Israel buka sebahagian pintu lintasan Rafah di Gaza pada 1 Feb
Israel buka sebahagian pintu lintasan Rafah di Gaza pada 1 Feb
BAITULMAQDIS: Israel akan membuka sebahagian pintu sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir pada 1 Februari, selepas berbulan-bulan desakan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Terdahulu, pejuang Hamas menggesa peralihan segera ke fasa kedua gencatan senjata di Gaza yang dipertimbangkan oleh Amerika Syarikat (AS), termasuk pembukaan semula Rafah serta kemasukan sebuah jawatankuasa Palestin teknokratik bagi mentadbir wilayah itu.
Israel sebelum ini menyatakan keengganannya untuk membuka semula laluan berkenaan sehingga memperoleh kembali jasad Ran Gvili, tebusan terakhir yang ditahan di Gaza.
Mayat Gvili ditemui awal minggu ini dan dikebumikan di Israel pada 28 Januari.
“Pintu sempadan Rafah akan dibuka pada Ahad ini (1 Februari) bagi pergerakan masuk dan keluar, namun terhad kepada pergerakan individu sahaja,” menurut kenyataan Penyelaras Aktiviti Pemerintah di Wilayah (Cogat), sebuah agensi Kementerian Pertahanan Israel yang menyelaras kemasukan bantuan ke Gaza, pada 30 Januari.
Menurut kenyataan itu, kemasukan dan keluaran akan dibenarkan dengan penyelarasan bersama Mesir, selepas kelulusan keselamatan awal oleh Israel, serta di bawah pemantauan misi Kesatuan Eropah (EU).
Pintu sempadan di bahagian selatan wilayah tersebut, yang bersempadan dengan Mesir, merupakan satu-satunya laluan keluar masuk Gaza yang tidak melalui Israel.
Ia terletak di kawasan yang dikuasai tentera Israel sejak pengunduran mereka ke “Garis Kuning”, iaitu garis yang membahagikan kawasan Gaza di bawah kawalan Israel dan dianggap sebagai “sempadan baharu” menurut terma perjanjian gencatan senjata.
Tentera Israel masih menguasai lebih separuh wilayah Gaza.
Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Encik Farhan Haq, menyambut baik rancangan pembukaan semula itu pada taklimat medianya.
“Kami amat berharap pintu Rafah turut dibenarkan untuk pergerakan barangan dan bekalan.
“Mengembalikan pergerakan barangan dan bekalan melalui pintu Rafah adalah genting bagi meningkatkan jumlah bekalan kemanusiaan yang memasuki Gaza, sekali gus mempertingkatkan usaha tindak balas kemanusiaan.
“Bagi mereka yang berlepas, kami berulang kali menegaskan sesiapa yang memilih untuk keluar atau kembali mesti berbuat demikian secara sukarela dan selamat,” katanya.
Sebelum pengumuman Israel itu, Presiden Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), Cik Mirjana Spoljaric, menggesa masyarakat antarabangsa supaya memanfaatkan peluang yang terhasil daripada fasa pertama perjanjian antara Israel dan Hamas untuk segera tangani krisis kemanusiaan genting di Gaza. - AFP

