NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan undian pada 12 Jun terhadap satu draf ketetapan yang menuntut gencatan senjata segera, tanpa syarat dan kekal dalam peperangan di Gaza.
Ini selepas Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto terhadap usaha serupa dalam Majlis Keselamatan pada 4 Jun lalu.
Perhimpunan Agung yang dianggotai 193 negara dijangka meluluskan teks ketetapan tersebut dengan sokongan besar, menurut diplomat, walaupun Israel melobi negara-negara minggu ini supaya tidak mengambil bahagian dalam apa yang disifatkannya sebagai “sandiwara bermotif politik yang membawa kesan negatif”.
Ketetapan Perhimpunan Agung tidak mengikat secara undang-undang tetapi mempunyai pengaruh sebagai cerminan pandangan sejagat terhadap konflik itu.
Tuntutan terdahulu badan tersebut untuk menamatkan perang antara Israel dengan Hamas di Palestin telah diabaikan.
Tidak seperti Majlis Keselamatan PBB, tiada negara yang mempunyai kuasa veto dalam Perhimpunan Agung.
Undian pada 12 Jun itu turut diadakan menjelang satu persidangan PBB pada 17 Jun yang bertujuan menghidupkan semula usaha antarabangsa ke arah penyelesaian dua negara antara Israel dengan Palestin.
Amerika telah menggesa negara-negara supaya tidak menghadirinya.
Dalam satu nota yang dilihat agensi berita, Reuters, Amerika memberi amaran “negara yang mengambil tindakan anti-Israel sejurus selepas persidangan itu akan dianggap bertindak bertentangan dengan kepentingan dasar luar Amerika dan mungkin menghadapi akibat diplomatik”.
Amerika telah menggunakan kuasa veto pada 4 Jun terhadap satu draf ketetapan Majlis Keselamatan PBB yang turut menuntut “gencatan senjata serta-merta, tanpa syarat dan kekal” serta akses bantuan tanpa halangan ke Gaza, dengan alasan ia akan menjejas usaha yang diketuai Amerika untuk merundingkan gencatan senjata.
Sejumlah 14 negara lain dalam majlis tersebut menyokong draf itu, ketika krisis kemanusiaan semakin memburuk di wilayah dengan lebih dua juta penduduk itu.
Di samping itu, PBB memberi amaran bahawa kebuluran semakin hampir dan bantuan hanya masuk sedikit demi sedikit sejak Israel menarik balik sekatan selama 11 minggu pada Mei.
Draf ketetapan yang akan diundi oleh Perhimpunan Agung itu turut menuntut pembebasan tebusan yang ditahan oleh Hamas, pemulangan tahanan Palestin yang ditahan oleh Israel dan pengunduran penuh pasukan tentera Israel dari Gaza.
Ketetapan itu turut menuntut akses bantuan tanpa halangan dan “mengutuk sekeras-kerasnya penggunaan kelaparan terhadap orang awam sebagai kaedah peperangan serta penafian akses kemanusiaan secara tidak sah dan menafikan orang awam... daripada keperluan asas demi kelangsungan hidup mereka, termasuk secara sengaja menghalang bekalan bantuan dan akses”.
“Ini adalah palsu dan memfitnah,” kata Duta Israel ke PBB, Encik Danny Danon, dalam surat kepada negara anggota PBB yang dihantar pada 10 Jun.
Encik Danon menggambarkan draf ketetapan Perhimpunan Agung itu sebagai teks yang “sangat cacat dan berbahaya,” sambil menggesa negara-negara supaya tidak mengambil bahagian dalam apa yang disifatkannya sebagai “sandiwara” yang menjejas rundingan pembebasan tebusan dan gagal mengecam Hamas.
Perhimpunan Agung pada Oktober 2023 menyeru gencatan senjata kemanusiaan serta-merta di Gaza dengan 120 undian menyokong.
Pada Disember 2023, sebanyak 153 negara mengundi untuk menuntut gencatan senjata kemanusiaan serta-merta.
Pada Disember 2024, badan itu menuntut dengan 158 undian menyokong gencatan senjata serta-merta, tanpa syarat dan kekal. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg