Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump: Tiada sesiapa usir rakyat Palestin dari Gaza

Hamas giat adakan rundingan langsung dengan wakil Amerika di Doha bagi tamatkan perang dengan Israel
Mar 13, 2025 | 11:25 AM
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump (kanan), bersama Perdana Menteri Ireland, Encik Micheal Martin, semasa pertemuan mereka di Pejabat Oval, Rumah Putih, Washington, Amerika Syarikat, pada 12 Mac.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump (kanan), bersama Perdana Menteri Ireland, Encik Micheal Martin, semasa pertemuan mereka di Pejabat Oval, Rumah Putih, Washington, Amerika Syarikat, pada 12 Mac. - Foto EPA-EFE

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, memberi bayangan bahawa beliau tidak bercadang mengusir rakyat Palestin dari Gaza, susulan kritikan hebat terhadap rancangannya mengambil alih wilayah tersebut.

Kenyataan itu dibuat Encik Trump dalam satu sidang media bersama Perdana Menteri Ireland, Encik Micheal Martin, di Rumah Putih pada 12 Mac.

“Tiada sesiapa yang akan diusir dari Gaza,” kata Encik Trump, merujuk kepada laporan sebelum ini mengenai pelan Amerika Syarikat untuk mengambil alih Jaluran Gaza selepas konflik berakhir.

Kenyataan tersebut bercanggah dengan rancangan beliau pada awal Februari yang mencadangkan Amerika mengambil alih Gaza, mengusir penduduk Palestin, dan mengubahnya menjadi sebuah ‘Riviera’ di Asia Barat.

Encik Trump sebelum ini mengumumkan rancangan untuk membersihkan Gaza daripada senjata dan runtuhan, serta membangunkan semula ekonomi wilayah itu.

Dalam sidang bersama Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, itu beliau berkata:

“Amerika akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pembinaan semula Gaza. Kami akan pastikan pekerjaan dan perumahan yang mencukupi untuk rakyat di sana.”

Bagaimanapun, pelan itu dikecam oleh kumpulan hak asasi, negara-negara Arab, dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai cubaan “pembersihan etnik” yang diselindungi di sebalik projek pembangunan.

Mesir, Jordan, dan negara-negara Teluk lain bimbang sebarang rancangan sebegitu boleh mengancam kestabilan seluruh rantau tersebut.

Sebagai tindak balas terhadap rancangan itu, negara-negara Arab meluluskan pelan pembinaan semula Gaza bernilai AS$53 bilion ($70.6 bilion) yang diketuai Mesir bagi mengelakkan pemindahan penduduk Palestin dari wilayah itu.

Jurucakap Hamas, Encik Hazem Qassem, pada 12 Mac menyambut baik kenyataan terkini Encik Trump bahawa tiada pelan pengusiran.

“Jika kenyataan itu menandakan penolakan terhadap idea mengusir rakyat Gaza secara kekal, kami mengalu-alukannya.

“Kami (Hamas) menyeru supaya pendirian ini diperkukuh dengan mewajibkan Israel melaksanakan sepenuhnya semua syarat dalam perjanjian gencatan senjata,” katanya.

Beliau turut menyeru agar kenyataan itu diikuti dengan tekanan ke atas Israel untuk mematuhi perjanjian gencatan senjata.

Menteri-menteri luar negara Arab, dalam satu mesyuarat di Doha, turut menyatakan komitmen untuk terus berunding dengan utusan khas Encik Trump, Encik Steve Witkoff, berhubung pelan pembinaan semula Gaza yang diusulkan Mesir.

Sementara itu, pada 9 Mac, Penasihat Politik kepada Ketua Hamas, Encik Taher Al-Nono, mengesahkan bahawa rundingan langsung yang belum pernah berlaku sebelum ini antara Hamas dengan Amerika telah berlangsung di Doha.

Washington dilaporkan telah melonggarkan pendiriannya terhadap rundingan langsung dengan Hamas, walaupun kumpulan itu disenaraikan sebagai organisasi pengganas oleh Amerika.

Rundingan itu menyentuh soal pembebasan tebusan warga Amerika-Israel dan fasa baru perjanjian gencatan senjata yang kini dalam perundingan.

Pada 9 Mac, Encik Al-Nono mengesahkan perbincangan langsung diadakan dengan Washington di ibu negara Qatar.

Perbincangan itu tertumpu kepada pembebasan individu yang memiliki status dua kewarganegaraan (Amerika-Israel) yang ditahan di Gaza.

Menurut Encik Al-Nono, pertemuan antara pemimpin Hamas dengan Encik Adam Boehler, perunding mengenai tebusan Amerika, turut melibatkan perbincangan tentang langkah memastikan pelaksanaan perjanjian berperingkat yang bertujuan menamatkan peperangan Israel-Gaza. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg