WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memberi amaran keras kepada Israel agar tidak melakukan tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan Syria dan kepimpinan barunya, susulan operasi maut oleh tentera Israel di selatan negara itu beberapa hari lalu.
Encik Trump menegaskan melalui platform Truth Social bahawa Israel perlu berhati-hati dan mengekalkan hubungan diplomatik yang konstruktif dengan Damsyik.
“Sangat penting bagi Israel untuk mengekalkan dialog yang kukuh dan jujur dengan Syria, dan memastikan tiada apa-apa yang mengganggu perjalanan Syria ke arah menjadi sebuah negara makmur,” kata Encik Trump.
Amaran Encik Trump disuarakan ketika Israel meningkatkan serangan ke atas wilayah Syria dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Pada 28 November lalu, 13 orang terbunuh dalam operasi tentera Israel di selatan Syria, yang menurut Tel Aviv mensasarkan sebuah kumpulan militan.
Washington bimbang tindakan sedemikian boleh menjejaskan usaha menstabilkan Syria, terutama selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada 2024 yang membuka ruang kepada pemerintahan baru di bawah Presiden Ahmed al-Sharaa.
Tidak lama selepas kenyataan itu, pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengesahkan bahawa kedua-dua pemimpin mengadakan panggilan telefon.
Perbualan itu berlaku hampir serentak dengan amaran Encik Trump, sekali gus menandakan kebimbangan Washington terhadap tindakan ketenteraan Israel di negara jirannya itu.
Menurut kenyataan pejabat Netanyahu, perbualan itu memberi tumpuan kepada usaha melucutkan senjata kumpulan militan Palestin Hamas serta proses pelucutan senjata Gaza.
“Kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan melucutkan senjata Hamas dan menghentikan aktiviti ketenteraan Jaluran Gaza,” kata pejabat Encik Netanyahu.
Dalam masa sama, pejabat Encik Netanyahu berkata perbualan telefon itu turut menyentuh usaha “meluaskan” perjanjian damai dengan negara yang belum mengiktiraf Israel.
Encik Trump turut menjemput Netanyahu untuk mengadakan pertemuan di Rumah Putih “dalam masa terdekat”, meskipun tarikh khusus belum diumumkan.
Encik Trump sebelum ini secara terbuka menyokong Encik Sharaa dan melonggarkan sekatan ke atas Syria bagi mempercepat proses pemulihan negara yang hancur akibat perang saudara lebih satu dekad.
Beliau juga memuji kepimpinan presiden baru itu.
“Saya sangat berpuas hati dengan prestasi Syria di bawah Presiden Ahmed al-Sharaa,” kata Encik Trump, sambil menegaskan bahawa Encik Sharaa “bekerja bersungguh-sungguh untuk memastikan masa depan yang lebih baik serta hubungan jangka panjang yang makmur antara Syria dengan Israel”.
Pentadbiran Encik Trump mendakwa Damsyik kini semakin bekerjasama dalam gabungan global menentang kumpulan militan ISIS.
Encik Trump melihat hubungan baik antara Israel dengan Syria sebagai elemen penting dalam visi lebih luas untuk keamanan di Timur Tengah, terutama selepas gencatan senjata rapuh di Gaza pada Oktober lalu.
“Amerika Syarikat melakukan segala yang termampu untuk memastikan pemerintah Syria terus melaksanakan apa yang dirancang bagi membina semula negara itu,” kata Encik Trump, menyifatkan hubungan damai antara kedua-dua negara sebagai “langkah penting ke arah keamanan serantau”.
Walaupun terdapat tekanan antarabangsa, Israel mempertahankan haknya untuk menyerang kumpulan militan di negara jiran, termasuk di Syria dan Lebanon.
Tentera Israel berkata operasi di Beit Jin pada 28 November lalu menyasarkan anggota Jamaa Islamiya, sebuah kumpulan Islamis bersekutu dengan Hamas yang berpangkalan di Lebanon.
Namun tindakan Encik Netanyahu melawat tentera Israel di zon penampan Dataran Tinggi Golan – kawasan yang memisahkan angkatan tentera Israel dan Syria sejak 1974 mencetuskan kemarahan Damsyik dan beberapa negara serantau.
Syria menuduh lawatan itu sebagai provokasi dan pencabulan perjanjian keselamatan antara kedua-dua negara. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg