Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masyarakat Druze terperangkap dalam konflik kuasa serantau

Jul 28, 2025 | 5:30 AM
Anggota masyarakat Druze di Bukit Golan yang ditawan Israel berkumpul dalam satu perhimpunan perpaduan untuk menyokong puak Druze di Syria, bertempat di perkampungan Majdal Shams di Golan pada 19 Julai 2025.
Anggota masyarakat Druze di Bukit Golan yang ditawan Israel berkumpul dalam satu perhimpunan perpaduan untuk menyokong puak Druze di Syria, bertempat di perkampungan Majdal Shams di Golan pada 19 Julai 2025. - Foto AFP

DAMSYIK: Masyarakat Druze, yang menetap di Syria, Lebanon dan Israel, telah lama hidup dalam keseimbangan antara penyepaduan dengan keasingan.

Namun dalam landskap geopolitik Asia Barat yang kian bergolak, prinsip keseimbangan itu kini diuji secara drastik.

Kejadian keganasan di wilayah Sweida, Syria yang bermula pada 13 Julai dan mengorbankan lebih 500 nyawa, bukan sahaja mengancam kestabilan dalaman Syria bahkan turut mengundang reaksi Israel.

Ia sekali gus menyorot peranan penting masyarakat minoriti itu dalam konflik serantau.

Druze merupakan kepercayaan monoteistik yang muncul pada abad ke-11 sebagai cabang daripada Ismaili dalam Syiah Islam.

Walau berasal daripada tradisi Islam, penganut Druze tidak menganggap diri mereka sebagai Muslim.

Agama itu menggabungkan unsur falsafah Yunani, Hindu dan Neoplatonisme. Teks sucinya hanya boleh diakses oleh golongan terpilih.

Sikap tertutup itu telah menimbulkan rasa ingin tahu dan kecurigaan terhadap mereka selama berabad-abad.

Dianggarkan kira-kira separuh daripada sejuta penganut Druze tinggal di Syria dan ia mewakili sekitar 3 peratus daripada penduduk negara itu.

Selebihnya menetap di Lebanon, Israel dan kawasan Bukit Golan.

Prinsip utama kepercayaan mereka ialah kesetiaan pada negara tempat mereka bermastautin.

Justeru, walaupun masyarakat itu menghadapi tekanan daripada pelbagai penjuru, mereka cenderung tidak memusuhi pemerintah secara terbuka demi kelangsungan hidup.

“Perkara pelik tentang masyarakat ini ialah kami masih bertahan di salah satu kawasan paling ganas di dunia.

“Saya percaya falsafah hidup kami yang menyelamatkan kami,” kata Encik Fadi Azzam, penulis dan penyair Druze dari Sweida yang melarikan diri semasa perang saudara Syria.

Selama pemerintahan Bashar al-Assad, masyarakat Druze di Syria berjaya mengekalkan keseimbangan dengan mengelak daripada memberontak secara terbuka dan pada masa yang sama enggan terlalu terlibat rapat dengan rejim.

Namun, perubahan pemerintahan kepada Presiden Ahmad al-Sharaa menimbulkan cabaran baru apabila pemerintah cuba menyatukan kumpulan bersenjata saki-baki perang saudara.

Ketegangan memuncak apabila pertempuran maut tercetus di Sweida antara pejuang Druze dengan suku Badwi.

Campur tangan tentera Syria bagi menamatkan keganasan akhirnya berbalas tembakan daripada militan Druze yang tidak mempercayai pemerintah baru.

Menurut Pemerhati Hak Asasi Syria yang berpangkalan di Britain, lebih 500 nyawa terkorban dalam konflik tersebut.

Pergolakan itu turut mencetuskan reaksi dalam kalangan masyarakat Druze di Israel, yang menganjurkan bantahan, menyekat jalan raya dan dalam beberapa kes, menyeberang masuk ke Syria.

Tentera Israel kemudian melancarkan serangan ke atas Damsyik sebagai tanda amaran kepada pemerintah Syria.

Namun begitu, tidak semua Druze Syria menyambut baik tindakan itu.

Di Sweida, bendera Israel yang dinaikkan di dataran awam telah diturunkan dan dibakar sebagai tanda penolakan.

Ini mencerminkan jurang nilai antara Druze di Israel dengan Syria.

“Druze kini tersepit antara dua tekanan,” kata Dr Reda Mansour, pakar sejarah Druze dan profesor di Universiti Reichman, Israel.

Ketua Kerohanian Druze Israel, Encik Muwaffaq Tarif, berkata: “Israel tidak boleh terus menjadi pemerhati terhadap apa yang sedang berlaku di Syria.”

Kenyataan itu menunjukkan tekanan awam terhadap pemerintah Israel agar campur tangan dalam mempertahankan saudara seagama mereka di Syria.

Konflik di Sweida telah mengimbau semula trauma sejarah.

Pada 1950-an, Presiden Syria ketika itu, Encik Adib Shishakli, melancarkan kempen berdarah terhadap masyarakat Druze yang menyaksikan ratusan terbunuh dan bandar mereka dibedil.

Peristiwa itu membentuk doktrin kelangsungan hidup berdasarkan prinsip berdikari dan kekuatan ketenteraan.

“Jika kita klasifikasikan masyarakat Timur Tengah, ada petani, pengembala, pedagang dan pejuang, Druze ialah pejuang,” kata Encik Azzam.

Di Lebanon, Druze membentuk sekitar 5 peratus penduduk, keluarga berpengaruh seperti keluarga Jumblatt yang berperanan sebagai kuasa penentu antara kelompok Kristian, Sunni dengan Syiah.

Di Israel dan Bukit Golan, masyarakat Druze seramai kira-kira 145,000 orang, menikmati penglibatan penuh dalam masyarakat, termasuk perkhidmatan ketenteraan wajib.

Bagaimanapun, mereka masih menghadapi diskriminasi, seperti yang tercermin dalam undang-undang 2018 yang menjejas status kewarganegaraan mereka.

Menurut Dr Mansour, “Formula Druze ialah di mana-mana sahaja anda tinggal, jadilah rakyat paling patriotik itulah kunci kelangsungan hidup.”

Namun formula itu kini teruji.

Dalam konflik terkini, sokongan Israel terhadap Druze Syria dikhuatiri menyemarakkan semangat sesetengah kumpulan bersenjata untuk menentang pemerintah baru.

Di Jaramana pada Mac lalu, anggota Druze membunuh seorang anggota perkhidmatan keselamatan dan bertempur dengan pasukan pemerintah.

Kebanyakan anggota itu merupakan bekas Pasukan Pertahanan Nasional di bawah Assad yang enggan menyerahkan senjata mereka kepada pemerintahan baru.

Dalam satu kenyataan pada 29 Mei, seorang pegawai keselamatan Israel memberitahu saluran media, Al Arabiya, bahawa Israel “tidak akan berperang menyokong mana-mana kumpulan di Syria”.

Kenyataan ini dilihat sebagai isyarat bahawa pendekatan ketenteraan mungkin digantikan dengan penyelesaian diplomatik.

Tanpa sistem keadilan peralihan yang berfungsi, risiko pembalasan dan ketidakstabilan kekal tinggi.

Namun, perubahan nada Israel mungkin membuka ruang bagi rundingan antara pemerintah Syria dengan puak Druze yang masih bersenjata.

Bagi masyarakat Druze, sejarah panjang berdikari telah membantu mereka bertahan.

Tetapi dalam landskap Asia Barat yang kian berpecah, strategi lama itu kini menuntut penyesuaian baharu.

“Saya tidak optimis, tapi juga tidak pesimis,” kata Encik Azzam. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg