Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasukan kriket wanita Afghanistan catat sejarah

Wakili negara menentang Cricket Without Borders di Melbourne, harap jadi suara wanita Afghanistan
Feb 10, 2025 | 5:30 AM
Firooza Amiri (depan, dua dari kanan) dan kapten pasukan, Nahida Sapan (kanan) yang membentuk sebahagian daripada pasukan kriket wanita Afghanistan, menjalani latihan memanaskan badan sebelum menentang pasukan Cricket Without Borders, di Melbourne, Australia, pada 30 Januari.
Firooza Amiri (depan, dua dari kanan) dan kapten pasukan, Nahida Sapan (kanan) yang membentuk sebahagian daripada pasukan kriket wanita Afghanistan, menjalani latihan memanaskan badan sebelum menentang pasukan Cricket Without Borders, di Melbourne, Australia, pada 30 Januari. - Foto AFP

MELBOURNE: Pasukan kriket wanita Afghanistan berharap masa depan mereka bertambah cerah selepas mendapat sokongan kuat dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan Cricket Without Borders (CWOB) pada 30 Januari.

Para pemain kriket yang dibuang negara itu mewakili Afghanistan buat kali pertama dalam tempoh lebih tiga tahun dalam perlawanan bersejarah di Junction Oval, Melbourne.

Namun, acara itu lebih daripada sekadar kriket.

Ia mengetengahkan semangat kemasyarakatan, daya tahan, dan yang paling penting, tentang kehebatan kuasa sukan.

“Semua orang tahu apakah yang kami mahukan dan ia adalah agar kami dapat terus bersukan,” kata salah seorang pemain kriket dalam buangan, Benafsha Hashimi.

“Ini hanyalah langkah pertama dan kami telah mencipta sejarah. Kami berharap wanita di Afghanistan dapat menyaksikan kami.

“Walaupun ada yang tidak menyokong, namun kami terus berkembang dan ini kerana kami mempunyai wanita lain di sini yang menyokong satu sama lain.”

Sokongan lanjutan adalah daripada Kelab Kriket Marylebone (MCC).

Pasukan Afghanistan itu menjadi penerima pertama yang mendapat sokongan daripada Dana Kriket Pelarian Sejagat Yayasan MCC yang baru diumumkan.

Ia ditubuhkan untuk membantu anggota masyarakat yang terpaksa berpindah dengan harapan dapat mengumpulkan 1 juta paun ($1.68 juta).

Tumpuan awal inisiatif itu adalah untuk mengumpul wang bagi kempen Pitch Our Future, yang menyokong pasukan wanita Afghanistan.

Menurut MCC, sumber pembiayaan termasuk sumbangan daripada Lembaga Kriket England dan Wales (ECB), penajaan korporat, geran pemerintah, lembaga kriket antarabangsa dan derma individu, sebagai tambahan kepada sumbangan MCC sendiri.

“Peminat kriket mesti mengambil tindakan, menyokong wanita Afghanistan yang berani, dan memberi harapan bahawa kriket boleh menjadi sukan untuk mana-mana wanita atau remaja,” kata timbalan ketua eksekutif ECB, Cik Clare Connor.

“Kami berharap pelancaran dana ini akan memberi inspirasi kepada pertubuhan kriket lain untuk menyokong usaha ini, dan bagi mengukuhkan keupayaan kriket agar dapat menyatukan masyarakat di seluruh dunia.”

Bagi Afghanistan, perlawanan itu selalunya lebih daripada sekadar keputusan.

Ia adalah mengenai mendapatkan semula impian dalam sukan walaupun sekatan yang menakutkan dikenakan ke atas kehidupan mereka oleh pihak Taleban.

“Saya harap perlawanan ini dan peluang yang kami ada di Australia akan membawa mesej yang kuat untuk wanita Afghanistan di tanah air,” kata pemain serba boleh Afghanistan, Tooba Khan Sarwari.

“Mereka tidak bersendirian, kami cuba memberi suara dan bercakap bagi pihak mereka.

“Kami mahu bercakap tentang keadaan kami dan memberitahu dunia tentang apakah yang berlaku di Afghanistan.

“Kami berharap ini dapat menghantar mesej yang kuat.”

Tooba dan Benafsha adalah antara sekumpulan 25 pemain yang mendapat kontrak profesional pertama untuk wanita daripada Lembaga Kriket Afghanistan pada 2020.

Bagaimanapun, hanya setahun kemudian, impian mereka bertukar menjadi mimpi ngeri selepas Taleban melarang wanita bersukan.

Ia memaksa pemain kriket itu melarikan diri demi keselamatan, dengan sebahagian daripada mereka terpaksa membakar kit mereka untuk mengelak daripada dikenal pasti.

Pemain kriket itu terlebih dahulu melarikan diri ke Pakistan sebelum diberi visa kecemasan untuk Australia.

Ada yang menetap di Melbourne dan yang lain di Canberra.

Mereka bermain dengan menggunakan nama samaran bagi melindungi diri.

Kini, selepas tiga tahun, kumpulan itu dapat kembali bersama untuk bermain buat kali pertama.

Mereka bersaing mengenakan baju kriket baru, yang direka oleh Benafsha, dengan bunga tulip, yang merupakan bunga kebangsaan Afghanistan, dan bola kriket di hadapan.

Baju itu tidak memaparkan bendera negara atau warnanya.

Dalam perlawanan itu, Afghanistan ditewaskan pasukan CWOB dengan hanya baki empat bola selepas mencatatkan 103 larian daripada 20 over.

“Hari ini kami meraikan banyak perkara,” kata Gabenor Jeneral Australia, Cik Samantha Mostyn.

“Kriket adalah sukan yang menarik untuk wanita dan remaja, tetapi hari ini sangat istimewa bagi kedua-dua pasukan ini.

“Ia bagi meraikan pasukan wanita Afghanistan, yang telah menghabiskan masa lebih tiga tahun mencapai tahap ini dan mereka boleh bermain di salah satu padang paling penting di Melbourne.

“Ini adalah wanita yang memastikan kriket menyeronokkan dan terangkum untuk semua.

“Kami meraikan hakikat bahawa wanita Afghanistan ini berasa selamat dan damai di sini, di Australia, melalui sukan mereka dan CWOB mengajar kami tentang perkara itu.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg