RIYADH: Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman (MBS), pada 15 Oktober melancarkan projek pembangunan mega berhampiran Masjidil Haram di Makkah yang dinamakan King Salman Gate (Gerbang Raja Salman), yang bakal menambah kira-kira 900,000 ruang solat baru di dalam dan luar kawasan masjid.
Projek campuran seluas 12 juta meter persegi itu akan menempatkan kemudahan kediaman, kebudayaan dan perkhidmatan moden, sambil mengekalkan identiti warisan Makkah yang menjadi simbol Islam sedunia.
Projek ini dilaksanakan oleh syarikat RUA Al-Haram Al-Makki, anak syarikat kepada Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi.
Projek Gerbang Raja Salman menandakan satu mercu tanda penting dalam usaha pembangunan bandar suci Makkah. Ia bukan sekadar meningkatkan akses ke Masjidil Haram, tetapi juga memperkaya pengalaman setiap jemaah dan pelawat, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA).
Projek itu selaras dengan Wawasan 2030 Arab Saudi bagi memodenkan bandar-bandar suci serta meningkatkan kemudahan kepada jutaan jemaah haji dan umrah setiap tahun.
Gerbang Raja Salman bakal menambah ruang solat, apartmen kediaman, hotel dan kedai di kawasan seluas hampir suku daripada saiz bandar Manhattan di Amerika Syarikat, serta dilengkapi sistem pengangkutan awam bagi memudahkan akses ke Masjidil Haram.
“Dengan reka bentuk yang menggabungkan warisan seni bina Islam dan kemodenan, projek ini akan menjadi penanda aras baharu bagi pembangunan bandar global,” lapor SPA.
Selain memperluas kapasiti jemaah, projek ini akan memulihara dan membangunkan 19,000 meter persegi tapak warisan bersejarah, mengekalkan nilai budaya Makkah sambil memastikan kemajuan bandar berjalan secara lestari.
Menurut laporan SPA lagi, projek itu dijangka mewujudkan lebih 300,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2036, sekali gus menyumbang kepada usaha negara itu untuk mempelbagaikan ekonomi di luar sektor minyak.
“Projek ini bukan sekadar simbol pembangunan, tetapi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial Arab Saudi,” tambah SPA.
Dengan pelan pembangunan yang menumpukan kepada pengurusan sumber lestari dan inovasi teknologi, RUA Al-Haram Al-Makki menegaskan komitmennya untuk menambah baik mutu hidup penduduk serta pengalaman para jemaah melalui pendekatan hijau dan mesra alam.
Arab Saudi kini giat membangunkan Makkah dan Madinah untuk menampung 30 juta jemaah asing setiap tahun menjelang 2030, di samping menarik pelabur tempatan dan antarabangsa dalam sektor hartanah serta hospitaliti.
SPA melaporkan bahawa kerajaan sedang memperkemas dasar pemilikan hartanah bagi pelabur luar di Riyadh dan Jeddah, sambil mengekalkan peraturan khas bagi kawasan suci di Mekah dan Madinah.
Menurut SPA, Gerbang Raja Salman akan memperkukuh daya tarikan Makkah sebagai destinasi global bukan sahaja untuk ibadah, tetapi juga pelancongan Islam bertaraf dunia.
Setakat ini, tiada butiran rasmi diberikan berhubung nilai keseluruhan projek atau tarikh siapnya, namun ia dilihat sebagai antara projek mega paling penting di bawah inisiatif Wawasan 2030.
Dengan pelancaran Gerbang Raja Salman, Makkah kini melangkah ke era baru pembangunan – satu transformasi yang dijangka mengubah wajah kota suci itu, menjadikannya lebih moden, mesra jemaah, dan mampan untuk generasi akan datang. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg