Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump ke Timur Tengah: Perkukuh ikatan strategik dalam era krisis serantau

May 12, 2025 | 5:30 AM
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman (kanan), tiba untuk menghadiri Sidang Puncak Kumpulan 20 (G20) di Osaka pada 28 Jun 2019. Encik Trump, dijadual mengadakan lawatan ke Timur Tengah pada 13 Mei.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman (kanan), tiba untuk menghadiri Sidang Puncak Kumpulan 20 (G20) di Osaka pada 28 Jun 2019. Encik Trump, dijadual mengadakan lawatan ke Timur Tengah pada 13 Mei. - Foto fail

DUBAI: Lawatan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, ke Arab Saudi, Qatar dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) dari 13 hingga 16 Mei 2025 dijangka menjadi penentu penting kepada arah dasar luar Washington di Timur Tengah.

Lawatan itu bukan sekadar simbolik, malah mencerminkan kebergantungan mendalam Amerika terhadap tiga kuasa Teluk tersebut.

Menurut Dr Andreas Krieg, dari King’s College London, sejak era Presiden Obama lagi, dasar luar Amerika banyak bergantung kepada “delegasi kuasa” kepada rakan-rakan strategik di Teluk.

“Qatar, UAE dan Arab Saudi telah menjadi rakan paling boleh diharap dalam melaksanakan sebahagian dasar dan keselamatan luar Amerika,” jelas beliau.

Arab Saudi khususnya mempunyai rekod panjang dalam kerjasama ketenteraan dan pelaburan dengan Washington, manakala Qatar dan UAE pula aktif dalam diplomasi penyelesaian konflik – daripada isu Iran, Yaman, Syria hinggalah ke Palestin.

Encik Trump secara terang-terangan mengiktiraf Riyadh, Doha dan Abu Dhabi sebagai “rakan paling dipercayai” dalam mengurus konflik serantau, menjadi pengantara dalam pertikaian antarabangsa, serta pelabur utama dalam ekonomi Amerika.

Dalam keadaan Amerika semakin memberi tumpuan kepada isu dalam negara dan berdepan keterbatasan kapasiti untuk menangani pelbagai krisis sejagat, pendekatan delegasi itu menjadi lebih penting.

Negara Teluk bukan sekadar pelabur, bahkan menjadi pemudah cara dalam isu seperti konflik Syria, rundingan nuklear Iran, perang di Yaman serta krisis berpanjangan Palestin-Israel.

“Peranan negara-negara ini untuk membuka jalan ke arah penyelesaian krisis mewakili kepentingan strategik Amerika,” tambah Dr Krieg.

Bagi Washington, menyalurkan beban geopolitik kepada rakan yang stabil dan berkemampuan adalah keputusan strategik.

Isu Utama Agenda

Bagi pemimpin Teluk, lawatan Encik Trump adalah peluang untuk mempengaruhinya agar bersikap lebih terbuka terhadap pemerintah baru Syria yang dipimpin Encik Ahmed Al-Sharaa.

Arab Saudi telah mendahului dalam membuka saluran diplomatik dengan membina semula hubungan dengan Damsyik sejak kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada Disember 2024.

Namun, halangan terbesar adalah sekatan Amerika di bawah Akta Caesar yang masih berkuat kuasa.

“Tiada isu lebih mendesak bagi Syria daripada pengakhiran sekatan ini,” kata penganalisis politik Amiriah, Dr Abdulkhaleq Abdulla.

Encik Trump dijangka menerima tekanan daripada rakan Teluk untuk melonggarkan sekatan tersebut agar proses pembinaan semula Syria dapat dimulakan.

Dengan Qatar dan Arab Saudi dilaporkan sanggup membantu melunaskan hutang Syria kepada Bank Dunia, pengaruh mereka terhadap dasar Amerika tidak boleh dipandang remeh.

Kebimbangan terhadap Israel, Gaza, Iran

Isu Gaza, Lebanon dan serangan berterusan Israel di Syria dijangka turut menjadi topik utama.

Dengan lebih 52,000 rakyat Palestin terbunuh dan 420,000 kehilangan tempat tinggal sejak serangan Gaza 2024, ketegangan serantau mencapai kemuncak baru.

“Kami mahu Trump menekan (Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin) Netanyahu agar mematuhi gencatan senjata di Lebanon dan Gaza.

“Ini bukan sahaja soal kemanusiaan, bahkan juga kestabilan serantau,” kata Cik Anna Jacobs, dari Institut Negara-Negara Teluk Arab.

Dengan hubungan peribadi yang erat antara Encik Trump dengan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, lawatan itu akan digunakan sepenuhnya oleh negara Teluk untuk mempengaruhi dasar Amerika.

“Pemimpin Teluk akan menuntut agar Trump mengawal tindakan Israel dan mengelak daripada mencetuskan perang terbuka dengan Iran,” jelas Cik Jacobs.

Dr Dina Esfandiary, dari Bloomberg Economics, berkata: “Negara-negara GCC (Majlis Kerjasama Teluk) mahu memastikan mereka tidak tersepit antara konflik Amerika/Israel dengan Iran. Mereka mahu ketenangan serantau dikekalkan.”

Putera Mohammed, yang mempunyai hubungan rapat dengan Encik Trump, pernah menyifatkan tindakan Israel di Gaza sebagai “pembunuhan beramai-ramai.”

Justeru, lawatan Encik Trump ke Riyadh, Doha dan Abu Dhabi akan digunakan untuk mendesak perubahan dalam pendekatan pentadbiran Amerika.

Tumpuan pada Ekonomi dan Teknologi

Lawatan itu juga dijangka memberi tumpuan kepada isu pelaburan, kerjasama dalam kecerdasan buatan (AI) dan jualan senjata.

Jabatan Negara Amerika telah meluluskan penjualan peluru berpandu udara-ke-udara bernilai AS$3.5 bilion ($4.53 bilion) kepada Arab Saudi, menunjukkan aspek ekonomi tetap menjadi keutamaan Encik Trump. .

Beliau dijangka mengadakan sidang puncak dengan semua pemimpin GCC pada 14 Mei di Riyadh, diikuti pertemuan dua hala di Doha dan Abu Dhabi.

Tumpuan utama adalah pelaburan, penjualan senjata dan kerjasama dalam teknologi AI.

“Kami lihat ini sebagai peluang terbaik untuk mengukuhkan pengaruh strategik Amerika di rantau ini,” kata Dr Courtney Freer, dari Universiti Emory.

Beliau menambah: “Trump akan cuba memanfaatkan pengaruh kewangan negara-negara Teluk bukan sahaja dalam isu Syria bahkan juga dalam pelbagai aspek hubungan strategik, termasuk pelaburan teknologi dan pertahanan.”

Kenapa Lawatan Ini Penting?

Lawatan Encik Trump kali ini menggambarkan realiti baru dalam geopolitik sejagat – kebergantungan Washington kepada Teluk bukan sahaja sebagai sekutu strategik, malah sebagai pemangkin kepada kestabilan serantau.

Dr Abdulla menyimpulkan: “Lawatan Trump akan menjadi satu dorongan besar kepada detik kebangkitan Teluk dan peranan pusat negara-negara Arab Teluk sebagai kuasa serantau yang sedang muncul.”

Dengan cabaran seperti rundingan nuklear Iran, ketegangan Israel-Palestin, pemulihan Syria dan ketidakstabilan Laut Merah, lawatan ini membawa harapan dan juga risiko.

Hasil sebenar daripada pertemuan itu hanya akan dapat dinilai dalam bulan-bulan akan datang, apabila dasar luar Amerika terhadap Timur Tengah mula mengambil bentuk yang lebih jelas dan sebarang kesan daripada rundingan dengan pemimpin Teluk dapat dinilai secara konkrit.

Walaupun Encik Trump tidak merancang untuk melawat Israel kali ini, kedudukannya sebagai pengantara antara Tel Aviv dengan negara Teluk akan diuji. –Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg