Mayat tawanan terakhir ditemui di Gaza, Israel dituntut segerakan pembukaan sempadan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mayat tawanan terakhir ditemui di Gaza, Israel dituntut segerakan pembukaan sempadan

Jan 27, 2026 | 11:16 AM

Mayat tawanan terakhir ditemui di Gaza, Israel dituntut segerakan pembukaan sempadan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Seorang wanita Israel duduk di Dataran Tawanan di mana deretan kerusi dipamerkan bersama gambar pegawai polis Israel, Ran Gvili, yang diculik dalam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 dan yang mayatnya ditemui serta dikenal pasti di Gaza, menurut tentera Israel, di Tel Aviv, Israel, pada 26 Januari 2026.
Seorang wanita Israel duduk di Dataran Tawanan di mana deretan kerusi dipamerkan bersama gambar pegawai polis Israel, Ran Gvili, yang diculik dalam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 dan yang mayatnya ditemui serta dikenal pasti di Gaza, menurut tentera Israel, di Tel Aviv, Israel, pada 26 Januari 2026. - Foto REUTERS

GAZA/TEL AVIV: Israel pada 26 Januari mengesahkan telah menemukan dan membawa pulang mayat tawanan terakhirnya dari Gaza, sekali gus menutup satu episod getir dalam konflik negara itu dan membuka laluan kepada fasa baharu pelan damai yang dipelopori Amerika Syarikat.

Tentera Israel memaklumkan mayat Master Sarjan Ran Gvili, 24 tahun, anggota unit elit polis antikeganasan, ditemui dalam satu operasi pencarian di sebuah tanah perkuburan berhampiran Bandar Gaza. Sarjan Gvili diculik semasa serangan mengejut Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang selama hampir dua tahun di Gaza.

Menurut tentera, operasi pencarian tertumpu di kawasan yang dikenali sebagai “garisan kuning”, iaitu zon yang masih berada di bawah kawalan Israel berdasarkan perjanjian gencatan senjata. Maklumat perisikan terkini yang diperoleh sepanjang hujung minggu membolehkan pasukan khas menggali lokasi berkenaan dan mengesahkan identiti Sarjan Gvili melalui ujian DNA.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menyifatkan kepulangan mayat Sarjan Gvili sebagai “pencapaian luar biasa” dan simbol penunaian janji pemerintah kepada rakyatnya. “Kami berjanji dan saya sendiri berjanji untuk membawa semua orang pulang. Kini kami telah membawa mereka semua kembali, sehingga ke tawanan yang terakhir,” katanya dalam satu kenyataan.

Sarjan Gvili merupakan antara kira-kira 250 individu yang diculik oleh kumpulan bersenjata Palestin semasa serangan 7 Oktober, yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang di Israel. Konflik susulan telah meragut nyawa dianggarkan 70,000 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.

Penemuan mayat Sarjan Gvili juga membuka laluan kepada pelaksanaan fasa seterusnya pelan damai Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang antara lain menuntut pembukaan semula lintasan sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir. Israel sebelum ini enggan membuka lintasan itu selagi mayat tawanan terakhirnya belum ditemukan.

Beberapa jam sebelum pengumuman rasmi penemuan mayat Sarjan Gvili, Pejabat Perdana Menteri Israel menyatakan bahawa lintasan Rafah akan dibuka selepas operasi pencarian selesai. Jurucakap unit tentera Israel yang mengawasi pergerakan keluar masuk Gaza, Encik Shimi Zuaretz, berkata lintasan tersebut dijangka dibuka “dalam beberapa hari akan datang”, tertakluk kepada kelulusan pemerintah.

Bagaimanapun, pihak berkuasa dan penduduk Gaza menegaskan bahawa pembukaan itu perlu dilakukan secara penuh dan segera, khususnya bagi membolehkan kemasukan bantuan kemanusiaan. “Tiada lagi alasan untuk menyekat bantuan. Makanan, ubat-ubatan dan bahan api mesti dibenarkan masuk sekarang,” kata seorang pegawai tempatan Gaza.

Pertubuhan kemanusiaan antarabangsa turut memberi amaran bahawa keadaan di Gaza kekal kritikal, dengan hospital hampir lumpuh akibat kekurangan bekalan perubatan, sementara jutaan penduduk hidup dalam keadaan serba kekurangan selepas kemusnahan besar-besaran akibat perang berpanjangan.

Tekanan antarabangsa kini semakin meningkat supaya Israel melonggarkan sekatan dan membenarkan kemasukan bantuan tanpa halangan, seiring dengan peralihan kepada fasa baru pelan damai yang disokong Washington.

Dalam pada itu, Hamas menyatakan pihaknya telah memberikan semua maklumat yang diperlukan kepada pihak perantara berhubung lokasi Sarjan Gvili. Jurucakap Hamas, Encik Hazem Qassem, berkata penemuan mayat tersebut membuktikan komitmen kumpulan itu terhadap perjanjian gencatan senjata.
“Kami sentiasa mengemas kini pihak perantara dengan maklumat yang tersedia sehingga mayat tersebut berjaya ditemui,” katanya.

Israel sebelum ini menuduh Hamas dan Jihad Islam Palestin melengahkan pemulangan mayat tawanan, dakwaan yang dinafikan oleh kedua-dua kumpulan. Hamas berkata sebahagian mayat berada di bawah runtuhan akibat pengeboman berterusan dan memerlukan masa serta peralatan berat untuk dikeluarkan.

Isu tawanan menjadi faktor paling dipertikaikan dalam masyarakat Israel sepanjang perang, mencetuskan gelombang protes besar-besaran dan tekanan politik terhadap Encik Netanyahu, yang dituduh keluarga tawanan melanjutkan perang sehingga membahayakan nyawa mereka.

Gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu, hasil pengantaraan pentadbiran Trump, menyaksikan pembebasan 20 tawanan Israel yang masih hidup sebagai pertukaran dengan hampir 2,000 tahanan Palestin. Perjanjian itu turut mewajibkan Hamas menyerahkan 28 mayat tawanan, namun proses tersebut mengambil masa lebih tiga bulan untuk diselesaikan sepenuhnya.

Dalam perkembangan penting, Amerika Syarikat menyatakan bahawa perlucutan senjata Hamas di Gaza boleh disertai dengan suatu bentuk pengampunan. Seorang pegawai Amerika berkata Washington percaya proses pelucutan senjata itu boleh dilaksanakan secara terancang.

“Kami percaya pelucutan senjata datang bersama suatu bentuk pengampunan dan, secara jujurnya, kami mempunyai pelan yang sangat baik untuk melaksanakannya,” katanya.

Di bawah pelan Gaza 20 perkara Presiden Trump, selepas semua tebusan dikembalikan, anggota Hamas yang bersetuju melucutkan senjata dan hidup secara aman akan diberikan pengampunan, manakala mereka yang ingin meninggalkan Gaza akan diberikan laluan selamat ke negara penerima.

Namun Encik Netanyahu menegaskan bahawa keutamaan Israel kini ialah perlucutan senjata dan pelupusan senjata Gaza, bukan pembinaan semula. “Kami berada di ambang fasa seterusnya. Fasa itu ialah pelucutan senjata Hamas dan penghapusan keupayaan ketenteraan Gaza. Lebih cepat ia berlaku, lebih cepat objektif perang ini diselesaikan,” katanya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg