Topik diikuti
Pergi ke BHkuLandasan kereta api usang cabar impian Syria jadi hab logistik
Landasan kereta api usang cabar impian Syria jadi hab logistik
Landasan kereta api usang cabar impian Syria jadi hab logistik
DAMSYIK: Syria kembali menjadi tumpuan dalam perancangan koridor perdagangan baharu Asia Barat apabila beberapa negara serantau mula mempercepat rancangan membina laluan kereta api yang menghubungkan Teluk Arab ke Mediterranean.
Namun, di sebalik visi besar itu, realiti di lapangan menunjukkan Syria masih bergelut dengan rangkaian rel usang, kemusnahan akibat perang dan kekurangan dana yang serius.
Ketika negara jiran seperti Turkey, Jordan dan negara Teluk melihat Syria sebagai penghubung strategik perdagangan serantau, sistem kereta api Syria sendiri kini berada dalam keadaan hampir lumpuh selepas lebih sedekad perang saudara.
Di stesen Tartus, lokomotif lama yang dipenuhi minyak dan debu masih digunakan untuk membawa minyak mentah, gandum dan fosfat ke Aleppo menerusi satu-satunya laluan utama yang masih beroperasi.
Perjalanan yang sebelum ini mengambil masa empat hingga lima jam kini boleh mencecah sehari penuh akibat kerosakan dan masalah teknikal berulang.
“Keadaan tren sangat teruk. Kabinnya kecil, tempat berehat sangat sedikit dan kerosakan sering berlaku,” kata Penolong Pengarah, Syrian Railways cawangan Tartus, Encik Nidal Abdel Qader.
Beliau pernah meninggalkan Syria ketika perang saudara sebelum kembali bertugas selepas keadaan sedikit reda.
Minat baharu terhadap laluan perdagangan darat meningkat selepas ketegangan geopolitik di Asia Barat terus mengganggu laluan laut utama termasuk Selat Hormuz.
Perang melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran dalam beberapa bulan kebelakangan ini memberi kesan besar terhadap perdagangan minyak dan perkapalan sejagat.
Keadaan itu menyebabkan negara Teluk mula mencari laluan alternatif yang lebih selamat untuk menghubungkan Semenanjung Arab dengan Mediterranean.
Dalam beberapa bulan lalu, Syria mengumumkan beberapa projek prasarana besar termasuk cadangan laluan kereta api dari Arab Saudi ke pelabuhan Mediterranean Syria melalui Jordan.
Projek tersebut turut dikaitkan dengan usaha Turkey menghidupkan semula Kereta Api Hejaz, laluan bersejarah era Uthmaniyah yang suatu ketika dahulu menghubungkan Damsyik hingga Madinah.
Ketua Pengarah Syrian Railways, Encik Osama Haddad, berkata projek itu bukan sekadar menghidupkan semula sejarah.
“Nama Kereta Api Hejaz digunakan atas faktor sejarah. Apa yang kita bincangkan sekarang ialah laluan ekonomi moden,” katanya.
Menurut beliau, kedudukan Syria sangat strategik untuk menjadi pusat logistik serantau.
“Kami mahu menghubungkan semula masyarakat selepas perang, sama ada di dalam atau luar Syria,” katanya.
Namun, Encik Haddad mengakui proses tersebut masih jauh daripada menjadi kenyataan.
“Kajian laluan sahaja boleh mengambil masa dua tahun dan pelaksanaan dua tahun lagi.
“Kami bercakap tentang sekurang-kurangnya lima tahun sebelum ada sesuatu yang benar-benar siap,” katanya.
Sebelum perang saudara pada 2011, Syria mempunyai kira-kira 2,400 kilometer rangkaian kereta api yang menghubungkan hampir seluruh negara.
Hari ini, lebih 60 peratus laluan itu rosak atau tidak lagi boleh digunakan.
Di Aleppo yang pernah menjadi pusat utama jaringan rel utara Syria, hanya satu daripada lima laluan utama masih berfungsi.
Kebanyakan tren kini bergerak perlahan pada kelajuan sekitar 40 kilometer sejam walaupun landasan asal direka untuk tiga kali lebih laju.
“Terlalu banyak sistem musnah. Semuanya hancur,” kata Encik Abdel Qader, sambil melihat gerabak lama yang terbiar.
Timbalan Pengarah, Kereta Api Hejaz Syria, Encik Yahya Duqmaq, berkata banyak rel dicuri dan dijual sebagai besi buruk ketika perang.
“Stesen, mesin dan landasan mengalami kecurian, kemusnahan dan pengabaian,” katanya.
Di beberapa kawasan berhampiran sempadan Jordan, penduduk juga menggali tanah berhampiran rel untuk mencari artifak lama untuk dijual.
Masalah Syria bukan hanya kerosakan fizikal, bahkan juga kekurangan tenaga mahir.
Menurut Encik Haddad, sekitar 70 peratus pekerja kereta api Syria kini berusia lebih 50 tahun.
“Kami bergantung kepada mereka untuk melatih pekerja muda, tetapi ia sangat mencabar,” katanya.
Kementerian Pengangkutan Syria menganggarkan hanya sekitar 25 lokomotif masih boleh digunakan di seluruh negara.
Kebanyakan tren memerlukan alat ganti baharu yang sukar diperoleh akibat sekatan ekonomi dan kekurangan dana.
“Jika kami tidak mendapat lokomotif baharu atau sekurang-kurangnya alat ganti, sistem ini akan lumpuh sepenuhnya,” kata beliau.
Di bengkel al-Qadam di Damsyik, beberapa mekanik veteran masih cuba membaiki lokomotif wap lama.
Antara mereka ialah Encik Yahya Muhammad Helwani, 73 tahun, yang bekerja dengan sistem kereta api Syria sejak 1968.
“Kami pernah membawa pelancong menaiki tren ini setiap tahun. Semua perjalanan penuh,” katanya sambil menunjukkan gambar lama Damsyik ketika tren penumpang masih aktif.
Menurut beliau, bengkel kereta api Syria suatu ketika dahulu sangat sibuk sehingga “mustahil mendengar suara sendiri”.
Kos membina semula sistem kereta api Syria dianggarkan antara AS$3 bilion ($3.86 bilion) dengan AS$5 bilion hanya untuk memulihkan laluan yang rosak dan sistem isyarat asas.
Kos itu belum termasuk pembinaan laluan tren berkelajuan tinggi yang dicadangkan dalam projek serantau.
Masalah lain adalah kebanyakan landasan Syria menggunakan sistem trek tunggal, menyebabkan tren tidak boleh berselisih tanpa penyelarasan rumit.
“Untuk menjadi koridor perdagangan moden, kami memerlukan landasan berkembar dan sistem isyarat moden,” jelas Encik Haddad.
Walaupun beberapa delegasi asing sudah melawat kemudahan kereta api Syria, pelaburan sebenar masih belum kelihatan.
“Semua orang berkata mereka mahu membantu. Tetapi apabila bercakap soal pelaburan sebenar, mereka mula teragak-agak,” kata seorang pegawai Syria yang enggan dikenali.
Buat masa ini, impian Syria menjadi hab logistik baharu Asia Barat masih berada antara dua dunia – visi besar di atas lembaran kertas dan realiti landasan usang yang masih bergelut untuk terus bergerak. – Agensi berita.
