WASHINGTON/RIYADH: Amerika Syarikat dijangka menawarkan pakej senjata bernilai lebih AS$100 bilion ($131 bilion) kepada Arab Saudi, menurut enam sumber yang mempunyai pengetahuan langsung mengenai perkara itu, menjelang lawatan Presiden Donald Trump ke Riyadh pada bulan Mei.
Pakej besar-besaran ini bakal mengukuhkan lagi hubungan ketenteraan antara kedua-dua negara, dan memberi kelebihan kepada syarikat pertahanan utama Amerika dalam pasaran Timur Tengah.
Sumber memaklumkan kepada Reuters bahawa pengumuman rasmi sedang disusun bertepatan dengan lawatan Encik Trump ke Arab Saudi sebagai sebahagian daripada strategi diplomatiknya di rantau itu.
“Hubungan pertahanan kami dengan Arab Saudi kini lebih kukuh berbanding sebelumnya di bawah kepimpinan Presiden Trump. Kerjasama keselamatan tetap menjadi tunjang penting dalam perkongsian ini,“ kata seorang pegawai Jabatan Pertahanan Amerika.
Beberapa syarikat gergasi pertahanan Amerika dijangka terlibat dalam pakej ini, termasuk Lockheed Martin, RTX Corp (dahulu Raytheon), Boeing, Northrop Grumman dan General Atomics. Lockheed Martin dijangka membekalkan pesawat pengangkut C-130, peluru berpandu dan sistem radar.
Sementara itu, General Atomics telah lama menerima permintaan daripada Riyadh untuk pesawat dron MQ-9B SeaGuardian, dengan satu perjanjian bernilai AS$20 bilion menjadi fokus sepanjang 12 bulan lalu, menurut sumber.
Sumber turut menyatakan bahawa beberapa perjanjian yang akan diumumkan telah dirancang sejak bertahun-tahun lalu, termasuk rundingan awal yang bermula seawal 2018. Tiga sumber memberitahu bahawa beberapa eksekutif dari syarikat pertahanan Amerika turut mempertimbangkan untuk menyertai delegasi yang akan bertolak ke Riyadh bersama Presiden Trump.
Ini bukan kali pertama Encik Trump memanfaatkan hubungan strategik dengan Riyadh untuk meraih keuntungan ekonomi domestik. Pada 2017, beliau mengumumkan cadangan penjualan senjata bernilai AS$110 bilion kepada Arab Saudi. Namun, menjelang 2018, hanya sekitar AS$14.5 bilion daripada perjanjian tersebut yang berjaya dimuktamadkan.
Kongres Amerika kemudiannya mula menyoal kewajaran penjualan senjata susulan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi di konsulat Saudi di Istanbul. Pada tahun 2021, di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden, Kongres melaksanakan larangan penjualan senjata ofensif kepada Arab Saudi bagi menekan kerajaan Riyadh menamatkan perang di Yaman yang mengorbankan ramai orang awam.
Namun, pendirian itu mula berubah selepas pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada 2022 yang memberi kesan kepada bekalan minyak global. Larangan senjata ofensif telah ditarik balik pada 2024, dan kerjasama antara Washington dan Riyadh semakin erat dalam usaha menangani situasi pasca konflik Gaza.
Sumber turut menyatakan bahawa Arab Saudi terus menyatakan minat terhadap pesawat pejuang F-35 keluaran Lockheed Martin, tetapi peluang untuk perjanjian F-35 dimeterai semasa lawatan Encik Trump masih tipis.
Ini kerana dasar Amerika mewajibkan Israel, sekutu utama di Timur Tengah, menerima senjata yang lebih canggih berbanding negara-negara Arab lain, di bawah prinsip Keunggulan Ketenteraan Kualitatif” (QME).
“Kami tahu Arab Saudi berminat dengan F-35, tetapi terdapat sensitiviti ketenteraan dan diplomatik yang perlu dipertimbangkan dengan Israel,” kata salah seorang sumber yang enggan dinamakan.
Setakat ini, Rumah Putih dan kerajaan Arab Saudi belum memberikan komen rasmi. Begitu juga syarikat RTX, Northrop Grumman dan General Atomics yang enggan mengulas. Jurucakap Lockheed Martin hanya menyatakan bahawa penjualan senjata antarabangsa adalah urusan antara pemerintah dan sebarang pertanyaan perlu dikemukakan kepada pihak berkuasa Amerika.
Menurut undang-undang AS, sebarang perjanjian senjata berskala besar dengan negara luar mesti dikaji dan diluluskan oleh Kongres sebelum dimuktamadkan. Ini termasuk penilaian terhadap implikasi geopolitik, keselamatan serantau dan hak asasi manusia. - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg