RIYADH: Pada 2021, Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, berdepan kesukaran untuk mendapatkan pertemuan rasmi dengan Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Encik Joe Biden.
Pada waktu itu, Encik Biden secara terbuka menyatakan hasrat untuk menjadikan Arab Saudi sebagai sebuah “negara pariah” susulan dakwaan bahawa pemimpin de facto negara itu terlibat dalam pembunuhan wartawan Washington Post, Encik Jamal Khashoggi.
Namun, hanya empat tahun kemudian, pentas geopolitik menyaksikan perubahan ketara.
Pada 13 Mei, Presiden Donald Trump memulakan lawatan rasmi luar negara pertamanya bagi penggal kedua dengan memberi pujian melambung kepada Putera Mahkota Mohammed dalam satu sidang pelaburan antarabangsa di Riyadh.
Tanpa sebarang rujukan kepada isu hak asasi manusia, Encik Trump menyifatkan pemimpin de facto Arab Saudi itu sebagai “seorang lelaki yang luar biasa” dan “pemimpin yang hebat”.
“Saya sukakan beliau. Malah, saya mungkin sukakan dia terlalu banyak,” ujar Encik Trump sambil tersenyum ketika hadirin memberikan tepukan bergemuruh dengan sorotan kamera media antarabangsa merakam detik tersebut.
Paparan keakraban itu bukan sesuatu yang baru.
Ia mengulangi corak hubungan erat yang dibina semasa penggal pertama Encik Trump, yang disifatkan ramai sebagai berasaskan saling puji memuji dan kepentingan strategik bersama.
Lawatan Trump ke Riyadh memperkukuh semula pakatan dua hala yang berpaksikan kepentingan ekonomi dan keselamatan.
Dalam ucapannya, beliau mengumumkan dua perjanjian utama.
Yang pertama, pelaburan Arab Saudi sebanyak AS$600 bilion ($185 bilion) dalam sektor teknologi, tenaga dan infrastruktur di Amerika.
Yang kedua, perjanjian pertahanan bernilai AS$142 bilion yang merangkumi pembelian peralatan ketenteraan dan sistem keselamatan dari syarikat Amerika.
Encik Trump menyifatkan kerjasama itu sebagai manifestasi hubungan “yang lebih kuat dari sebelumnya”, dengan menyatakan bahawa pentadbirannya komited untuk memperkukuh hubungan jangka panjang dengan Riyadh.
Bagi Arab Saudi pula, ia merupakan peluang penting untuk mempercepat agenda pembaharuan ekonomi di bawah Wawasan 2030 serta mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa serantau.
“Kami melihat hubungan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada kedua-dua negara, malah menyumbang kepada kestabilan dan pembangunan di rantau ini,” kata Encik Trump dalam sesi media bersama.
Namun begitu, kenyataan yang dibuat oleh Encik Trump menimbulkan kebimbangan dalam kalangan kumpulan hak asasi manusia dan penggubal dasar. Ketiadaan sebarang rujukan terhadap rekod hak asasi manusia Arab Saudi termasuk penahanan aktivis dan kebebasan bersuara yang semakin terhad, mencerminkan peralihan tumpuan pentadbiran Trump daripada prinsip nilai sejagat kepada kepentingan urus niaga dan geostrategik.
“Ketiadaan sebarang komitmen terhadap prinsip hak asasi menunjukkan bahawa dasar luar Amerika kini lebih berasaskan pertimbangan ekonomi semata-mata,” kata seorang penyelidik kanan di Human Rights Watch.
Putera Mohammed sebelum ini menafikan sebarang penglibatan dalam kes pembunuhan Encik Khashoggi dan menekankan bahawa Arab Saudi telah melaksanakan pelbagai pembaharuan sosial, termasuk perluasan peranan wanita.
Pendekatan Encik Trump jelas berbeza dengan Presiden Joe Biden, yang pernah berikrar untuk mengambil tindakan keras terhadap Riyadh. Namun tekanan geopolitik, khususnya selepas perang Rusia-Ukraine menyebabkan lonjakan harga minyak global, memaksa pentadbiran Biden menyesuaikan pendekatannya.
Pada Julai 2022, Encik Biden melawat Jeddah dan bertemu Putera Mahkota, diiringi dengan simbolik salam penumbuk yang dilihat oleh sesetengah pihak sebagai isyarat kelonggaran terhadap pendirian hak asasi. Walaupun pentadbiran Biden cuba memulihkan hubungan dengan menaja rundingan pemulihan hubungan Arab Saudi-Israel, usaha tersebut terbantut susulan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 dan konflik berlarutan di Gaza.
Dalam masa yang sama, Encik Trump, dijadual bertemu Presiden Sementara Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, di Riyadh pada 14 Mei, susulan pengumuman mengejut bahawa Washington akan menarik balik semua sekatan ke atas pemerintahan pimpinan Islamis di Damsyik.
“Oh, apa yang saya lakukan demi Putera Mahkota,” kata Encik Trump dalam nada berseloroh, ketika Putera Mohammed berdiri dan meletakkan tangan di dadanya sambil memimpin tepukan berdiri dari para delegasi.
Langkah ini dibuat meskipun terdapat kebimbangan berterusan dalam kalangan pentadbirannya mengenai latar belakang pemimpin Syria itu yang pernah dikaitkan dengan Al-Qaeda.
Dalam ucapannya di Riyadh pada 13 Mei, Encik Trump menegaskan bahawa beliau akan melaksanakan pembatalan sekatan tersebut, walaupun segelintir pihak dalam pemerintahan Amerika menyuarakan keraguan.
Encik Trump menyatakan persetujuannya untuk “menyapa” Presiden Sharaa, yang turut berada di Riyadh bagi menyertai rundingan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
“Putera Mahkota Mohammed dan Presiden Turkey, Recep Tayyip Erdogan, telah meminta saya untuk mempertimbangkan langkah ini,” kata Encik Trump.
“Mereka mahukan permulaan baru untuk Syria, dan saya bersedia untuk memberi peluang itu,” tambah beliau.
Encik Trump turut dijangka melawat Qatar selepas Riyadh, di mana Doha dijangka mengumumkan pelaburan besar termasuk pembelian 100 pesawat Boeing oleh Qatar Airways serta “hadiah” pesawat Boeing 747-8 mewah kepada Encik Trump.
Jet itu, yang bakal digunakan sebagai Air Force One sementara, akan diserahkan kepada perpustakaan presidennya selepas beliau meninggalkan jawatan.
Langkah ini mencetuskan reaksi balas daripada ahli politik dan pakar etika, yang menyifatkannya sebagai tindakan yang berisiko menjejaskan integriti pejabat Presiden. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg