KAHIRAH: Pihak berkuasa Mesir telah menyiasat sekumpulan pengguna remaja TikTok dengan jutaan pengikut, menahan puluhan pengguna itu sejak beberapa minggu lalu.
Mereka didakwa atas kes melanggar nilai kekeluargaan kepada pengubahan wang haram.
Polis negara itu mengumumkan puluhan tangkapan dengan pihak pendakwa raya menyatakan mereka sedang menyiasat sekurang-kurangnya 10 kes dakwaan berkaitan keuntungan kewangan yang menyalahi undang-undang.
Pihak berkuasa juga telah mengenakan larangan perjalanan dan pembekuan aset serta merampas peranti dalam kalangan mereka yang diberkas.
Pengkritik berkata penahanan itu merupakan usaha lebih luas pemerintah Mesir.
Ia dikatakan antara usaha dalam mengawal penyebaran ucapan bebas dan tingkah laku, di negara yang mana media sosial telah lama menjadi salah satu daripada alternatif kepada media tradisional, yang sebahagian besar dikawal pemerintah Mesir.
Ramai daripada mereka yang ditahan adalah golongan belia, yang membentuk aktivis.
Mereka menggunakan Facebook untuk menggerakkan bantahan 2011 yang menggulingkan presiden masa itu, Encik Hosni Mubarak, yang sudah lama berkuasa.
Golongan peguam pula menyatakan undang-undang berkaitan ucapan bebas adalah kabur.
Pihak berkuasa akan meneliti keseluruhan hantaran pengguna TikTok, dan jika mereka mendapati walaupun ada satu hantaran yang mereka anggap tidak sesuai, mereka boleh mengisytiharkan pendapatan pempengaruh sebagai menyalahi undang-undang dan mendakwa mereka dengan jenayah kewangan ke atas pendapatan mereka.
Contohnya, Mariam Ayman, 19 tahun, yang mempunyai 9.4 juta pengikut dan menyiarkan video sejak masih bersekolah dengan nama Suzy El Ordonia, telah dipenjarakan sejak 2 Ogos lalu.
Dia menghadapi tuduhan mengedar kandungan tidak senonoh dan pengubahan wang haram sebanyak 15 juta pound Mesir ($300,000).
Kementerian Dalam Negeri berkata Mariam ditahan selepas pihak berkuasa menerima aduan mengenai hantarannya.
Dalam video terakhirnya, yang disiarkan sehari sebelum penahanan, Mariam kelihatan sedar dia menghadapi ancaman.
“Rakyat Mesir tidak ditangkap hanya kerana mereka muncul di TikTok,” katanya.
Dia mengakui dalam sebilangan videonya sebelum ini, dia mungkin “mengganggu, mengutuk, atau memberitahu jenaka yang tidak baik”.
Namun katanya, ia bertujuan melepaskan kekecewaan dalam dirinya, dan “tidak bertujuan mengajar generasi muda agar mengikutinya”.
Peguamnya, Encik Marawan al-Gindy, enggan mengulas secara langsung mengenai kes tersebut, tetapi berkata secara amnya undang-undang berkaitan “perkara tidak senonoh” digunakan sewenang-wenangnya.
“Terdapat undang-undang yang menjenayahkan perbuatan tidak senonoh, tetapi apa yang kita perlukan ialah pelaksanaan secara tekal dan peraturan yang ditetapkan, bukan hanya bagi TikTok, malah untuk semua platform,” katanya.
Laluan ke arah kemasyhuran TikTok di Mesir, seperti di tempat lain, boleh kelihatan tidak ketara.
Suzy, seperti jutaan remaja lain, mempunyai tabiat menyiarkan video kehidupan hariannya dan rutin solekan pagi.
Beberapa tahun lalu, salah satu siaran langsungnya menjadi tular apabila dia membalas komen bapanya, seorang konduktor bas, dengan satu sindiran berbahasa Arab yang tidak lama kemudian, tular ke seluruh negara.
Dia meraih jutaan pengikut, yang menonton untuk melihatnya berkongsi makan dengan rakan dan menari dengan pemuzik jalanan di Turkey.
Sebanyak 31 juta orang melihatnya bergambar dengan teman lelakinya.
Kakaknya, yang mengalami kecacatan mental, muncul dalam beberapa video, membantu mengetepikan stigma sosial mengenai kecacatan.
Tetapi walaupun video yang umumnya ceria tanpa kandungan politik, boleh juga didakwa sebagai membayangkan kritikan terhadap kesusahan kehidupan seharian.
Dalam temu bual dengan seorang pewawancara podcast yang dirakam sebelum penahanannya, Suzy berkata jika dia mempunyai 10 juta pound Mesir, dia akan membelanjakan separuh daripadanya untuk memindahkan keluarganya ke rumah lebih baik, membantu ibu bapanya memulakan kedai dan mendaftar kakaknya di sekolah swasta untuk menerima penjagaan lebih baik.
Tidak lama selepas penampilan itu, pewawancara itu, Encik Mohamed Abdel Aaty, turut ditahan.
Inisiatif Mesir bagi Hak Peribadi (EIPR) pada awal Ogos menggesa Kementerian Dalam Negeri dan pihak pendakwa agar menghentikan “kempen keselamatan agresif” berdasarkan peruntukan moral yang disifatkannya sebagai kabur.
Pendakwa awam bergantung pada peraturan agak meluas dalam undang-undang jenayah siber 2018 yang menjenayahkan pelanggaran “mana-mana prinsip atau nilai kekeluargaan dalam masyarakat Mesir”, kata peguam EIPR, Cik Lobna Darwish.
Piawaian amat luas itu bermakna pengguna TikTok boleh ditangkap kerana kandungan yang tidak akan keluar di televisyen arus perdana, katanya.
Pertubuhan hak asasi manusia itu telah menjejaki sekurang-kurangnya 151 individu yang didakwa di bawah artikel tersebut merentasi lebih 109 kes dalam tempoh lima tahun lalu – satu angka yang mungkin kurang daripada angka sebenar.
Pihak pendakwa raya kini menggalak rakyat melaporkan kandungan yang tidak menyenangkan.
Kementerian Dalam Negeri sendiri mewujudkan akaun di TikTok yang mempunyai komen pada ratusan video yang menggesa pencipta TikTok supaya mematuhi peraturan moral.
Pengguna TikTok akhir-akhir ini mendapati diri mereka dibanjiri dengan komen yang menuduh mereka tidak bermoral.
Sebilangan individu yang mahukan kempen penahanan itu telah turut menyebarkan dakwaan, tanpa bukti, bahawa sebilangan pempengaruh menjalankan rangkaian pemerdagangan organ.
Cik Darwish berkata kempen penahanan itu semakin meluas daripada menyasarkan pengguna TikTok wanita, kepada golongan mereka yang berbeza pandangan agama atau golongan lesbian, gay, biseksual dan transjantina (LGBT) Mesir.
Sesetengah orang telah disiasat berkaitan kandungan peribadi yang tidak dikongsi secara terbuka, tetapi maklumat itu telah bocor daripada akaun mereka, katanya.
TikTok berkata ia menguatkuasakan garis panduan masyarakatnya sendiri melalui automasi dan campur tangan manusia.
Dalam laporan suku tahunan terkininya, ia menyatakan pihaknya telah memadamkan lebih 2.9 juta video dari Mesir.
Jurucakap TikTok enggan menjawab permintaan agensi berita, Reuters, untuk mengulas mengenainya.
Penasihat media sosial, Encik Ramy Abdel Aziz, berkata pencipta TikTok di Mesir boleh memperoleh kira-kira A$1.20 ($1.55) bagi setiap seribu tontonan video, kira-kira sepersepuluh daripada pendapatan pencipta di Amerika Syarikat, namun ia masih merupakan pendapatan baik di negara bergaji rendah.
“Media sosial boleh menjadi sumber pendapatan besar, tetapi ia masih memerlukan masa yang lama untuk menjananya terutama jika (pendapatan) dibuat dengan cara yang sah,” kata Encik Abdel Aziz.
Penganalisis kewangan dan pakar antipengubahan wang haram, Encik Tamer Abdul Aziz, berkata jika kebimbangan sebenar pemerintah Mesir adalah aliran kewangan yang menyalahi undang-undang, ia sepatutnya melihat kepada syarikat, bukan pencipta kandungan.
“Jika ada jenayah, anda melihat pemilik atau aliran kewangan, bukan pelakunya,” tambah beliau. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg