DAMSYIK: Sekatan ‘Caesar’ yang selama ini mengekang hampir seluruh kegiatan ekonomi Syria berada di ambang pemansuhan, selepas penggubal undang-undang Amerika Syarikat memasukkan klausa penghapusannya dalam rang undang-undang pertahanan tahunan (NDAA) yang bakal diundi dalam beberapa hari lagi.
Langkah itu dilihat sebagai titik perubahan penting bagi Syria dan diumum serentak dengan sambutan besar-besaran di seluruh Syria ketika rakyat memperingati ulang tahun pertama penggulingan mantan Presiden Bashar al-Assad pada 8 Disember.
Sekatan ‘Caesar’, yang berkuat kuasa pada 2020, merupakan rejim hukuman paling tegas pernah dikenakan terhadap Damsyik.
Undang-undang itu menyasarkan kerajaan Assad, sekutunya dan mana-mana syarikat sejagat yang melakukan urus niaga dengan sektor strategik Syria termasuk kewangan, tenaga dan pembinaan.
Ia dinamakan sempena ‘Caesar’ – pembelot tentera Syria yang menyalurkan ribuan gambar penyeksaan tahanan politik.
Tujuan sekatan itu adalah jelas iaitu melumpuhkan sumber dana Assad dan menekan rejim agar menghentikan kekejaman terhadap orang awam.
Namun, kesannya turut menjerut ekonomi rakyat biasa, menghalang pelaburan luar dan menggagalkan usaha pembinaan semula.
Presiden kini Syria, Encik Ahmad al-Sharaa, berikrar negaranya sedang memasuki fasa baru pembinaan semula “yang sesuai dengan masa kini dan masa lalunya,” sempena ulang tahun pertama beliau mengambil alih tampuk kepimpinan, lapor agensi berita Turkey, Anadolu Ajansi (AA), memetik media tempatan.
Dalam ucapannya selepas menunaikan solat subuh di Masjid Umayyad di Damsyik, Encik Sharaa, yang mengenakan pakaian seragam tentera memberitahu rakyat Syria dengan berkata:
“Tiada sesiapa, tidak kira betapa hebatnya, dapat menghalang kita. Tiada halangan akan menghentikan kita dan bersama-sama, kita akan menghadapi setiap cabaran, insya-Allah.”
Encik Sharaa mengisytiharkan negara itu kini memasuki fasa “keadilan dan kewujudan bersama”.
Dalam ucapannya di Damsyik, beliau berkata: “Kita menutup tirai era kezaliman dan beralih kepada fajar yang lebih adil, berasaskan perdamaian dan tanggungjawab bersama.”
Encik Assad, yang memimpin Syria selama hampir 25 tahun, melarikan diri ke Russia pada Disember 2024, menamatkan pemerintahan Parti Baath yang berkuasa sejak 1963.
Pentadbiran peralihan baru Encik Sharaa dibentuk pada Januari.
Rakyat Syria membanjiri jalan-jalan utama di seluruh negara pada 8 Disember untuk merai ulang tahun pertama kejatuhan rejim Assad, menandakan titik perubahan penting dalam sejarah moden negara itu selepas lebih sedekad konflik berdarah.
Perayaan yang berlangsung meriah itu menyaksikan kibaran bendera, pertunjukan bunga api, nyanyian patriotik dan tarian rakyat di bandar utama seperti Damsyik, Aleppo dan Homs.
Sambutan itu memperingati kejayaan kempen kilat selama 11 hari oleh pasukan pembangkang yang menumbangkan pemerintahan dinasti Assad selama 53 tahun.
Di Dataran Umayyad, ribuan orang berkumpul sambil membawa sepanduk dan potret mangsa perang sebagai penghormatan kepada mereka yang terkorban sepanjang 14 tahun konflik.
Ribuan penduduk membanjiri pusat bandar dengan bendera Syria sementara bunga api menerangi langit malam.
Jemaah Masjid Umayyad turut berdoa meraikan kemenangan sejak subuh, menandakan perubahan dramatik selepas lima dekad di bawah pemerintahan keluarga Assad.
Kejatuhan Assad pada Disember 2024 telah membuka lembaran baru buat Syria, yang kini berusaha memulihkan ekonomi dan membina semula prasarana yang musnah.
Menurut laporan, hampir 1.8 juta rakyat Syria yang hilang tempat tinggal dan 780,000 pelarian telah kembali ke tanah air sejak kejatuhan rejim lama.
Namun, cabaran masih besar.
Walaupun suasana umum dipenuhi harapan, sesetengah pihak menyuarakan kebimbangan terhadap masa depan politik negara, termasuk kelewatan dalam pelaksanaan pilihan raya umum yang dijadual hanya pada 2029.
Meskipun begitu, ulang tahun itu tetap menjadi simbol kebangkitan rakyat Syria, satu detik yang dirai dengan penuh emosi dan semangat perpaduan, menandakan harapan baharu demi keamanan dan pembaharuan selepas bertahun-tahun melalui penderitaan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg