Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Transformasi imej Presiden Syria, daripada bekas militan ke pemimpin dunia

Nov 24, 2025 | 5:30 AM
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump (kanan),Presiden Syria Ahmed al-Sharaa; Menteri Luar Syria, Encik Asaad al-Shaibani; Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance, Encik Tom Barrak
Gambar oleh Agensi Berita Arab Syria (Sana) pada 10 November 2025 ini menunjukkan pertemuan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump (kanan), dengan Presiden Syria Ahmed al-Sharaa (dua dari kiri); Menteri Luar Syria, Encik Asaad al-Shaibani (kiri); Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance (duduk, tiga dari kanan); dan utusan Amerika untuk Syria, Encik Tom Barrak (duduk, dua dari kanan), di Rumah Putih di Washington D.C. – rundingan yang belum pernah terjadi sebelum ini. - Foto AFP

DAMSYIK: Perjalanan politik Presiden Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, ibarat kisah luar biasa tentang perubahan imej dan strategi diplomatik yang tidak pernah dijangka.

Hanya setahun selepas menumbangkan rejim Bashar al-Assad melalui serangan kilat, bekas pemimpin pemberontak itu kini muncul di pentas dunia.

Beliau kini menjadi tokoh diplomatik yang dihormati dan kemuncaknya adalah pertemuan bersejarah dengan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, di Rumah Putih pada 11 November.

Daripada pengganas kepada tetamu kehormat

Pertemuan di Washington menandakan kali pertama seorang Presiden Syria melangkah ke Rumah Putih.

Ironinya, lelaki yang suatu ketika dahulu dikehendaki oleh Amerika dengan ganjaran AS$10 juta ($13 juta) bagi penangkapannya, kini disambut dengan permaidani merah dan pujian.

“Beliau seorang pemimpin yang kuat,” kata Encik Trump kepada wartawan di Pejabat Oval Office.

“Beliau datang daripada latar yang keras, dan beliau sendiri seorang yang keras. Saya sukakannya, kami boleh bekerjasama... dan kami akan lakukan segala yang mampu untuk memastikan Syria berjaya.”

Ucapan itu menggambarkan perubahan mendalam dalam dasar luar Amerika yang kini memilih pendekatan pragmatik berbanding prinsip moral.

Seorang penganalisis politik antarabangsa menyifatkan langkah Washington itu sebagai “pengiktirafan terhadap realiti baru di Timur Tengah”.

Encik Trump sebelum ini pernah menyebut Encik Sharaa sebagai “pemimpin muda dan menarik dengan masa lalu yang kuat,” selepas pertemuan ringkas yang diatur oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman.

Pada masa itu, Encik Trump mengarahkan sebahagian sekatan ekonomi Amerika terhadap Syria dilonggarkan – satu langkah yang membuka jalan kepada lawatan rasmi kali ini.

Di Washington, agenda utama Encik Sharaa ialah mendesak Amerika supaya menghapuskan sekatan ekonomi sepenuhnya serta menghentikan serangan Israel di Syria.

Namun, matlamat jangka panjangnya lebih luas: Membina semula imej Syria sebagai negara berdaulat yang bebas daripada pengaruh Russia dan Iran, dua sekutu lama rejim Assad.

Langkah diplomatik itu turut disertai simbolisme yang jelas.

Encik Sharaa yang tiba di Washington pada 9 November dikatakan bermain bola keranjang bersama pegawai tentera Amerika – sesuatu yang sukar dibayangkan bagi bekas militan yang pernah berperang menentang pasukan Amerika di Iraq dua dekad lalu.

Dalam wawancara bersama CNN pada 2024, beliau mengakui perubahan itu sebagai sebahagian daripada proses kehidupan.

“Seseorang dalam usia 20-an tidak sama dengan dirinya ketika berusia 40 atau 50. Ini sifat semula jadi manusia,” katanya menggunakan nama samaran lamanya.

Daripada jihad ke diplomasi

Encik Sharaa pernah menyertai kumpulan Al-Qaeda pada awal 2000-an, yang bertanggungjawab terhadap serangan 11 September 2001.

Beliau kemudian menubuhkan kumpulan bersenjata yang disokong Al-Qaeda untuk menentang pasukan Assad ketika Perang Saudara Syria meletus pada 2011.

Kini, lebih sedekad kemudian, beliau bukan sahaja menamatkan perang tersebut, malah berjaya menukar imejnya daripada anggota jihad kepada pemimpin reformis yang diterima dunia.

Lawatannya ke Amerika juga menandakan perubahan dasar Syria.

Pegawai pentadbiran bagi Encik Trump mengesahkan Syria akan menyertai Gabungan Sejagat Menentang ISIS, menjadikannya ahli ke-90 kumpulan itu.

Menurut pegawai tersebut, kerjasama itu bertujuan “menghapuskan saki-baki ISIS dan mengekang aliran anggota asing,” selain memperkukuh kerjasama keselamatan, ekonomi, dan kestabilan serantau.

Walaupun cuba menonjolkan dasar luar yang lebih bebas, Encik Sharaa masih berhati-hati dalam menguruskan hubungan dengan Moscow.

“Bertelagah dengan Russia ketika ini akan menjadi langkah yang amat merugikan bagi Syria, dan bukan untuk kepentingan negara,” katanya dalam wawancara dengan CBS pada Oktober.

Russia masih mengekalkan pangkalan tentera lautnya di Tartus, yang ditubuhkan sejak zaman Hafez al-Assad pada 1971.

Walaupun Assad sudah tumbang, kehadiran tentera Russia masih kukuh.

Oktober lalu, Encik Sharaa sendiri melakukan lawatan rasmi ke Moscow dan bertemu Presiden Vladimir Putin tanda beliau tidak mahu merenggangkan hubungan strategik yang lama terbina.

Menurut Profesor Madya Joshua Landis, Pengarah Pusat Kajian Timur Tengah, di Universiti Oklahoma, Washington kini membuat pertaruhan besar dengan membuka semula hubungan dengan Damsyik.

“Amerika tiada pilihan lain. Lebanon kini dianggap gagal, Iraq pula dipengaruhi kumpulan pro-Iran. Maka, Syria dilihat sebagai pintu masuk baru bagi Amerika untuk menstabilkan rantau ini,” katanya kepada CNN.

Namun, langkah itu tetap berisiko. Pihak pengkritik menuduh Washington mengorbankan prinsip moral demi kepentingan geopolitik, dengan memberi pengiktirafan kepada bekas militan yang tangannya pernah berlumuran darah.

Namun bagi penyokongnya, Encik Sharaa mewakili generasi baru pemimpin Timur Tengah – pragmatik, berani dan memahami realiti dunia yang semakin berpolar.

Era baru dasar berkecuali

Menurut Zamil Kanan di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Cik Natasha Hall, dasar luar Syria kini mencerminkan trend sejagat negara sedang membangun yang enggan berpihak sepenuhnya kepada mana-mana blok kuasa.

“Dalam era baru ini, tiada negara mahu terikat sepenuhnya dengan satu pihak.

“Kita lihat pendekatan itu dalam lawatan Al-Sharaa ke Moscow, dan kini di Washington. Ini menunjukkan Syria sedang membina diplomasi seimbang,” katanya.

Pendekatan berkecuali itu dilihat sebagai percubaan untuk memulihkan ekonomi Syria yang teruk terjejas akibat perang dan sekatan antarabangsa.

Sejak menjadi presiden, Encik Sharaa telah melakukan 20 lawatan luar negara, termasuk ke Eropah, China, dan Mesir, bagi menarik pelaburan dan membuka semula hubungan perdagangan.

Lawatan ke Rumah Putih itu bukan sekadar kemenangan peribadi, malah simbol kebangkitan sebuah negara yang pernah musnah.

Ia menandakan perubahan mendalam dalam landskap diplomatik Asia Barat tatkala bekas musuh kini menjadi rakan sekutu dalam perjuangan menentang ekstremisme.

Encik Trump menutup sidang media dengan kata-kata yang menggambarkan keseluruhan perubahan ini:

“Beliau datang dari masa lalu yang sukar, tetapi mungkin itulah yang menjadikannya kuat.

“Kadang-kadang, untuk membina semula sesuatu yang hancur, kita perlukan seseorang yang tahu apakah ertinya keruntuhan.”

Dengan imej baru sebagai pemimpin dunia dan agenda besar untuk memulihkan Syria, Encik Sharaa kini berdiri di tengah-tengah persimpangan sejarah antara masa lalunya yang kelam dengan masa depan negaranya yang sedang dibentuk semula. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg