Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

TikTok Shop antara laman e-dagang terbaik cegah penipuan, FB Marketplace paling teruk

Aug 30, 2025 | 8:18 PM
tiktok shop
Menurut Penilaian Keselamatan Urus Niaga Ruang Pemasaran E-Dagang (TSR) terkini yang dikeluarkan pada 30 Ogos, TikTok Shop, yang menjual pelbagai barangan termasuk pakaian dan barangan elektronik, menerima empat ‘tick’ bersama Amazon, Lazada dan Shopee. - Foto REUTERS

TikTok Shop tersenarai sebagai antara platform e-dagang terbaik dari segi langkah antipenipuan yang diambil.

Ini adalah kali pertama ia dimasukkan dalam Penilaian Keselamatan Urus Niaga Ruang Pemasaran E-Dagang (TSR), sistem ranking berdasarkan ciri antipenipuan terkini yang dilaksana platform ini.

Penilaian diberikan daripada satu hingga empat tanda betul atau ‘tick’, dengan empat ‘tick’ menunjukkan penilaian tertinggi.

Menurut TSR terkini yang dikeluarkan pada 30 Ogos, TikTok Shop, yang menjual pelbagai barangan termasuk pakaian dan barangan elektronik, menerima empat ‘tick’ bersama Amazon, Lazada dan Shopee.

Penilaian tersebut diberikan oleh Jawatankuasa Antara Kementerian mengenai Penipuan (IMCS) kepada platform e-dagang di Singapura berdasarkan langkah yang dilaksanakan untuk menjamin keselamatan urus niaga di platform mereka.

Jawatankuasa ini ditubuhkan pada 2020 bagi membanteras penipuan dan menyatukan agensi pemerintah seperti Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), Penguasa Kewangan Singapura (MAS), serta Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).

Dalam TSR terkini, jawatankuasa itu mendapati TikTok Shop telah melaksanakan semua ciri keselamatan yang dianggap penting oleh MHA. 

Ini termasuk pengesahan identiti pengguna, keselamatan urus niaga, kewujudan saluran pampasan kerugian bagi pengguna, serta keberkesanan langkah antipenipuan yang dilaksana.

Facebook Marketplace, yang dikendali gergasi teknologi Meta, kekal di tangga terbawah dengan satu ‘tick’. 

Lebih satu pertiga daripada 11,665 kes penipuan e-dagang yang dilaporkan pada 2024 berlaku di Facebook, lapor The Straits Times (ST).

Kes penipuan ini kebiasaannya melibatkan jualan barangan dan perkhidmatan secara dalam talian yang tidak dipenuhi selepas pembayaran dibuat.

Carousell pula kekal pada dua ‘tick’.

Menurut MHA, platform e-dagang akan diberikan empat ‘tick’ jika mereka melaksanakan semua langkah antipenipuan yang penting untuk mengehadkan jumlah penipuan di platform masing-masing.

Penipuan e-dagang kekal sebagai salah satu jenis penipuan utama di Singapura.

Dalam statistik penipuan separuh tahun yang dikeluarkan polis pada 30 Ogos, jumlah kes penipuan e-dagang adalah kedua tertinggi daripada semua jenis penipuan dalam separuh pertama 2025.

Terdapat 3,237 kes penipuan e-dagang dari Januari hingga Jun, dengan kerugian berjumlah $7.6 juta.

Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital serta pengerusi IMCS, Cik Josephine Teo, menyeru platform dalam talian supaya menjalankan lebih banyak usaha untuk melindungi pengguna daripada penipuan.

“Pemerintah kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan platform dalam talian untuk melaksanakan langkah antipenipuan, dan tidak akan teragak-agak menggunakan kuasa undang-undang untuk memaksa platform dalam talian melaksanakan langkah antipenipuan jika perlu bagi melindungi rakyat Singapura daripada penipuan,” kata Cik Teo.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg