DOHA: Rumah Putih mengumumkan bahawa Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, telah memeterai perjanjian bernilai lebih AS$243.5 bilion ($316.5 bilion) bersama Qatar.
Ini sekali gus membuka laluan kepada komitmen ekonomi yang lebih besar berjumlah AS$1.2 trilion dengan negara Teluk itu.
“Perjanjian bersejarah yang diraikan hari ini akan mendorong inovasi dan kemakmuran berterusan, mengukuhkan industri pengilangan serta kepimpinan teknologi Amerika, dan meletakkan Amerika di landasan zaman kegemilangan baru,” kata Rumah Putih pada 14 Mei.
Pengumuman itu dibuat sempena lawatan Encik Trump ke Qatar, destinasi kedua dalam rangka lawatan empat harinya ke Timur Tengah, sehari selepas beliau mengumumkan pelaburan sekitar AS$600 bilion dari Arab Saudi ke dalam sektor pengilangan dan perkhidmatan di Amerika.
Sepanjang lawatan tersebut, tumpuan Encik Trump ialah pada usaha mengukuhkan kerjasama ekonomi dengan negara Teluk sambil menonjolkan peranan Amerika sebagai rakan dagang dan keselamatan utama di rantau tersebut.
Ketibaan Encik Trump di Doha disambut dengan penuh istiadat rasmi, mencerminkan hubungan mesra antara Washington dengan Doha.
Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, menggambarkan hubungan kedua-dua negara kini berada pada “tahap yang baru”.
Majlis rasmi sambutan negara turut menampilkan iringan muzik tentera, upacara permaidani merah dan pertemuan tertutup di Istana Amir.
Antara perjanjian yang ditandatangani termasuk pembelian 210 pesawat Boeing oleh Qatar Airways yang dianggarkan bernilai AS$96 bilion, termasuk model Dreamliner 787 dan 777X.
Rumah Putih menyifatkan pembelian itu sebagai pesanan pesawat berbadan lebar terbesar dalam sejarah, serta yang terbesar untuk siri 787.
“Ini adalah bukti keyakinan Qatar terhadap kepakaran teknologi dan mutu produk Amerika,” kata seorang pegawai Boeing.
Dalam sektor pertahanan, Qatar menjadi pelanggan antarabangsa pertama untuk sistem pertahanan dron canggih keluaran Raytheon, dalam perjanjian bernilai AS$1 bilion.
Syarikat General Atomics pula menandatangani kontrak hampir AS$2 bilion untuk membekalkan dron MQ-9B kepada Doha.
Ini merupakan sebahagian daripada perjanjian keselamatan yang lebih luas, yang turut merangkumi latihan, penyelenggaraan dan pemindahan teknologi.
Kedua-dua negara turut menandatangani pernyataan hasrat bagi memperkukuh kerjasama keselamatan yang memperincikan lebih AS$28 bilion dalam pelaburan berpotensi.
“Kami melihat Qatar bukan sahaja sebagai rakan strategik, bahkan sebagai pelabur besar dalam keselamatan rantau ini,” ujar seorang pegawai kanan Rumah Putih.
Selain pertahanan, sektor tenaga dan teknologi turut mendapat perhatian.
McDermott International bekerjasama dengan Qatar Energy dalam projek bernilai AS$8.5 bilion, manakala Parsons Corp dijangka menyertai 30 projek bernilai sehingga AS$97 bilion.
Syarikat teknologi Quantinuum dan Al Rabban Capital, turut memeterai usaha sama dalam bidang teknologi kuantum dan pembangunan tenaga kerja bernilai AS$1 bilion.
Qatar memainkan peranan penting dalam strategi keselamatan Amerika di rantau ini.
Negara kecil tetapi berpengaruh itu menjadi tuan rumah kepada Pangkalan Udara Al Udeid, kemudahan ketenteraan Amerika terbesar di Timur Tengah yang berfungsi sebagai pusat logistik untuk Central Command Amerika.
Di bawah perjanjian 2024, pasukan tentera Amerika akan terus ditempatkan di situ untuk sekurang-kurangnya satu dekad lagi.
Qatar juga telah dinamakan sebagai sekutu utama bukan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) oleh bekas Presiden Joe Biden pada 2022, memperkukuh lagi peranannya sebagai pemain utama dalam strategi Amerika di rantau Arab.
Langkah itu juga menjadikan Qatar sebagai antara rakan strategik utama Washington dalam inisiatif perdamaian serantau, termasuk usaha meredakan ketegangan antara Israel dengan Hamas.
Lawatan Encik Trump kali ini turut memberi perhatian kepada hubungan komersial yang lebih mendalam antara sektor swasta kedua-dua negara.
Dalam satu sesi pertemuan bersama pemimpin perniagaan Qatar dan Amerika, Encik Trump menekankan kepentingan pelaburan langsung dalam membina pekerjaan dan teknologi masa hadapan.
“Kita tidak hanya menandatangani perjanjian, kita sedang membina masa depan bersama,” kata beliau.
Presiden Trump dijadual meneruskan lawatannya ke Abu Dhabi pada 15 Mei, sebelum menamatkan lawatan empat harinya di Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Beliau dijangka mengadakan rundingan tertutup dengan pemimpin UAE serta mengumumkan siri kerjasama ekonomi dan keselamatan yang baru. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg