Topik diikuti
Pergi ke BHkuMantan Amir Qatar: Kapten pasukan bola sepak sebelum terajui negara
Mantan Amir Qatar: Kapten pasukan bola sepak sebelum terajui negara
Mantan Amir Qatar: Kapten pasukan bola sepak sebelum terajui negara
DOHA: Pemergian mantan Amir Qatar, Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani, mengundang pelbagai penghormatan terhadap kejayaannya mengubah Qatar menjadi antara negara paling berpengaruh di Asia Barat.
Namun, di sebalik pencapaian diplomatik, ekonomi dan ketenteraan itu, ramai yang kurang mengenali sisi peribadi pemimpin yang membentuk watak kepimpinannya sejak usia muda.
Daripada kapten pasukan bola sepak yang tegas, peminat fesyen, pencinta sukan hinggalah kepada pemimpin yang berani memiliki cita-cita besar seperti membawa Piala Dunia Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) ke Qatar, semua pengalaman itu membentuk pendekatan kepimpinannya sepanjang hampir dua dekad memerintah negara.
Menurut dokumentari, Ode to Our Land, Allahyarham Sheikh Hamad sejak kecil menunjukkan sifat kepimpinan yang luar biasa sehingga rakan-rakan sepermainannya percaya beliau ditakdirkan memimpin negara.
Mantan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Tenaga dan Industri Qatar, Encik Abdullah bin Hamad Al Attiyah, yang membesar bersama Allahyarham Sheikh Hamad, berkata mereka sering meluangkan cuti musim sejuk di padang pasir untuk memburu menggunakan burung helang.
“Saya mengenalinya sejak berusia lima tahun.
“Ketika kecil lagi beliau mempunyai karisma yang tidak dimiliki orang lain. Sejak zaman kanak-kanak, beliau sentiasa menjadi pemimpin,” katanya.
Menurut Encik Al Attiyah, sifat kepimpinan Allahyarham Sheikh Hamad paling terserlah ketika bermain bola sepak.
Beliau menjadi kapten pasukan dan terkenal sebagai seorang yang sangat berdisiplin.
“Dalam permainan bola sepak, beliau adalah kapten pasukan. Beliau sangat tegas terhadap kami. Jika ada yang melakukan kesilapan, beliau akan menegurnya dengan tegas supaya kesalahan itu tidak berulang,” katanya.
Dari sudut sains politik, pengalaman memimpin dalam sukan sering dianggap sebagai proses awal pembentukan kepimpinan berasaskan disiplin, kebertanggungjawaban dan kerja berpasukan.
Ciri-ciri itu kemudian dapat dilihat dalam pentadbiran Allahyarham Sheikh Hamad apabila beliau memperkenalkan pelbagai pembaharuan ekonomi dan dasar luar yang berani selepas mengambil alih pemerintahan pada 1995.
Berani bermimpi besar
Satu lagi kisah yang sering diceritakan ialah cita-citanya membawa Piala Dunia Fifa ke Qatar.
Bekas Presiden, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Mohammed bin Hammam, mendedahkan idea itu pertama kali dikemukakan Allahyarham Sheikh Hamad kepada Presiden Fifa ketika itu, Sepp Blatter, sewaktu makan malam selepas Sukan Asia Doha 2006.
Pada ketika itu, cadangan berkenaan dianggap hampir mustahil kerana Qatar merupakan sebuah negara kecil yang tidak mempunyai sejarah menganjurkan kejohanan sukan terbesar dunia.
“Beliau memberitahu Sepp Blatter bahawa Qatar mahu menjadi tuan rumah Piala Dunia. Saya benar-benar terkejut dengan cita-cita sebesar itu,” katanya.
“Saya bertanya kepada diri sendiri, adakah perkara ini benar-benar boleh berlaku? Tiada seorang pun antara kami yang percaya ia mampu direalisasikan, tetapi beliau percaya.”
Empat tahun kemudian, dunia dikejutkan apabila Qatar dipilih sebagai tuan rumah Piala Dunia Fifa 2022.
Bagi Encik Al Attiyah, keputusan itu membuktikan kejayaan Allahyarham Sheikh Hamad dalam memecahkan tanggapan bahawa penganjuran kejohanan sukan bertaraf dunia hanya mampu digalas oleh negara besar.
“Beliau melangkaui segala batasan,” katanya.
Dari perspektif hubungan antarabangsa, penganjuran Piala Dunia bukan sekadar acara sukan, tetapi sebahagian daripada strategi meningkatkan imej negara, menarik pelaburan serta memperkukuh kedudukan Qatar di pentas sejagat.
Pasangan diraja cipta identiti baharu
Selain dasar luar dan pembangunan ekonomi, Allahyarham Sheikh Hamad, turut memperkenalkan imej baharu keluarga diraja Qatar.
Beliau sering tampil bersama isterinya, Sheikha Mozah binti Nasser, dalam lawatan rasmi, persidangan antarabangsa dan majlis diplomatik.
Pendekatan itu berbeza daripada kebiasaan negara Teluk ketika itu, apabila isteri pemimpin jarang muncul dalam acara rasmi.
Menurut Sheikha Mozah, Allahyarham Sheikh Hamad sentiasa mahukan segala-galanya dilakukan secara semula jadi.
Ketika menghadiri majlis pembukaan kampus Universiti Cornell di Qatar pada 2013, beliau dimaklumkan media antarabangsa mahu merakam kehadiran pasangan diraja itu.
“Beliau hanya berkata: ‘Teruskan sahaja. Biarkan semuanya berlaku seperti biasa.’ Itulah kali pertama saya muncul di hadapan kamera media antarabangsa,” ujarnya.
Pendekatan itu membantu membentuk imej Qatar sebagai sebuah negara Arab moden yang tetap mengekalkan identiti budaya dan tradisinya.
Pada penghujung pemerintahannya, Allahyarham Sheikh Hamad turut dikenali dengan penampilan yang sentiasa kemas.
Selepas menurunkan berat badan, beliau sering mengenakan sut yang dijahit khas dengan gaya rambut panjang yang menjadi identitinya.
Sheikha Mozah pula dikenali sebagai ikon fesyen dunia Arab kerana berjaya menggabungkan busana mewah antarabangsa dengan pakaian tradisional Qatar.
Walaupun kelihatan sebagai aspek peribadi, penampilan kedua-duanya sebenarnya menjadi sebahagian daripada strategi memperkukuh imej antarabangsa Qatar.
Dalam kajian diplomasi moden, penampilan pemimpin negara sering dianggap sebagai ciri diplomasi imej, iaitu usaha membentuk persepsi positif masyarakat antarabangsa terhadap sesebuah negara.
Semangat nasionalisme Arab
Rakan-rakan rapat Allahyarham Sheikh Hamad turut mengakui kesedaran politiknya berkembang sejak usia remaja.
Menurut Al Attiyah, beliau dipengaruhi gelombang nasionalisme Arab yang berkembang pada 1950-an dan 1960-an.
Seperti ramai anak muda ketika itu, Allahyarham Sheikh Hamad mengikuti rapat ucapan pemimpin nasionalis Arab dan percaya dunia Arab perlu bebas daripada pengaruh asing.
“Beliau sangat percaya kepada semangat nasionalisme Arab,” ujar Encik Al Attiyah.
“Kami pernah cuba menghentikan bas sekolah untuk mengadakan bantahan menentang penjajahan.”
Walaupun sentimen nasionalisme Arab semakin berubah selepas Perang Dingin, pengalaman awal itu dipercayai mempengaruhi dasar luar Qatar yang kemudian lebih bebas dan tidak terlalu bergantung kepada mana-mana kuasa serantau.
Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, pula menyifatkan Allahyarham Sheikh Hamad, sebagai pemimpin yang mudah didekati.
“Beliau mempunyai sifat humor yang tinggi, sangat mesra dan merendah hati,” katanya.
Gabungan sifat tegas, berfikiran jauh, berani mengambil risiko serta mudah bergaul menjadikan Allahyarham Sheikh Hamad, pemimpin yang berbeza daripada kebanyakan pemerintah Teluk pada zamannya.
Dari sudut akademik, kejayaan beliau tidak hanya berpunca daripada kekayaan minyak dan gas Qatar, malah hasil kepimpinan berasaskan visi jangka panjang, iaitu keupayaan menetapkan matlamat yang pada mulanya dianggap mustahil sebelum berjaya direalisasikan melalui dasar yang tekal.
Legasi Allahyarham Sheikh Hamad menunjukkan bahawa pembinaan sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada sumber asli, bahkan turut ditentukan oleh watak, keberanian membuat keputusan dan keupayaan seorang pemimpin mengubah cita-cita besar menjadi kenyataan. – Agensi berita.
