RIYADH: Arab Saudi bakal melakar sejarah warisan Islam baru menjelang November 2025 apabila negara itu menyambut 300,000 pelawat sempena pelancaran projek mega, In the Prophet’s Steps (Mengikut Jejak Nabi) yang juga dikenali sebagai ‘Ala Khutah’.
Projek itu menghidupkan kembali jejak Hijrah Nabi Muhammad saw dari Makkah ke Madinah, menjanjikan gabungan aspek kerohanian, teknologi moden dan warisan Islam yang mendalam, sesuatu yang belum pernah dilaksanakan sebelum ini.
Sambutan dari seluruh dunia begitu di luar jangkaan dan amat memberangsangkan dengan lebih 1 juta pendaftaran diterima dengan 300,000 dipilih bagi menyertai musim sulung ini.
Projek ‘Ala Khutah’ itu bukan sekadar sebuah tarikan pelancongan, ia adalah strategi kebudayaan, ekonomi dan geopolitik yang memberi kesan besar kepada identiti Islam, imej antarabangsa Arab Saudi, serta aspirasi Wawasan 2030 yang mahu menjadikan negara itu hab sejagat pelancongan dan warisan budaya.
Ia bakal menghidupkan kembali laluan sejauh 470 kilometer, dengan 305 kilometer boleh dilalui dengan berjalan kaki.
Sebanyak 41 tapak sejarah dipulihkan termasuk lokasi penting seperti Gua Thawr dan kawasan rehat yang pernah digunakan Rasulullah dan Abu Bakar Al-Siddiq ketika Hijrah.
Pengerusi Pihak Berkuasa Hiburan Umum (GEA), Encik Turki Alalshikh, menegaskan:
“Inisiatif ini mencerminkan arahan Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman untuk melestari dan mempromosikan sejarah Islam.
“Ia bukti komitmen kepimpinan terhadap pemeliharaan warisan Islam.”
Projek itu turut menampilkan lima stesen interaktif, lapan lokasi rehat, sebuah Muzium Hijrah, serta ruang khas untuk berdoa dan bertafakur.
Dengan sokongan teknologi canggih seperti realiti terimbuh (AR), naratif digital dan kemudahan moden, pengalaman yang ditawarkan bersifat mendalam, bersepadu dan mudah diakses
Pelancaran projek itu tidak boleh dipisahkan daripada Wawasan 2030, pelan strategik Arab Saudi untuk mengurangkan kebergantungan terhadap minyak dan membangunkan sektor baru ekonominya seperti pelancongan, budaya dan hiburan.
Menurut kajian oleh ResearchGate (2024), sektor pelancongan agama di Arab Saudi menyumbang lebih 7 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP), namun masih bertumpu pada haji dan umrah.
Projek ‘Ala Khutah’ memperluas pelancongan agama dengan menawarkan pengalaman tambahan di luar ibadah wajib.
Raja Salman bin Sultan berkata: “Projek ini adalah sebahagian daripada usaha besar negara untuk menghidupkan semula tapak warisan Islam, dengan menggabungkan nilai rohaniah yang mendalam bersama tradisi khazanah sejarah dan peradaban kerajaan Arab Saudi.”
Kenyataan Raja Salman memperlihatkan bahawa daya usaha tersebut bukan sekadar bernilai ekonomi, bahkan turut menjadi lambang kebangkitan identiti nasional serta usaha menempatkan Arab Saudi sebagai pusat warisan Islam sejagat.
Hijrah bukan semata-mata perjalanan fizikal, tetapi transformasi sosial yang melahirkan masyarakat berasas iman, keadilan dan perpaduan.
Dengan membawa pengunjung menjejaki kembali laluan Hijrah, projek ini membolehkan mereka merasai makna sejarah yang mendalam.
Aspirasi ‘Ala Khutah’ menjadikan pengalaman Hijrah relevan dengan cabaran umat Islam kontemporari.
Projek itu juga perlu dilihat melalui lensa geopolitik.
Arab Saudi sedang berusaha menampilkan dirinya bukan sahaja sebagai penjaga tanah suci malah sebagai pusat diplomasi budaya Islam sejagat.
Dengan tarikan awal dari negara seperti Indonesia, Malaysia, Turkey dan India, bagi projek ‘Ala Khutah’, Encik Turki berkata ia berpotensi menjadi jambatan hubungan rakyat-ke-rakyat, bukan sahaja melalui pengalaman kerohanian Hijrah bahkan juga melalui perkongsian budaya, warisan serta nilai kemanusiaan yang terkandung dalam perjalanan bersejarah itu.
“Ini memberi nilai tambah kepada bagaimana projek sebegini boleh memperkukuh perpaduan umat Islam antarabangsa,’‘ ujar Encik Turki.
Menurut laporan Laporan Ekonomi Islam Sejagat 2022 yang diterbitkan oleh DinarStandard, dari sudut pasaran, industri pelancongan Islam dijangka mencecah AS$300 bilion ($384 bilion) menjelang 2030.
Arab Saudi pula berusaha mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju utama pasaran itu.
Sasaran ‘Ala Khutah’ untuk mencapai 5 juta pelawat setahun menjelang 2030 bukanlah mustahil.
Dengan kapasiti harian 12,000 orang, sokongan logistik seperti kenderaan 4×4 di kawasan berbukit, serta kemudahan moden 30 restoran dan 50 kedai, projek itu menepati standard pelancongan bertaraf dunia.
Bagi pelancong Muslim, pengalaman itu boleh menjadi pelengkap haji dan umrah.
Bagi bukan Muslim, ia menawarkan pemahaman mendalam tentang tamadun Islam.
Projek Ala Khutah membawa tiga aspek penting.
Pertama, ia menghidupkan semula warisan Hijrah dengan gabungan sejarah, teknologi dan kerohanian.
Kedua, ia memperkukuh diplomasi budaya Arab Saudi, menempatkannya sebagai pemimpin naratif Islam peringkat sejagat.
Ketiga, ia selari dengan aspirasi Visi 2030, meletakkan pelancongan agama dan budaya sebagai pemacu kepelbagaian ekonomi negara itu.
Sebagaimana yang dinyatakan Encik Turki:
“Projek ini bukan sahaja peluang untuk menerokai laluan Hijrah, bahkan juga untuk merenung pengajaran abadi daripadanya.”
Menurut beliau, masa depan projek itu bukan sahaja akan menentukan kejayaan Arab Saudi dalam sektor pelancongan budaya, bahkan juga bagaimana sejarah Islam dapat dijadikan sumber inspirasi, penyatuan dan transformasi bagi umat Islam di seluruh dunia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg