Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lokasi rundingan Sharm el-Sheikh lambang kebangkitan pengaruh politik Mesir

Mesir kini muncul sebagai penghubung penting bagi pastikan kejayaan pelan damai Gaza yang diusaha Amerika
Oct 20, 2025 | 5:30 AM
Sharm el-Sheikh, politik Mesir, pelan damai Gaza 
(Barisan hadapan dari kiri ke kanan) Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan; Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah al-Sisi; Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump; dan Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani, bersama pemimpin lain bergambar sempena Sidang Puncak Gaza di Sharm el-Sheikh di Mesir pada 13 Oktober 2025. Encik Trump tiba di Mesir pada hari yang sama untuk menghadiri sidang puncak mengenai pelan damai Gaza, selepas lawatan singkat ke Israel susulan pelaksanaan gencatan senjata yang diusahakannya. - Foto AFP

KAHIRAH: Peranan Mesir kini kembali ke pusat pentas diplomatik Timur Tengah selepas bertahun-tahun tenggelam oleh masalah ekonomi dan keselamatan dalam negeri.

Di sebalik perang panjang Israel di Gaza, Mesir kini muncul sebagai penghubung penting dalam memastikan kejayaan pelan damai Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.

Utusan Khas Amerika ke Timur Tengah, Encik Steve Witkoff, memuji kepimpinan Presiden Abdel Fattah al-Sisi, dengan menyatakan bahawa kejayaan fasa pertama pelan damai itu “tidak mungkin tercapai tanpa sokongan Mesir”.

Selepas sekian lama peranannya berkurang dalam isu serantau, Mesir kini kembali memainkan peranan utama sebagai pengantara politik dan keselamatan.

Kedudukan geografi Mesir yang bersempadan dengan Gaza, pengalaman panjangnya dalam rundingan damai, serta kepentingan strategik menjadikannya rakan penting kepada Washington dan negara serantau.

Pemilihan Sharm el-Sheikh di Mesir sebagai lokasi rundingan pada 9 Oktober bukan kebetulan.

Ia melambangkan cita-cita Mesir menegaskan semula kedudukannya sebagai kuasa politik serantau yang berpengaruh.

Menteri Luar Mesir, Encik Badr Abdelatty, dilaporkan memainkan peranan penting bagi meyakinkan Hamas agar menyertai rundingan secara serius.

Beliau turut bekerjasama dengan Qatar dan Turkey untuk menjamin pelan itu akan membawa gencatan senjata kekal dan pengunduran penuh tentera Israel.

Namun, beliau turut menegaskan “Hamas tidak akan memainkan peranan dalam pentadbiran Gaza selepas perang”.

Peranan Keselamatan dan Pascaperang

Dalam fasa awal pelan damai, Mesir akan menghantar sejumlah pegawai tentera untuk menyertai pasukan pemantau gencatan senjata bersama 200 anggota tentera Amerika.

Pasukan itu akan memantau pelaksanaan pertukaran tebusan dan tahanan serta mengesan mayat tebusan di Gaza.

Namun, peranan sebenar Mesir dalam pasukan keselamatan antarabangsa yang akan dibentuk selepas pengunduran tentera Israel masih belum jelas.

Negara-negara Arab dan Islam yang menyokong pelan Encik Trump dijangka turut serta dalam pasukan itu.

Mantan Jeneral Tentera Mesir, Encik Nasr Salem, menegaskan keperluan segera bagi kehadiran pasukan antarabangsa di Gaza selepas pengunduran Israel.

“Kehadiran pasukan antarabangsa sangat penting bagi mengelakkan kekosongan kuasa di Gaza yang boleh mengancam keselamatan sempadan Mesir,” katanya kepada laman web berita berbahasa Inggeris, The New Arab.

Namun, Mesir tidak mahu memikul tanggungjawab mengawal Gaza secara bersendirian.

Oleh itu, Kahirah berusaha memastikan komitmen Amerika dan negara Teluk lain untuk berkongsi beban keselamatan dan pembiayaan.

Langkah itu juga bertujuan mengelakkan pengulangan pengalaman getir antara 1948 dengan 1967, apabila Mesir menguasai Gaza tetapi akhirnya kehilangan Semenanjung Sinai kepada Israel.

Mesir turut menolak permintaan Israel untuk mengekalkan kehadiran tetap di Koridor Philadelphi, sempadan antara Gaza dengan Mesir.

Sebaliknya, Kahirah mencadangkan rondaan bersama bagi memantau penyeludupan senjata dan mengekang kebangkitan sel-sel ekstremis Daesh di Sinai.

Bantuan Kemanusiaan dan Pelan Pembinaan Semula

Mesir turut menjadi peneraju dalam aspek kemanusiaan dan pembinaan semula Gaza.

Sejak awal perang, Kahirah telah mendesak agar bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa had.

Kini, di bawah pelan gencatan senjata baru, jumlah bantuan meningkat kepada 400 lori sehari, dengan sasaran mencecah 600 lori yang membawa makanan, ubat-ubatan dan tempat perlindungan sementara.

“Keperluan kemanusiaan di Gaza amat besar selepas dua tahun perang,” kata Encik Osama Shaath, penasihat kepada Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas.

“Tanah pertanian musnah sepenuhnya dan tidak mampu menghasilkan makanan untuk beberapa tahun akan datang.”

Pelan itu turut melengkapkan Rancangan Pembinaan Semula Gaza 2030 yang dirangka oleh Mesir dan disokong oleh negara Arab, dengan kos dianggarkan bernilai AS$50 bilion ($65 bilion).

Rancangan itu melibatkan pembersihan runtuhan, pemusnahan bom yang belum meledak, dan pembinaan semula prasarana dengan tenaga suria.

Encik Trump turut bersetuju agar pelan pembinaan semula Gaza dipantau oleh sebuah lembaga antarabangsa – ‘Lembaga Kemanan’ – yang diketuai oleh beliau sendiri dan dianggotai mantan Perdana Menteri Britain, Encik Tony Blair, dengan pengawasan sementara sebelum Penguasa Palestin (PA) mengambil alih pentadbiran.

Menurut Encik Shaath, “Mesir menekankan agar Gaza kembali di bawah kawalan PA kerana hanya dengan cara itu perpaduan pentadbiran Palestin antara Gaza dengan Tebing Barat dapat dicapai, satu langkah penting ke arah pembentukan negara Palestin yang berdaulat”.

Mesir turut menekankan bahawa pelan damai hanya akan berjaya jika pengaruh politik dan ketenteraan Hamas dibubarkan sepenuhnya.

“Mesir tegas bahawa pengakhiran pemerintahan Hamas adalah jalan untuk menamatkan konflik,” kata penganalisis politik Mesir, Encik Ahmed Abdel Meguid.

Beliau menambah: “Kumpulan itu hanya membawa peperangan dan kemusnahan kepada rakyat Palestin.”

Hubungan Mesir dengan Hamas sememangnya rumit, dipengaruhi oleh perbezaan ideologi.

Hamas dianggap sebagai cabang Ikhwanul Muslimin – gerakan yang diharamkan oleh Mesir sejak 2013.

Bagi Kahirah, mengawal pengaruh Hamas bukan hanya soal politik, bahkan juga keselamatan nasional.

Hubungan Tegang dengan Israel, Amerika

Walaupun menjadi rakan penting kepada pelan Encik Trump, hubungan Mesir dengan Amerika dan Israel tetap tegang.

Presiden Sisi pernah membatalkan lawatannya ke Washington selepas Encik Trump memperkenalkan idea ‘Gaza Riviera’ yang dilihat sebagai percubaan untuk mengubah identiti Gaza menjadi zon ekonomi baru di bawah pengawasan Barat.

Dalam ucapannya di Doha pada 15 September, Encik Sisi turut mengecam keras percubaan Israel membunuh pemimpin Hamas di ibu kota Qatar.

Sementara itu, peningkatan kehadiran tentera Mesir di Sinai bagi mencegah penghijrahan besar-besaran rakyat Palestin menimbulkan ketegangan baru dengan Israel.

Kahirah menegaskan bahawa langkah itu adalah untuk pertahanan sempadan, bukan serangan.

Biarpun pelan damai itu membuka ruang baru, masih banyak persoalan tidak terjawab.

Antaranya, siapakah yang akan mengawal sempadan Rafah selepas pengunduran Israel, dan bagaimana proses pelucutan senjata Hamas akan dijalankan?

Pelan Encik Trump juga belum menetapkan struktur jelas bagi Pasukan Keselamatan Antarabangsa (ISF) yang akan bertanggungjawab menjaga sempadan, melatih polis Palestin dan mengelakkan kekosongan kuasa.

Kekurangan butiran itu menimbulkan kebimbangan bahawa Mesir mungkin terpaksa menanggung tanggungjawab keselamatan Gaza jika pemain antarabangsa lain menarik diri.

“Kahirah tidak mahu sejarah berulang,” kata seorang diplomat Mesir kepada The New Arab.

“Kami akan hanya menyertai jika ada tanggungjawab kolektif antarabangsa dan mandat jelas daripada PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu).”

Mesir juga berhati-hati agar penglibatannya tidak menjejas ekonomi dalam negara yang sedang pulih.

Ketegangan berpanjangan dengan Israel boleh menjejas pelaburan asing dan sektor pelancongan yang baru pulih.

Selain itu, Mesir bergantung kepada import gas asli dari Israel, yang merupakan sumber tenaga penting dan lebih murah berbanding gas cecair import.

Oleh itu, Kahirah berhati-hati agar pelan damai itu tidak mencetuskan konflik ekonomi atau sekatan baru.

Kini, Mesir berada di persimpangan penting antara peluang untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa diplomatik utama, dengan risiko terseret dalam beban politik serta keselamatan Gaza.

Namun, peranan aktif Mesir dalam pelan damai Encik Trump memberi harapan bahawa Gaza akhirnya mungkin menemui jalan menuju kestabilan dan pembinaan semula.

Seperti yang disimpulkan oleh penganalisis ketenteraan dan mantan pegawai kanan tentera Mesir, Jeneral (Bersara) Nasr Salem: “Mesir bukan sekadar jiran Gaza, ia adalah penjaga kestabilan rantau ini.

“Tanpa Mesir, tidak akan ada keamanan sebenar.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg