OTTAWA: Lebih 800 kebakaran hutan yang masih marak di seluruh Canada mencetuskan krisis kualiti udara sehingga asap tebal merebak ke beberapa negeri di Amerika Syarikat, memaksa pihak berkuasa mengeluarkan amaran kesihatan dan membatalkan pelbagai aktiviti luar.

Asap daripada kebakaran itu menyelubungi bandar-bandar utama termasuk Toronto, Detroit, Chicago, New York dan kawasan New England, menyebabkan indeks kualiti udara meningkat ke paras berbahaya.

Pihak berkuasa di kedua-dua negara menasihatkan orang ramai supaya berada di dalam bangunan dan mengelakkan aktiviti luar kerana pendedahan kepada udara tercemar boleh menyebabkan masalah pernafasan serta komplikasi kesihatan yang serius.

Gabenor New York, Cik Kathy Hochul, berkata keadaan itu merupakan ancaman besar kepada kesihatan awam.

“Kita sedang berdepan situasi kesihatan yang sangat serius. Asap tebal menyelubungi sebahagian besar negeri ini dan menjadikan udara sangat tidak sihat untuk berada di luar.

“Ini berita buruk untuk semua penduduk New York dan kesannya amat besar,” katanya.

Di New York, pelan kecemasan akibat cuaca panas dan pencemaran udara telah diaktifkan, termasuk pembukaan ratusan pusat penyejukan serta pengagihan pelitup muka KN95 kepada orang ramai.

Pemandangan mercu tanda terkenal seperti Bangunan Empire State dan Patung Liberty turut terhalang akibat asap tebal yang menyelubungi bandar raya itu.

Menurut Program Indeks Kualiti Udara Amerika Syarikat, amaran udara berbahaya turut dikeluarkan di Chicago, Grand Rapids di Michigan, Pittsburgh di Pennsylvania dan Toledo di Ohio.

Di beberapa bandar seperti Chicago, Cleveland, Detroit dan Minneapolis, bacaan kualiti udara mencecah hampir dua kali ganda paras yang dikategorikan sebagai berbahaya.

Seorang pakar kesihatan awam berkata keadaan itu terlalu berisiko sehingga tiada siapa sepatutnya berada di luar rumah.

Milwaukee pula merekodkan kualiti udara paling buruk dalam sejarah bandar itu.

Di Toronto, dua hospital utama melaporkan peningkatan kira-kira 80 peratus pesakit yang mendapatkan rawatan kecemasan akibat masalah dipercayai berpunca daripada pencemaran udara, termasuk sesak nafas dan sakit dada.

Selain menjejaskan kesihatan, asap tebal turut menyebabkan banyak aktiviti luar dibatalkan.

Program perkhemahan musim panas kanak-kanak, konsert, aktiviti riadah serta pembukaan pantai di beberapa tasik utama terpaksa dihentikan buat sementara waktu.

Konsert kumpulan rock terkenal The Black Keys di Chicago turut dijadualkan semula kerana keadaan udara yang berbahaya.

Menurut Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Kanada, sebanyak 858 kebakaran hutan masih aktif di seluruh negara, termasuk 30 kebakaran baharu yang dikesan pada lewat 16 Julai.

Sebahagian besar kebakaran itu masih belum dapat dikawal.

Di wilayah Ontario, satu kebakaran besar memaksa komuniti Orang Asli dipindahkan, dengan seorang ketua masyarakat menyifatkan penempatan mereka “musnah menjadi abu”.

Asap kebakaran turut menimbulkan kebimbangan menjelang perlawanan akhir Piala Dunia Fifa yang dijadual berlangsung di Stadium New York-New Jersey pada 19 Julai ini.

Perlawanan antara Sepanyol dan Argentina dijangka menarik lebih 80,000 penonton, selain menampilkan persembahan hiburan separuh masa.

Setakat ini, pihak penganjur belum mengumumkan sebarang perubahan kepada jadual perlawanan.

Pasukan Sepanyol yang tiba di New Jersey pada 12 Julai meneruskan latihan luar seperti biasa dan belum menyatakan sebarang kebimbangan terhadap keadaan udara.

Argentina pula dijangka memulakan latihan di New Jersey pada 17 Julai selepas berada di Georgia sejak menewaskan England pada aksi separuh akhir.

Bagaimanapun, seorang penari yang sedang membuat latihan untuk persembahan pembukaan final memaklumkan keadaan udara amat sukar.

“Sukar untuk bernafas. Udara terasa berat ketika menari,” katanya kepada bapanya menerusi mesej.
Keadaan cuaca yang berjerebu turut menjejaskan saingan bola sepak lain.

Pakar meteorologi Amerika Syarikat bagaimanapun menjangkakan keadaan udara akan beransur pulih mulai 17 Julai manakala hujan yang diramal turun pada 18 Julai dijangka membantu mengurangkan asap dan meningkatkan kualiti udara menjelang perlawanan akhir Piala Dunia. - Agensi berita