RIYADH: Pihak berkuasa Arab Saudi telah menahan seramai 18,407 individu dalam tempoh seminggu atas pelbagai kesalahan melibatkan pelanggaran undang-undang imigresen, buruh dan keselamatan sempadan, menurut laporan Agensi Berita Saudi (SPA). Langkah tegas ini diambil menjelang musim Haji 2025 yang dijangka berlangsung dari 4 hingga 9 Jun tahun 2025 ini.
Daripada jumlah tersebut, 12,995 individu ditahan kerana melanggar undang-undang pemastautin, 3,512 kerana memasuki sempadan secara haram, dan 1,900 atas kesalahan berkaitan pekerjaan.
Menurut Kementerian Dalam Negeri, antara mereka yang cuba memasuki Arab Saudi secara tidak sah, 66 peratus adalah warga Ethiopia, 28 peratus warga Yaman, manakala selebihnya dari pelbagai negara lain.
Pihak berkuasa turut menahan 67 individu yang cuba keluar ke negara jiran secara haram, serta 21 orang lagi kerana dipercayai membantu atau melindungi pendatang tanpa izin.
Kementerian turut mengingatkan bahawa sesiapa yang didapati membantu kemasukan pendatang haram boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun, denda sehingga SR1 juta (kira-kira S$360,000) serta perampasan kenderaan dan harta benda.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk mengekalkan keselamatan negara dan memelihara kestabilan undang-undang,” kata kenyataan rasmi kementerian yang dipetik oleh Arab News.
Orang awam turut digesa supaya segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan melalui talian bebas tol 911 untuk wilayah Makkah dan Riyadh, atau 999 dan 996 untuk kawasan lain.
Sementara itu, pihak berkuasa menyatakan bahawa ramai warga asing telah menyalahgunakan visa lawatan dengan tinggal lebih lama daripada yang dibenarkan, semata-mata untuk menyertai ibadah Haji.
Putera Mahkota Mohammed bin Salman telah mengarahkan penguatkuasaan visa yang lebih ketat untuk memastikan musim Haji berjalan dengan selamat, teratur dan terkawal.
Kementerian Pelancongan Arab Saudi juga menegaskan bahawa pemegang visa lawatan tidak dibenarkan menunaikan Haji 2025. Sesiapa yang memasuki Makkah atau kawasan suci seperti Masjidil Haram, Mina, Arafah, dan Muzdalifah tanpa permit rasmi Haji akan dikenakan denda sebanyak SR10,000 (sekitar S$3,600). Pelanggaran berulang akan menyebabkan denda itu digandakan.
“Langkah ini penting demi keselamatan jemaah dan kelancaran salah satu acara keagamaan terbesar di dunia,” kata seorang pegawai kanan Kementerian Haji dan Umrah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg