Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lawatan Pope Leo ke Timur Tengah bentuk semula diplomasi agama global

Sambung agenda dialog antara agama dengan bawa mesej keamanan
Dec 8, 2025 | 5:30 AM
Masjid Sultan Ahmed (Masjid Biru), pope Leo, paus
Gambar edaran yang disediakan oleh Vatican Media menunjukkan Paus Leo XIV (tengah) melawat Masjid Sultan Ahmed (Masjid Biru) di Istanbul, Turkey, pada 29 November - Foto EPA

BEIRUT: Lawatan sulung Paus (Pope) Leo XIV ke Turkey dan Lebanon dari 27 November hingga 2 Disember lalu bukan sekadar perjalanan diplomatik.

Ia adalah satu kenyataan moral, politik dan teologi – satu mesej bahawa kepimpinan baru Vatican bersedia memasuki gelanggang paling sensitif di dunia dengan pendekatan yang lebih jelas dan lebih berani.

Paus Leo, tokoh pertama dari Amerika Syarikat yang menjadi ketua gereja Katolik, memilih Turkey dan Lebanon untuk lawatan antarabangsa pertamanya sejak pemilihan beliau.

Keputusan ini sarat dengan simbolisme.

Ia mengembalikan perhatian dunia kepada sejarah asal usul Kristian yang tumbuh di wilayah Mediterranean Timur – tanah yang menyaksikan perkembangan awal gereja dan kewujudan masyarakat Kristian tertua dalam sejarah.

Dalam ucapan pertamanya di Ankara, Paus Leo menyatakan bahawa lawatannya bertujuan “menggalakkan dialog dan kerjasama antara agama” sambil menegaskan bahawa Timur Tengah kekal sebagai nadi hubungan antara agama Abraham.

Pilihannya menjadikan wilayah tersebut pentas utama perutusan moral beliau.

Salah satu dimensi utama lawatan ini ialah mesej yang ditujukan kepada pelaku politik di rantau Timur Tengah, khususnya berkaitan tekanan ekstrem yang dihadapi masyarakat Kristian di tanah suci – wilayah yang merangkumi tempat suci agama Abraham seperti Baitulmakdis, Baitulham dan Nazareth, serta kawasan di mana masyarakat Kristian hidup dalam keadaan semakin mencabar.

Tanpa menamakan mana-mana negara, pilihan Paus Leo untuk berkunjung ke Turkey dan Lebanon – dua negara berjiran dengan konflik Palestin-Israel – secara simboliknya menyuarakan ketidakselesaan Vatican terhadap dasar Israel yang semakin menekan rakyat Palestin dan minoriti Kristian.

Beliau berhasrat mengirim isyarat jelas lagi tegas dan tidak berkompromi mengenai pendirian moral Vatican terhadap krisis yang melanda rantau ini.

Walaupun Vatican secara tradisi mengelakkan konfrontasi politik, Paus Leo kelihatan lebih bersedia bersuara dengan lebih jelas dan tegas.

Beliau menzahirkan keprihatinan terhadap “masyarakat yang terperangkap dalam dasar ketenteraan dan ekstremisme nasionalis”.

Pendekatan ini sejajar dengan sentimen ramai rakyat Amerika sendiri yang semakin mempersoalkan pengaruh lobi pro-Israel dalam politik Washington.

Seorang penganalisis, Encik Murat Yulek, mantan pakar ekonomi Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) serta ahli serta akademik yang pernah mengajar di Universiti Georgetown dan Universiti Columbia menyifatkannya:

“Sebagai seorang paus berasal dari Amerika, Leo menyedari perdebatan mendalam di tanah airnya tentang sejauh mana dasar luar Amerika dipengaruhi oleh tekanan politik dan kumpulan berkepentingan, khususnya dalam isu Timur Tengah. Kehadirannya di Turkey dan Lebanon memberi isyarat bahawa Vatican memahami kesedihan global ini, dan mencerminkan tuntutan semakin kuat agar kuasa besar bertindak dengan lebih beretika, seimbang dan berperikemanusiaan dalam konflik serantau.”

Asal usul Kristian dari Timur

Lawatan ini turut memperkukuh mesej bahawa masa depan Kristian global tidak dapat dipisahkan daripada Muslim sebagai rakan dialog.

Aspek paling signifikan dalam lawatan ini ialah kesinambungan agenda yang diwariskan oleh Paus Francis – seorang paus yang terkenal dengan pendekatan diplomasi moral, dialog antara agama, dan keberanian menegur kuasa politik apabila hak asasi manusia dipinggirkan.

Dalam banyak hal, Paus Leo bukan sekadar meneruskan legasi itu, tetapi turut mengembangkannya dengan gaya kepimpinan yang lebih tersusun, berhati-hati, dan berorientasikan dasar.

Dalam Islam, tokoh seperti Nabi Isa dan Nabi Musa dihormati sebagai nabi utama, satu asas yang kukuh untuk dialog antara agama.

Turkey dan Lebanon menjadi simbol hubungan antara Islam dan Kristian yang sudah berakar sejak zaman awal tamadun.

Tradisi ini kekal hidup bersama di Turkey dan Lebanon walaupun digoncang oleh politik moden – kekal menjadi model yang ingin diperkasakan oleh Paus Leo.

Vatican pada era kontemporari telah berganjak daripada sikap dominasi kepada pendekatan pemahaman.

Seperti yang dinyatakan seorang sarjana teologi dan pakar hubungan gereja-negara di Universiti Trinity College Dublin, Profesor Massimo Faggioli: “Katolik moden bukan lagi tentang menuntut dominasi, malah tentang membina kefahaman dan memupuk keamanan.”

Lawatan Paus Leo berlaku pada saat penting dalam sejarah Timur Tengah.

Rantau ini sedang melalui perubahan struktur politik, gelombang demografi baru dan penolakan yang semakin kuat terhadap ideologi ekstrem.

Dalam dunia Yahudi sendiri, timbul perdebatan mengenai arah moral Zionisme kontemporari.

Pengkritik daripada kalangan intelektual Yahudi juga semakin lantang mengenai kesan dasar Israel terhadap penduduk Palestin dan nilai kemanusiaan sejagat.

Paus Leo tidak memihak mana-mana agama.

Sebaliknya, beliau memberi amaran bahawa dasar yang “memecahbelahkan dan memaksimumkan kuasa” akan meruntuhkan asas moral yang dikongsi oleh Islam, Kristian dan Judaisme.

Beliau turut menekankan bahawa akar Kristian bukanlah di Rome tetapi di Timur – di tanah Palestin, Turkey dan Lebanon.

Dengan latar itu, beliau menggesa masyarakat Kristian global “melihat kembali asal usul mereka yang tertanam dalam wilayah Arab dan Ottoman”.

Dalam erti kata lain, lawatan ini merombak imaginasi geopolitik Kristian dan membuka ruang melihat Islam bukan sebagai lawan, malah sebagai rakan sejarah yang saling bergantung.

Gaya Kepimpinan: Lembut Tetapi Strategik

Paus Leo terkenal sebagai paus berwatak tenang.

Beliau bukanlah pemimpin yang cenderung mengeluarkan kenyataan dramatik seperti Paus Francis, yang pernah mencetuskan perdebatan global melalui ungkapan terkenalnya, “Who am I to judge?” (“Siapakah saya untuk menghakimi?”), ketika membicarakan isu orientasi seksual dalam kalangan paderi – satu kenyataan yang membuka ruang perbincangan baru tentang sifat belas ihsan, penerimaan dan reformasi dalam Gereja Katolik.

Namun lawatan ini menguji kemampuan diplomatik beliau.

Di Turkey, beliau bertemu Presiden Recep Tayyip Erdogan yang dikritik kerana menghakis institusi demokratik.

Di Lebanon beliau bertemu masyarakat Katolik terbesar di Timur Tengah yang kini berdepan kejatuhan ekonomi dan peningkatan penghijrahan.

Profesor Faggioli mengungkapkan: “Lawatan ini mungkin mendedahkan visi sebenar Paus Leo sama ada beliau seorang pembina jambatan atau seorang pemimpin yang hanya bertindak berhati-hati.”

Walaupun begitu, Profesor Faggioli menyatakan Paus Leo lebih halus dan tersusun dalam pendekatannya berbanding Paus Francis, kemungkinan menjadikan beliau lebih berkesan dalam jangka panjang.

Paus Leo juga berjaya meredakan ketegangan dalaman Vatican.

Beliau bersikap lebih lembut terhadap pentadbiran Curia – struktur pentadbiran pusat Vatican yang membantu paus mentadbir Gereja Katolik di seluruh dunia – berbeza daripada Paus Francis yang terkenal dengan kritikan tajamnya. Ini sekaligus mengekalkan sokongan golongan konservatif tanpa menjejaskan agenda reformasi.

Kardinal Muller dari Vatican berkata: “Misi seorang paus ialah membawa semua manusia kepada Jesus, bukan menonjolkan dirinya sebagai tokoh global. Beliau mungkin seorang yang kompleks – progresif dari satu sudut tetapi terikat oleh tradisi dari sudut yang lain.”

Lawatan Paus Leo ke Turkey dan Lebanon bukan sekadar kunjungan diplomatik; ia muncul sebagai satu intervensi moral yang berani, isyarat geopolitik yang jelas, serta usaha menghidupkan kembali hubungan antara agama pada saat dunia semakin terpecah.

Dengan gaya yang tidak lantang tetapi sangat strategik, beliau sedang membentuk suatu definisi baru kepimpinan Katolik – kepimpinan yang berakar di Timur, relevan di Barat, dan berani mencabar ketidakadilan di mana sahaja ia berlaku.

Jika berjaya, perjalanan enam hari itu mungkin dikenang sebagai permulaan era diplomasi agama global yang lebih matang, lebih berprinsip dan lebih dekat kepada kemanusiaan sejagat. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg