Mesir muncul pengantara utama di tengah ketegangan AS dan Iran memuncak
Mesir muncul pengantara utama di tengah ketegangan AS dan Iran memuncak
KAHIRAH: Ketika kemungkinan konfrontasi antara Amerika Syarikat dengan Iran semakin meningkat, Mesir tampil sebagai salah satu pengantara paling aktif di rantau Asia Barat.
Langkah diplomatik Kahirah bukan sekadar usaha reputasi antarabangsa, malah didorong kebimbangan mendalam terhadap keselamatan negara dan kerentanan ekonomi domestik.
Dengan rundingan program nuklear Iran masih buntu dan pergerakan ketenteraan meningkat, Menteri Luar Mesir, Encik Badr Abdelatty, menjalankan beberapa siri pertemuan serta panggilan telefon dengan rakan sejawat dari Iran, Qatar, Oman, Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Utusan Khas Amerika, Encik Steve Witkoff.
Usaha itu bertujuan meredakan ketegangan dan mewujudkan keadaan kondusif bagi menyambung semula rundingan Washington –Teheran.
Langkah diplomasi diperkukuh selepas perbualan telefon antara Presiden Abdel Fattah al-Sisi dengan Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, pada 31 Januari.
Dalam perbualan itu, Encik Sisi menolak pilihan ketenteraan.
“Mesir menolak penyelesaian ketenteraan dan menggesa dialog bagi mengelakkan ketidakstabilan serantau,” lapor kenyataan Presiden.
Menurut mantan Pembantu Menteri Luar Mesir, Encik Rakha Ahmed, negara Arab sedar perang baru akan membawa kesan besar.
“Mereka melakukan usaha diplomatik kerana tahu perang ini akan membawa kemusnahan besar kepada seluruh rantau,” katanya.
Beliau menambah kebimbangan itu turut disampaikan kepada Presiden Amerika, Encik Donald Trump.
Sebarang serangan terhadap Iran dikhuatiri melonjakkan harga minyak sejagat dan menjejas ekonomi rantau yang bergantung kepada tenaga.
Bagi Mesir, kesannya lebih luas.
Negara itu sudah tertekan akibat perang Gaza dan perubahan imbangan kuasa serantau.
Justeru, isu nuklear Iran menjadi topik utama dalam pertemuan Mesir dengan pelbagai negara, termasuk perbincangan Encik Sisi bersama Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, pada 4 Februari.
Kementerian Luar Mesir turut menyokong usaha Oman menjadi pengantara rundingan Iran-Amerika di Muscat.
Kepentingan Mesir sangat berkait dengan ekonomi.
Kumpulan Houthi di Yaman yang disokong Iran pernah mengancam menyerang kapal dagang di Laut Merah jika Amerika menyerang Iran.
Serangan sebelum gencatan senjata Gaza pada Oktober 2025 telah mengganggu perdagangan sejagat dan menyebabkan hasil Terusan Suez jatuh lebih 60 peratus pada tempoh tertentu.
Pendapatan itu penting ketika ekonomi Mesir masih menanggung kesan pandemik Covid-19, perang Russia-Ukraine dan tekanan hutang.
Seorang pegawai ekonomi Mesir yang meminta namanya tidak disiarkan berkata: “Setiap gangguan di Laut Merah terus dirasai dalam bajet negara. Ia bukan isu geopolitik jauh, tetapi isu domestik.”
Kahirah kemudian memperhebat rundingan dengan pemiutang antarabangsa dan melaksanakan dasar pengurangan peranan kerajaan dalam sektor ekonomi bagi menstabilkan kewangan negara.
Penganalisis Iran, Encik Mokhtar Haddad, memberi amaran sebarang serangan Amerika terhadap Iran boleh mencetuskan perang serantau.
“Serangan akan dibalas terhadap sumbernya, termasuk pangkalan tentera di seluruh Asia Barat,” katanya.
Menurut beliau, rangkaian sekutu Iran seperti Hezbollah di Lebanon dan militia di Iraq berpotensi bertindak balas serentak.
Ini bermakna negara tuan rumah pangkalan tentera boleh turut terlibat.
Beliau juga menyifatkan Houthi sebagai kumpulan bebas.
“Tindakan mereka bertujuan mempertahankan Palestin dan keselamatan serantau,” katanya.
Walaupun trafik maritim melalui Terusan Suez mula pulih sejak serangan dihentikan, pakar memberi amaran sebarang konflik baharu boleh menghapuskan pemulihan itu serta-merta.
Kepentingan Mesir bukan hanya perdagangan.
Pelancongan, sumber mata wang asing ketiga terbesar negara, baru menunjukkan pemulihan.
Pembukaan penuh Muzium Agung Mesir berhampiran Piramid Giza menarik pengunjung dalam jumlah besar dan memberi harapan kepada sektor ekonomi.
Namun, sebarang perang boleh meruntuhkan keyakinan pelancong.
Seorang pakar keselamatan berkata: “Pelancongan bergantung persepsi kestabilan. Satu peluru berpandu di rantau ini boleh menjejas tempahan seluruh musim.”
Penganalisis turut memberi amaran kekalahan besar Iran boleh mengubah imbangan kuasa dan memberi kebebasan lebih besar kepada Israel untuk bertindak di rantau itu.
Kebimbangan itu meningkat selepas serangan udara Israel ke atas Qatar pada September 2025 yang menunjukkan tiada negara kebal.
Encik Rakha Ahmed berkata tindakan Israel menimbulkan ketakutan luas.
“Serangan itu menghantar mesej jelas bahawa tiada negara di rantau ini kebal daripada operasi ketenteraan,” katanya.
Beliau menambah negara Arab kini menilai semula strategi keselamatan mereka dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada Amerika.
Dalam konteks ini, Mesir cuba memainkan peranan sebagai pengimbang antara kuasa.
Negara itu mengekalkan hubungan dengan Washington tetapi pada masa yang sama membuka saluran komunikasi dengan Teheran.
Strategi ini bukan semata-mata idealisme diplomatik.
Ia bertujuan mencegah konflik yang boleh menjejas ekonomi, keselamatan sempadan dan kestabilan dalaman.
Peranan Mesir sebagai pengantara lahir daripada keperluan strategik.
Bagi Kahirah, keamanan serantau bukan konsep abstrak tetapi syarat kelangsungan negara.
Dalam keadaan ketegangan meningkat, diplomasi Mesir mencerminkan usaha mempertahankan kepentingan nasional sambil mengekalkan keseimbangan kuasa Asia Barat. – Agensi berita.

