Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laporan rahsia AS dedah ratusan kes pelanggaran hak asasi oleh Israel di Gaza

Oct 31, 2025 | 11:12 AM
Laporan rahsia AS, kes pelanggaran hak asasi, Israel, Gaza
Sebuah peluru berpandu Israel ditemui di atas runtuhan di tengah jalan berhampiran rumah yang musnah di Bandar Gaza pada 30 Oktober 2025, ketika gencatan senjata antara Israel dengan Hamas masih berkuat kuasa. - Foto EPA

WASHINGTON: Sebuah penilaian sulit oleh badan pemantau Amerika Syarikat mendapati tentera Israel telah melakukan “ratusan” kemungkinan pelanggaran undang-undang hak asasi manusia di Jaluran Gaza.

Demikian menurut dua pegawai Amerika yang dipetik oleh The Washington Post pada 30 Oktober.

Laporan yang disediakan oleh Pejabat Jabatan Negara itu merupakan kali pertama pemerintah Amerika mengakui secara rasmi skala tindakan Israel di Gaza.

Ia berpotensi melanggar Undang-Undang Leahy – satu set undang-undang yang melarang Washington daripada menyalur bantuan keselamatan kepada unit tentera atau polis asing yang dipercayai terlibat dalam pencabulan hak asasi manusia yang serius, termasuk penyeksaan dan pembunuhan di luar undang-undang.

Menurut laporan rahsia itu, siasatan terhadap semua kes yang disyaki mungkin mengambil masa bertahun-tahun kerana jumlah kejadian yang besar.

“Jumlah pelanggaran yang dilaporkan mencapai ratusan kes dan siasatan penuh boleh mengambil masa beberapa tahun,” kata seorang pegawai Amerika yang enggan dikenali kerana dokumen itu diklasifikasikan sulit.

Para pegawai yang mengetahui laporan tersebut menyatakan kebimbangan bahawa proses semakan yang panjang dan rumit memberi kelebihan kepada Pasukan Pertahanan Israel (IDF).

“Saya khuatir isu kebertanggungjawapan ini akan tenggelam apabila gema peperangan semakin senyap dan tumpuan dunia mula beralih,” kata bekas pegawai Jabatan Negara yang pernah mengetuai semakan Undang-Undang Leahy, Encik Charles Blaha.

Pejabat Jabatan Negara tidak mengulas secara terbuka tetapi mengesahkan kewujudan laporan berkenaan di laman rasminya.

“Dokumen ini mengandungi maklumat sulit dan tidak boleh diakses umum,” ujar kenyataan laman web tersebut.

Laporan itu disiapkan hanya beberapa hari sebelum perjanjian gencatan senjata antara Israel dengan Hamas pada 10 Oktober, yang merangkumi pertukaran tahanan, pengunduran sebahagian tentera Israel dan kemasukan semula bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Dua pegawai tersebut turut mendedahkan Israel menikmati proses penilaian khas berbanding negara lain, yang digunakan oleh pentadbiran Demokrat dan Republikan.

Prosedur itu memberi layanan lebih ringan dan memerlukan kelulusan peringkat tinggi sebelum sesuatu unit tentera Israel boleh disemak atau bantuan digantung.

Bekas pegawai Jabatan Negara, Encik Josh Paul, berkata sistem tersebut menjadikan Israel “kebal” daripada sekatan.

“Bagi kebanyakan negara, satu dakwaan boleh menyebabkan bantuan digantung.

“Tetapi bagi Israel, pegawai perlu mencapai permuafakatan penuh bahawa pelanggaran hak asasi serius benar-benar berlaku.

“Hingga kini, Amerika belum menyekat sebarang bantuan kepada mana-mana unit tentera Israel walaupun bukti sudah jelas,” katanya.

Laporan itu turut menyatakan Amerika menyediakan sekurang-kurangnya AS$3.8 bilion ($4.94 bilion) setahun dalam bentuk bantuan ketenteraan kepada Israel, menjadikannya penerima terbesar bantuan keselamatan Amerika secara berterusan.

Pentadbiran Presiden Joe Biden sebelum ini turut dikritik kerana terus menyalurkan bantuan kepada unit tentera Israel yang dikaitkan dengan pencabulan hak asasi manusia.

Antara kes yang dibangkitkan termasuk kematian, Encik Omar Assad, warga Palestin-Amerika berusia 78 tahun yang meninggal dunia selepas ditahan di pos kawalan Tebing Barat pada 2022.

Tentera Israel ketika itu menyatakan Encik Assad meninggal dunia akibat serangan jantung berpunca daripada tekanan selepas diikat dan digari.

Namun laporan dalaman menyifatkan kematian itu sebagai “kegagalan moral dan keputusan buruk” oleh askar terlibat.

Selain itu, dua kes lain yang masih menunggu semakan termasuk pembunuhan tujuh pekerja bantuan dari World Central Kitchen, pada April 2024 dan kematian lebih 100 rakyat Palestin di Bandar Gaza pada Februari 2024 ketika mereka berkumpul untuk mendapatkan bantuan makanan.

Seorang bekas pegawai diplomatik yang enggan dinamakan berkata, “Jumlah kes yang terlalu banyak dan proses semakan yang memihak kepada Israel menjadikan keadilan sukar ditegakkan.”

Walaupun laporan tersebut mendedahkan pelanggaran serius, dua pegawai Amerika berkata mereka tidak menjangkakan kesan langsung terhadap bantuan ketenteraan kepada Israel kerana faktor politik dan hubungan strategik antara kedua-dua negara.

“Dalam keadaan biasa, laporan seperti ini boleh membawa kepada sekatan bantuan.

“Tetapi bagi Israel, ia tidak akan berlaku. Washington tidak mahu menjejaskan pakatan utamanya di Timur Tengah,” kata salah seorang pegawai.

Laporan itu turut memberi tekanan baru kepada dasar luar Amerika di bawah pentadbiran semasa yang sebelum ini berdepan kritikan kerana menutup mata terhadap pelanggaran hak asasi manusia dalam perang Gaza.

Menurut sumber tempatan, perang itu telah mengorbankan lebih 68,500 nyawa rakyat Palestin sejak Oktober 2023.

Seorang pemerhati dasar luar Amerika merumuskan, “Undang-Undang Leahy dicipta untuk memastikan bantuan Amerika tidak menyokong kekejaman.

“Tetapi dalam kes Israel, prinsip itu semakin kabur antara moral dengan kepentingan strategik”. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg