Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Siapa kaum Druze dan mengapa Israel menyerang Syria?

Jul 17, 2025 | 10:39 AM
Para tokoh kanan komuniti Druze berhimpun dalam satu pertemuan di perkampungan Druze Majdal Shams di Dataran Tinggi Golan pada 16 Julai 2025. Pada hari yang sama, tentera Israel bertindak mengawal orang ramai dan menghalang komuniti Druze daripada menyeberangi sempadan ke Syria, susulan insiden keganasan berdarah di selatan negara itu yang mendorong Damsyik menghantar pasukan pemerintah.
Para tokoh kanan komuniti Druze berhimpun dalam satu pertemuan di perkampungan Druze Majdal Shams di Dataran Tinggi Golan pada 16 Julai 2025. Pada hari yang sama, tentera Israel bertindak mengawal orang ramai dan menghalang komuniti Druze daripada menyeberangi sempadan ke Syria, susulan insiden keganasan berdarah di selatan negara itu yang mendorong Damsyik menghantar pasukan pemerintah. - Foto AFP

DAMSYIK: Gelombang keganasan sektarian yang terbaru telah menggoncang Syria, sekali lagi mendedahkan betapa rapuhnya landskap keselamatan negara itu, tatkala pemerintah baru cuba menegakkan kuasa di wilayah yang masih terpecah selepas perang saudara selama lebih satu dekad.

Pada Ahad, 13 Julai, laporan penculikan seorang peniaga daripada komuniti minoriti Druze mencetuskan pertempuran berdarah selama beberapa hari antara militia Druze dan pejuang Bedouin Sunni di selatan Syria.

Pada Selasa 15 Julai, Israel campur tangan secara ketenteraan, dengan alasan untuk melindungi komuniti Druze dan menyerang pasukan pro-pemerintah Syria yang didakwa mengancam mereka di wilayah Suweida.

Menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), sekurang-kurangnya 300 orang terbunuh sejak 13 Julai dalam pertempuran tersebut. Ini adalah keganasan pertama berskala besar yang berlaku di wilayah majoriti Druze sejak pertempuran pada April dan Mei lalu antara pejuang Druze dan pasukan keselamatan baru Syria yang telah meragut puluhan nyawa.

Sebelum ini, ratusan anggota minoriti Alawiyah – kumpulan etnik yang berkait rapat dengan bekas presiden Bashar al-Assad – terbunuh dalam pertempuran di wilayah pantai Syria pada bulan Mac.

Siapakah Kaum Druze?

Kaum Druze merupakan kumpulan etno-agama yang bertutur dalam bahasa Arab dan menganut kepercayaan unik yang berakar daripada mazhab Syiah. Mereka tinggal di Syria, Lebanon, Israel dan Dataran Tinggi Golan yang diduduki Israel. Dianggarkan separuh daripada sejuta penganutnya tinggal di Syria, mewakili sekitar 3 peratus populasi negara itu.

Di Israel, komuniti Druze dianggap setia kepada negara kerana ramai anggotanya menyertai perkhidmatan tentera. Menurut statistik rasmi Israel, terdapat sekitar 152,000 orang Druze di Israel dan kawasan Golan.

Dalam politik Syria, komuniti ini sering berada dalam kedudukan serba salah. Sepanjang perang saudara, mereka membentuk militia sendiri di selatan Syria. Selepas kejatuhan Assad pada Disember 2024, kaum Druze secara umum menolak kehadiran pasukan keselamatan baru di wilayah mereka dan enggan diserap ke dalam tentera Syria – sebaliknya bergantung kepada kekuatan tempatan mereka sendiri.

Walaupun pemerintah baru Syria di bawah Encik Ahmed al-Sharaa mengutuk serangan terhadap komuniti Druze dan berjanji untuk memulihkan keamanan, laporan daripada SOHR mendedahkan “pembunuhan tanpa bicara” terhadap orang Druze oleh pasukan pemerintah, yang semakin mengukuhkan rasa tidak percaya komuniti itu terhadap Damsyik.

Kenapa Israel Menyerang Syria Sekarang?

Selepas kejatuhan Assad, Israel semakin mendekati komuniti Druze di utara Syria, berusaha menjalin hubungan dengan golongan minoriti seperti Druze, Kurdi dan Alawiyah. Israel juga menggambarkan dirinya sebagai pelindung kaum minoriti, sambil giat melancarkan serangan ke atas tapak tentera dan bangunan kerajaan Syria.

Pada Mei lalu, ketika berlaku pergolakan sektarian, Israel telah menyerang berhampiran istana presiden di Damsyik sebagai amaran terhadap serangan ke atas komuniti Druze. Namun, ada pemimpin Druze di Syria dan Lebanon menuduh Israel menggunakan taktik pecah dan perintah untuk meluaskan pengaruhnya.

Serangan Israel pada 15 Julai tertumpu kepada pasukan keselamatan Syria di Suweida, tetapi pada 16 Julai, ia diperluas ke ibu pejabat Kementerian Pertahanan dan tentera Syria di Damsyik. Israel mendakwa ia sebagai langkah pencegahan untuk menghalang pengukuhan tentera Syria, khususnya pejuang Islamis yang dilihat sebagai ancaman kepada keselamatan sempadan utaranya, termasuk di Dataran Tinggi Golan.

Serangan ke atas ibu pejabat tentera turut disiarkan secara langsung oleh saluran Syria TV, di mana pengacara dilihat melarikan diri dari studio ketika serangan berlaku. Ini dianggap sebagai eskalasi paling serius oleh Israel sejak Disember 2024.

Apa Yang Boleh Terjadi Seterusnya?

Keganasan ini menonjolkan betapa lemahnya struktur keselamatan Syria pasca perang. Pemerintah baru pimpinan Encik Sharaa, yang didominasi oleh golongan Islamis, berdepan cabaran besar untuk menyatukan kumpulan-kumpulan etnik dan agama yang telah lama terpecah belah akibat konflik.

Serangan oleh Israel dan pertempuran antara militan sektarian berisiko menggagalkan usaha pembinaan semula negara dan menyalakan kembali pertempuran berdarah yang boleh merebak ke wilayah lain.

Bagi Israel, ancaman daripada pemimpin baru Syria dan sekutu Islamisnya dijangka terus mendorong serangan ketenteraan berkala dan usaha menjalin pakatan dengan kumpulan-kumpulan minoriti yang tersisih. Situasi ini menandakan Syria masih jauh dari kestabilan – dan masa depan negara itu kekal tidak menentu. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg