahawa beliau sendiri telah menerima banyak pertanyaan dan menggesa orang ramai agar “terus berdoa”.
“Pihak yang bertanggungjawab melindungi pemimpin tertinggi sedang menjalankan tugas mereka dengan baik. Insya-Allah, rakyat kita akan menyambut kemenangan bersama pemimpin mereka,” katanya seperti yang dilapor akhbar, The New York Times.
Walaupun Iran sedang melalui detik getir termasuk serangan udara Amerika Syarikat terhadap tiga kemudahan nuklearnya, serangan balas peluru berpandu Iran ke atas pangkalan Amerika di Qatar, serta gencatan senjata mengejut antara Iran dengan Israel, Ayatollah Khamenei kekal membisu tanpa sebarang kenyataan rasmi.
Beberapa pegawai keselamatan berkata pemimpin berusia 86 tahun itu kini berlindung di sebuah lokasi rahsia dan tidak menggunakan sebarang saluran komunikasi elektronik bagi mengelakkan cubaan membunuhnya.
Ketiadaan Ayatollah Khamenei menimbulkan pelbagai spekulasi, termasuk sama ada beliau masih terlibat dalam membuat keputusan penting.
Editor akhbar harian Khaneman, Encik Mohsen Khalifeh, meluahkan kebimbangan secara terbuka.
“Kehilangan beliau selama beberapa hari ini amat meresahkan kami yang menyayangi beliau,” katanya.
Sebagai pemimpin tertinggi dan panglima angkatan bersenjata Iran, sebarang keputusan seperti serangan terhadap pangkalan Amerika atau rundingan gencatan senjata tidak mungkin berlaku tanpa restu Ayatollah Khamenei.
Namun, tidak ada sebarang pengesahan rasmi bahawa beliau terlibat secara langsung.
Menurut penganalisis politik Encik Hamzeh Safavi, anak kepada Jeneral Yahya Safavi, pihak keselamatan percaya Israel mungkin masih cuba membunuh pemimpin Iran itu walaupun gencatan senjata telah diumumkan.
“Keselamatan beliau diutamakan, dan pengurusan negara kini mula dikongsi bersama pemimpin lain seperti Presiden Masoud Pezeshkian,” katanya.
Walaupun begitu, Encik Safavi yakin Ayatollah Khamenei masih memberikan panduan dan keputusan dari jauh.
Namun, sokongan awam tetap bergantung kepada kemunculan fizikal pemimpin itu.
“Kemenangan tidak akan dirasai penuh selagi suara atau wajah pemimpin belum muncul,” kata seorang penyokong Ayatollah Khamenei di media sosial.
Empat pegawai kanan Iran mengesahkan bahawa dalam ketiadaan Ayatollah Khamenei, pakatan politik dan ketenteraan mula terbentuk, dengan pelbagai pandangan mengenai hala tuju dasar nuklear dan hubungan dengan Amerika.
Blok kepimpinan yang menyokong pendekatan diplomasi kini dilihat semakin berpengaruh.
Kumpulan itu merangkumi Presiden Pezeshkian, Ketua Kehakiman Gholam-Hossein Mohseni-Ejei, serta Panglima Angkatan Tentera yang baru, Mejar Jeneral Abdolrahim Mousavi.
Dalam mesyuarat Kabinet pada 25 Jun, Encik Pezeshkian menyeru perubahan dalam corak pentadbiran negara.
“Perang ini dan perpaduan rakyat telah membuka peluang untuk kita menilai semula cara kita mentadbir dan sikap para pegawai. Ini adalah peluang emas untuk perubahan,” katanya.
Sebagai usaha menaikkan semangat nasional, satu konsert orkestra simfoni diadakan di Dataran Azadi di Teheran, disusuli pertunjukan cahaya menayangkan wajah-wajah petugas kecemasan.
Namun, blok konservatif yang dipimpin oleh, Encik Saeed Jalili, menentang pendekatan diplomatik itu.
Encik Jalili dan penyokongnya mengkritik rundingan gencatan senjata sebagai “kejutan tanpa legitimasi”, dan menyelar sebarang usaha untuk menyambung rundingan nuklear dengan Amerika.
Penganalisis politik konservatif, Encik Foad Izadi, mendakwa Presiden Pezeshkian “tidak mempunyai keupayaan politik” untuk memimpin negara dalam keadaan genting.
Ketua Komunikasi Presiden, Encik Ali Ahmadnia, membalas di media sosial: “Kita baru selesai bertempur dengan Israel selama 12 hari. Jangan pula kita perlu bertempur dengan kamu yang hanya tahu membantu musuh melalui penulisan.”
Walaupun belum ada pengesahan mengenai keadaan sebenar Ayatollah Khamenei, ramai berpendapat bahawa kelangsungan rejim bergantung kepada kemunculannya menjelang perarakan Ashura yang akan berlangsung pada awal Julai.
“Jika Ayatollah Khamenei tidak muncul menjelang Asyura, itu petanda buruk. Beliau perlu memperlihatkan dirinya,” kata Encik Sanam Vakil, dari Chatham House.
Sementara itu, pemerintah Iran telah merombak struktur ketenteraan secara besar-besaran, susulan kehilangan beberapa jeneral kanan akibat serangan Israel pada 13 Jun.
Rombakan itu dianggap penting untuk memastikan kesinambungan kepimpinan pertahanan negara.
“Pengorbanan para syuhada tidak akan melemahkan perjuangan.
“Pengganti mereka sudah pun mengambil alih tanggungjawab,” kata Ayatollah Khamenei. dalam kenyataan ringkas yang dikeluarkan sebelum beliau menghilang daripada khalayak umum. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg