Maliki kembali ke pentas kuasa, uji kedaulatan Iraq antara Washington–Teheran

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maliki kembali ke pentas kuasa, uji kedaulatan Iraq antara Washington–Teheran

Feb 16, 2026 | 5:30 AM

Maliki kembali ke pentas kuasa, uji kedaulatan Iraq antara Washington–Teheran

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Penyokong bekas Perdana Menteri Iraq, Nouri al-Maliki, berhimpun membantah terhadap tindakan yang mereka dakwa sebagai campur tangan Amerika Syarikat terhadap kedaulatan Iraq berhampiran pintu masuk Zon Hijau yang menempatkan Kedutaan Amerika Syarikat dan misi diplomatik lain di Baghdad, Iraq, pada 29 Januari 2026.
Penyokong bekas Perdana Menteri Iraq, Nouri al-Maliki, berhimpun membantah terhadap tindakan yang mereka dakwa sebagai campur tangan Amerika Syarikat terhadap kedaulatan Iraq berhampiran pintu masuk Zon Hijau yang menempatkan Kedutaan Amerika Syarikat dan misi diplomatik lain di Baghdad, Iraq, pada 29 Januari 2026. - Foto REUTERS

BAGHDAD: Keputusan pakatan politik Syiah, Gabungan Penyelaras Iraq untuk mencalonkan semula bekas perdana menteri Encik Nouri al-Maliki bagi menerajui pemerintah sekali lagi telah mencetuskan reaksi meluas, baik di dalam mahupun di luar Iraq.

Langkah itu bukan sekadar pertarungan politik domestik, tetapi mencerminkan pertembungan kepentingan serantau yang lebih besar, khususnya antara Amerika Syarikat dan Iran, serta persoalan lama mengenai kedaulatan sebenar Baghdad.

Encik Maliki, yang pernah berkhidmat sebagai perdana menteri dari 2006 hingga 2014, merupakan tokoh paling berpengaruh tetapi juga paling kontroversi dalam politik Iraq pasca-2003. Sekiranya beliau kembali memegang jawatan itu buat kali ketiga, ia akan berlaku dalam konteks krisis politik berpanjangan, tekanan ekonomi, serta persekitaran keselamatan serantau yang semakin rapuh.

Amaran Washington dan pilihan Iran

Gabungan Penyelaras Iraq ialah gabungan Syiah yang menguasai majoriti di Parlimen Iraq, merangkumi beberapa blok utama termasuk Gabungan Undang-Undang Negara pimpinan Encik Maliki; Gabungan Fatah; Gabungan Kuasa Negara Nasional dan Gerakan Ata. Dalam gabungan ini juga terdapat kumpulan yang jelas berhaluan pro-Iran seperti Kataib Hezbollah; Asaib Ahl al-Haq dan Pertubuhan Badr.

Bagi ramai pemerhati, pencalonan Encik Maliki dilihat sebagai pemulihan semula apa yang sering digelar sebagai “pilihan Iran” bagi jawatan perdana menteri Iraq. Persepsi ini diperkukuh oleh sejarah peribadi Encik Maliki yang pernah mendapatkan perlindungan di Iran semasa era Saddam Hussein, serta rekod pemerintahannya yang memperlihatkan hubungan rapat dan strategik dengan Teheran.

Sokongan terbuka Iran terhadap kemungkinan penggal ketiga Encik Maliki, termasuk pujian daripada media yang berkait dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) yang melabelkannya sebagai “anti-Amerika”, menambah lagi kesukaran untuk menggambarkan pencalonan itu sebagai keputusan yang bebas sepenuhnya daripada pengaruh luar.

Penentangan terhadap kembalinya Encik Maliki banyak bersandarkan kepada legasi pemerintahannya yang dianggap menyumbang kepada ketegangan sektarian dan kemerosotan keselamatan. Kritikan utama tertumpu kepada pendekatan beliau yang sering dilihat meminggirkan komuniti Sunni, sekali gus mewujudkan persekitaran yang memudahkan kebangkitan militan ISIS pada 2014.

Walaupun perdebatan akademik masih berlangsung mengenai sejauh mana Encik Maliki secara peribadi bertanggungjawab berbanding faktor struktur yang lebih luas, hampir tiada pertikaian bahawa tempoh pemerintahannya kekal sebagai antara era paling bergolak dalam sejarah moden Iraq.

Pencalonan Encik Maliki turut mencetuskan reaksi keras daripada Amerika Syarikat. Presiden Donald Trump secara terbuka memberi amaran bahawa sokongan Washington terhadap Iraq akan ditarik balik sekiranya Maliki kembali menjadi perdana menteri.

“Ketika Maliki berkuasa sebelum ini, Iraq jatuh ke dalam kemiskinan dan kekacauan menyeluruh. Perkara itu tidak boleh dibiarkan berulang,” kata Encik Trump, sambil mengkritik apa yang disifatkannya sebagai “dasar dan ideologi yang tidak waras”.

Nada yang sama disuarakan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat Encik Marco Rubio, yang menegaskan bahawa “sebuah pemerintah yang dikawal Iran tidak mampu meletakkan kepentingan Iraq di hadapan, menjauhkan negara itu daripada konflik serantau, atau memajukan kerjasama strategik dengan Amerika Syarikat”.

Bagi Washington, pendirian ini mencerminkan usaha mengekang pengaruh Teheran di Baghdad, khususnya ketika Amerika Syarikat masih mengekalkan kepentingan keselamatan dan ekonomi di Iraq.

Encik Maliki menolak amaran tersebut sebagai campur tangan tidak sah kuasa asing dalam urusan dalaman Iraq. Pandangan ini turut dikongsi oleh sebahagian tokoh Iraq, termasuk mereka yang tidak bersekutu rapat dengan Iran, yang berpendapat bahawa tunduk kepada tekanan luar akan melemahkan kedaulatan negara.

Namun, kebimbangan juga wujud dalam kalangan anggota Gabungan Penyelaras Iraq sendiri. Encik Victoria J. Taylor, bekas pegawai kanan Jabatan Negara Amerika yang kini mengetuai Inisiatif Iraq di Majlis Atlantik menjelaskan bahawa “jika Maliki dilantik, pentadbiran Trump hampir pasti akan menafsirkan langkah itu sebagai pilihan jelas Baghdad memihak kepada Iran”.

Sementara itu, Encik Hayder al-Shakeri dari Chatham House menegaskan bahawa Washington “jelas tidak mahu tokoh yang dikaitkan dengan pengaruh Iran kembali ke jawatan perdana menteri”. Menurutnya, kenyataan awam Encik Trump menunjukkan Amerika Syarikat bersedia menggunakan tekanan politik, kewangan dan keselamatan bagi menyatakan ketidakselesaannya.

“Dari sudut Iraq, mesej sebegini sering dianggap sebagai campur tangan berlebihan dalam pembentukan kerajaan, sekali gus mengukuhkan persepsi bahawa kedaulatan negara terus dicabar,” kata Encik Shakeri.

Limpahan risiko konfrontasi serantau

Kembalinya Encik Maliki juga berpotensi mengubah pendekatan Iraq terhadap Syria. Semasa penggal terdahulu, beliau menyokong kuat rejim Bashar Al-Assad dengan menganggap tindakan keras terhadap penentang sebagai sebahagian daripada perang menentang keganasan.

Encik Maliki secara terbuka menyatakan ketidakpercayaan terhadap Presiden Syria masa ini, Encik Ahmed Al-Sharaa yang disifatkannya mempunyai latar belakang ekstremis. Pendekatan ini berbeza dengan pemerintah semasa pimpinan Perdana Menteri Iraq sejak Oktober 2022, Encik Mohammed Shia al-Sudani, yang cuba mengekalkan hubungan pragmatik dengan Damsyik atas alasan keselamatan sempadan.

Encik Sudani seorang ahli politik Syiah yang dikenali dengan gaya kepimpinan pragmatik dan teknokratik, serta keupayaannya mengekalkan keseimbangan dalam landskap politik Iraq yang sangat berpecah.

Bekas Duta Italy ke Iraq, Encik Marco Carnelos, memberi amaran bahawa kembalinya Encik Maliki boleh mencetuskan “konfrontasi terbuka Iraq–Syria” yang berpotensi meningkat secara dramatik, khususnya jika Syria kembali terjerumus ke dalam perpecahan dan kekacauan.

Konteks lebih luas menurutnya ialah ketegangan berterusan antara Amerika Syarikat dan Iran. Ketika Washington meneruskan dasar “tekanan maksimum” dan Teheran bertindak balas dengan “penentangan maksimum”, Iraq berada di tengah-tengah sebagai medan persaingan pengaruh.

Encik Carnelos mengemukakan persoalan penting: jika berlaku serangan ketenteraan Amerika Syarikat terhadap Iran, adakah militia Syiah pro-Iran di Iraq akan bertindak lebih agresif terhadap kepentingan Amerika, khususnya jika Maliki kembali berkuasa?

Soalan ini menggambarkan risiko limpahan konflik serantau ke dalam Iraq, negara yang setakat ini berjaya mengelakkan penglibatan langsung dalam peningkatan besar sejak Oktober lalu.

Pencalonan semula Encik Maliki bukan sekadar soal individu, tetapi ujian besar terhadap keupayaan Iraq menyeimbangkan hubungan dengan kuasa luar sambil mengekalkan kestabilan dalaman.

Bagi sesetengah rakyat Iraq, kembalinya Encik Maliki dilihat sebagai simbol penegasan kedaulatan dan penolakan tekanan asing. Bagi yang lain, ia membangkitkan trauma masa lalu yang penuh konflik dan perpecahan.

Seperti dirumuskan oleh Encik Carnelos, “Saya berharap penggal ketiga Maliki tidak melambangkan kembalinya ketegangan pasca-2003, dan bahawa beliau, dengan pengalaman lalu, mampu membawa Iraq keluar daripada kitaran pergolakan.”

Namun, hakikatnya, jika Encik Maliki kembali menerajui Baghdad, penggal ketiganya akan menjadi ujian paling kritikal terhadap kedaulatan Iraq, keseimbangan geopolitik serantau, dan keupayaan negara itu mengelakkan kesilapan masa silam. Taruhannya, tanpa ragu, amat tinggi. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg