Saya pengguna media sosial dan akaun yang memaparkan nama saya wujud dalam beberapa platform popular seperti TikTok, Instagram dan Facebook.
Namun pada era pasca-Covid-19, saya tidak lagi kerap menerbitkan pandangan atau bibit-bibit kehidupan keluarga saya di platform tersebut.
Ini begitu berbeza dengan amalan saya semasa mendewasa pada akhir tahun 1990-an dan awal tahun 2000-an.
Tanpa mempedulikan sama ada bahan yang saya keluarkan itu menarik atau membuat orang mencebik bibir, saya terbitkan juga pandangan ‘dua sen’ saya di platform Blogspot (kita mungkin seusia jika anda memahami rujukan Blogspot ini).
Ada sahaja bahan yang diilhamkan. Bila tiada bahan, saya akan gunakan interaksi dengan pemandu bas, pegerai nasi lemak untuk dikaitkan dengan apa yang ingin saya sampaikan.
Namun, mungkin usia yang lebih lanjut telah mengundang perasaan segan yang lebih ketara dari sanubari saya, atau saya kini lebih sedar hidup saya sekadar menakjubkan untuk diri saya sendiri semata-mata dan tiada banyak perkara yang tersangat menarik mengenai hidup saya yang boleh menambah nilai kepada diri orang yang melihatnya.
Atau mungkin, saya sudah tidak kuasa.
Dalam era digital di mana perbuatan ‘terlebih kongsi’ kerap dilakukan di dalam talian, platform media sosial telah mengubah cara kita berinteraksi, berkongsi maklumat dan melihat dunia.
Alam maya tanpa sempadan ini telah membolehkan kita berhubung dengan sesiapa sahaja, di mana sahaja dan pada bila-bila masa.
Anda boleh mengirimkan pesanan langsung, atau DM, kepada personaliti terkenal seperti Florian Wirtz, Ariana Grande dan Donald Trump – walaupun tanpa jangkaan pesanan anda itu akan berbalas.
Sebaliknya, saya prihatin kerana sikap terlebih kongsi ini turut telah mengaburkan sempadan antara ruang awam dan ruang peribadi.
Kita sering melihat individu berkongsi setiap aspek kehidupan mereka, daripada sarapan pagi hingga masalah peribadi yang paling intim.
Walaupun ada kalanya perkongsian ini bertujuan untuk berhubung atau mendapatkan sokongan, ia juga boleh membawa kepada pelbagai risiko yang mungkin tidak disedari.
Antara risiko yang paling ketara adalah kehilangan keperibadian.
Dilihat dari sudut perbuatan jenayah, perkara ini boleh mengundang pencurian identiti, penipuan atau lebih dahsyat lagi ancaman keselamatan.
Namun, sebagai bapa dua anak kecil yang mendewasa dalam era sempadan kabur antara alam nyata dan alam maya ini, saya lebih prihatin mengenai kesan terlebih kongsi di media sosial ke atas generasi lebih muda.
Sebenarnya, kesan ke atas generasi lebih dewasa juga mencetus keprihatinan, tetapi ini mungkin lebih sesuai dibincangkan dalam artikel berhubung unsur-unsur performatif, tahap kematangan dan sebagainya.
Berbalik kepada kesan fenomena ‘terlebih kongsi’ ke atas minda muda, saya prihatin bagaimana kandungan sedemikian akan mempengaruhi pemikiran mereka.
Sebagai contoh, adakah perbuatan berkongsi luahan peribadi mengenai keluarga, pasangan atau rakan kerja boleh diterima asalkan nama-nama mereka tidak disebut?
Adakah wajar seorang ibu meluahkan rasa kurang puas hati mengenai perkara berhubung anaknya di media sosial tanpa mengambil kira kesan sampingan yang bakal ditempuhi anaknya itu angkara perbuatannya?
Selalunya, sesuatu perbuatan yang mungkin diterima dalam ruang media sosial tidak semestinya diterima dalam hubungan sosial di alam nyata.
Tapi kita tetap melakukannya.
Penting untuk ditekankan bahawa adalah hak dan pilihan setiap individu untuk berkongsi apa sahaja yang mereka mahu di media sosial.
Tidak ada peraturan yang mutlak mengenai kaedah mengukur kadar ‘terlebih kongsi’ atau ‘terlalu banyak’ di media sosial.
Justeru, ini adalah antara cabaran nyata pada era ini, terutama bagi individu yang tidak mempunyai keupayaan untuk menyekat perbuatan sendiri.
Ia seperti menggunakan Gen Ai untuk mencipta sesuatu artikel, imej, video – anda tidak berdaya memperbaiki atau memperhalusi perkara yang anda cipta jika anda terlebih dahulu tiada keupayaan di dada untuk mencipta perkara itu.
Namun, jika seseorang memilih untuk mempamerkan kehidupan mereka di media sosial, mereka juga harus bersedia untuk menerima kritikan dan dilontar pandangan yang mungkin bercanggah dengan pandangannya.
Ini adalah realiti berhubung di dunia maya yang perlu difahami dan diterima.
Mungkin, sebab sebenar saya enggan berkongsi kehidupan saya di media sosial adalah kerana saya enggan menerima realiti tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg