Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

UAE kian dominan di Afrika ketika kuasa Barat berkurang

May 26, 2025 | 5:30 AM
Amiriah Arab Bersatu, UAE, Africa
Amiriah Arab Bersatu (UAE) semakin dikenali sebagai kuasa baru yang aktif di benua Afrika, bukan sahaja melalui pelaburan ekonomi berskala besar, malah menerusi peranan penting dalam bidang kemanusiaan, pembangunan dan diplomasi.  - Foto INSTAGRAM ARCHIVEAFRIKA

ABU DHABI: Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, Amiriah Arab Bersatu (UAE) telah muncul sebagai kuasa ekonomi dan strategik yang semakin berpengaruh di benua Afrika.

Ketika kuasa Barat seperti Amerika Syarikat dan Britain mengurangkan pelaburan serta bantuan pembangunan mereka, UAE pula mengambil peluang mengisi kekosongan tersebut dengan strategi pelaburan yang luas dan bersifat menyeluruh – daripada tenaga boleh diperbaharui hingga kepada pelabuhan, daripada lombong hingga kepada hartanah.

Menurut rekod pelaburan antarabangsa yang dikumpul oleh fDi Markets, UAE mengumumkan pelaburan bernilai lebih AS$110 bilion ($129 bilion) di Afrika sejak 2019, jumlah yang jauh mengatasi pelaburan dari mana-mana negara lain termasuk China dan Amerika.

Sektor yang menjadi tumpuan termasuk logistik, tenaga, pertanian, perlombongan dan prasarana, satu pendekatan yang jelas menunjukkan keinginan UAE untuk menguasai rangkaian bekalan sejagat dan bukan sekadar mencari pulangan ekonomi.

“UAE sedang berubah menjadi pemain asing dominan di Afrika.

“Usaha mereka untuk menjadi peneraju dunia, khususnya dalam bidang teknologi dan kewangan, kini semakin kelihatan di benua Afrika,” ujar Zamil di Institut Negara Teluk Arab di Washington, Cik Anna Jacobs.

Kedudukan geografi Afrika menghadap Laut Merah, Lautan Hindi dan Atlantik serta kekayaan sumber asli seperti tembaga, emas, gas asli dan bahan mentah untuk teknologi hijau menjadikan benua itu sangat penting dalam perancangan jangka panjang UAE.

Lebih-lebih lagi, UAE sedang giat melaksanakan dasar pengalihan daripada kebergantungan terhadap minyak, menjadikan Afrika sebagai tapak utama untuk pelaburan dalam tenaga bersih dan keselamatan makanan.

Syarikat Amiriah seperti AMEA Power, DP World, dan Abu Dhabi National Energy Company kini mempunyai operasi di puluhan negara Afrika termasuk Mesir, Kenya, Maghribi dan Afrika Selatan.

AMEA Power sahaja mengendalikan projek tenaga boleh diperbaharui di lebih 10 negara, manakala DP World melabur lebih AS$3 bilion untuk mengembangkan pelabuhan dan zon perdagangan bebas, termasuk di Berbera, Somaliland.

“Ini bukan hanya pelaburan komersial, ia juga strategi geopolitik,” kata Dr Andreas Krieg, dari King’s College London.

“UAE telah mengubah konsep diplomasi menggabungkan kepentingan negara dengan keupayaan sektor swasta yang rapat dengan pemerintah,” tambahnya.

Amerika di bawah pentadbiran Presiden Encik Donald Trump, telah menghentikan bantuan pembangunan yang besar ke Afrika, termasuk membubarkan  Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (Usaid) dan menghentikan sumbangan kepada Bank Pembangunan Afrika.

Sementara itu, China – yang selama ini menjadi pelabur terbesar melalui Inisiatif ‘Belt and Road’ (BRI) turut memperlahankan komitmennya selepas menghadapi krisis hutang dan tekanan ekonomi dalam negara.

Dalam kekosongan itu, UAE melangkah masuk dengan penuh keyakinan.

Menurut kenyataan rasmi UAE kepada Financial Times, pelaburan mereka mencerminkan “iltizam negara untuk memudahkan pembangunan mampan dan pertumbuhan merentas benua Afrika”.

Malah, Presiden UAE, Sheikh Mohammed bin Zayed al-Nahyan, dilihat sendiri mengunjungi kawasan terpencil di Afrika Selatan dan menyumbang jutaan dolar untuk pembangunan prasarana tempatan.

Namun, tindakan UAE bukan tanpa kontroversi.

Sudan, misalnya, menuduh UAE menyokong puak paramilitari Pasukan Sokongan Pantas (RSF) dalam perang saudara yang mengorbankan lebih 150,000 orang.

UAE menafikan penglibatan ketenteraan dan menyatakan bahawa bantuan mereka bersifat kemanusiaan.

Di Libya pula, UAE dituduh melanggar sekatan senjata dengan menyokong Jeneral Khalifa Haftar dalam usahanya menggulingkan kerajaan yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Salah satu aspek menarik pengaruh UAE ialah peranannya sebagai pusat kewangan tidak rasmi bagi Afrika.

Dengan lebih 26,000 syarikat Afrika berdaftar di Dubai, kota itu kini menjadi tempat perdagangan, pelaburan dan juga simpanan kekayaan oleh elit Afrika termasuk tokoh-tokoh yang sedang disiasat oleh negara asal mereka.

Profesor Ricardo Soares de Oliveira dari Sekolah Oxford Martin menggambarkan Dubai sebagai “New York bagi orang Afrika masa kini,” merujuk kepada peranan penting bandar itu sebagai pusat kewangan dan komersial yang menarik penyertaan meluas syarikat serta firma guaman Barat dalam urusan berkaitan benua Afrika.

“Dubai menyediakan ekosistem kewangan kelas dunia yang fleksibel, tanpa pengawasan ketat seperti London atau Geneva. Inilah kekuatan utamanya,” kata beliau.

Namun begitu, ramai turut mengkritik UAE kerana membenarkan pelaburan meragukan dan tidak telus.

Organisasi seperti Blue Carbon, berpangkalan di Dubai, dituduh “mencuri hutan” di Tanzania dan Liberia untuk penjanaan kredit karbon, satu tuduhan yang disangkal oleh syarikat berkenaan.

Analisis mendalam pengamat menunjukkan UAE kini berperanan sebagai kuasa tengah sejagat tidak sebesar kuasa seperti Amerika dan China, tetapi lebih aktif daripada kuasa serantau tradisional.

Keupayaannya menggabungkan kekuatan ekonomi, peranan syarikat berkepentingan politik dan kebijaksanaan diplomasi dua hala telah menjadikan UAE sebagai pemain utama dalam pembangunan dan kestabilan atau ketidakstabilan di Afrika.

“UAE mungkin kecil dari segi bilangan rakyat dan saiz ketenteraan, tetapi ia memainkan peranan seperti kuasa pertengahan yang sebenar,” tegas Dr Krieg.

Malah, Menteri Kewangan Somaliland, Dr Saad Ali Shire, berkata: “UAE kini adalah kuasa besar baru di Afrika.”

Kebangkitan UAE di Afrika bukan sekadar fenomena ekonomi, malah ia turut merupakan cerminan dunia yang sedang berubah daripada dominasi bantuan pembangunan dan nilai liberal kepada pendekatan yang lebih transaksional dan berasaskan kepentingan strategik.

Encik Murithi Mutiga, daripada pertubuhan mengelak konflik, Kumpulan Krisis Antarabangsa, berkata:

“China merupakan kuasa yang mempertahankan status quo, manakala Russia bersifat mencabar susunan sedia ada, dan UAE berada di pertengahan antara kedua-duanya.”

Dalam konteks ini, Afrika bukan lagi sekadar gelanggang persaingan kuasa besar tradisional, malah menjadi medan ujian bagi negara seperti UAE yang sedang merintis pendekatan baru dalam mentakrifkan peranan dan pengaruh sebagai kuasa sejagat bagi masa depan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg