Topik diikuti
Pergi ke BHkuMo Salah: Bintang bola sepak jambatan baharu politik Turkey-Mesir
ANKARA: Perpindahan Mohamed Salah ke Trabzonspor mungkin kelihatan seperti satu lagi perpindahan besar dalam dunia bola sepak.
Namun, di sebalik nilai kontrak, sambutan luar biasa penyokong dan persoalan mengenai penghujung kerjayanya di peringkat tertinggi Eropah, langkah bintang Mesir itu membawa makna yang jauh lebih luas.
Kehadiran Salah di Turkey berpotensi menjadi antara instrumen “kuasa lembut” paling berkesan dalam hubungan Turkey-Mesir.
Ia berlaku ketika kedua-dua negara sedang membina semula hubungan selepas hampir sedekad bersaing dalam pelbagai isu serantau.
Salah, 34 tahun, menyertai Trabzonspor secara percuma selepas menamatkan sembilan musim bersama Liverpool.
Beliau menandatangani kontrak dua tahun dengan pendapatan sekitar €17 juta ($25.4 juta) semusim, selain bonus dan bahagian daripada jualan barangan menggunakan namanya.
Perpindahan itu sendiri luar biasa.
Trabzonspor bukan Galatasaray, Fenerbahce atau Besiktas, tiga kelab Istanbul yang mempunyai profil antarabangsa lebih besar.
Tetapi kelab dari wilayah Laut Hitam itu berjaya mendapatkan salah seorang pemain paling terkenal dalam bola sepak dunia.
Sambutan yang diterima Salah menunjukkan betapa besarnya nilai perpindahan tersebut di luar padang.
Ribuan penyokong meraikan ketibaannya sebelum memenuhi stadium untuk majlis memperkenalkan pemain yang dianggap antara legenda terbesar Liverpool.
Salah meninggalkan Anfield dengan rekod 257 gol dalam 442 perlawanan, menjadikannya penjaring ketiga terbanyak sepanjang sejarah Liverpool.
Bersama kelab itu, beliau memenangi pelbagai kejuaraan termasuk dua Liga Perdana England dan Liga Juara-Juara.
Tetapi bagi Turkey, nilai Salah mungkin tidak boleh diukur berdasarkan jumlah gol semata-mata.
Sedekad lalu, sukar membayangkan seorang ikon nasional Mesir seperti Salah dirai sedemikian rupa di Turkey.
Hubungan Ankara dan Kahirah merosot selepas tentera Mesir menggulingkan Presiden Mohamed Morsi, pada 2013.
Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, menjadi antara pengkritik paling lantang terhadap perkembangan tersebut, sementara Mesir pula melihat Turkey sebagai penyokong utama Ikhwanul Muslimin.
Persaingan itu kemudian merebak kepada beberapa isu serantau, termasuk konflik Libya dan perebutan pengaruh di Mediterranean Timur.
Keadaan berubah secara beransur-ansur apabila kedua-dua pihak menyedari konfrontasi berpanjangan membawa kos politik dan ekonomi yang tinggi.
Sejak 2024, hubungan semakin pulih menerusi kunjungan Encik Erdogan ke Kahirah, dan Presiden Abdel Fattah al-Sisi ke Ankara.
Kedua-dua negara turut memperluaskan kerjasama perdagangan, pelaburan dan keselamatan.
Mereka belum menjadi sekutu dan perbezaan mengenai beberapa isu serantau masih wujud.
Tetapi hubungan itu sudah beralih daripada persaingan berasaskan ideologi kepada pendekatan yang lebih pragmatik.
Dalam konteks inilah perpindahan Salah menjadi penting.
Ia bukan penyebab pemulihan hubungan Turkey-Mesir.
Sebaliknya, perpindahan tersebut boleh dianggap sebagai hasil daripada suasana politik yang semakin baik dan pada masa yang sama berpotensi mempercepat hubungan di peringkat masyarakat.
Turkey bukan negara asing kepada masyarakat Mesir.
Sejak awal 2000-an, drama televisyen Turkey memainkan peranan besar dalam membentuk imej negara itu di dunia Arab.
Siri televisyen yang menampilkan Istanbul, budaya, makanan dan kehidupan masyarakat Turkey membantu mengubah persepsi sebahagian penonton Arab terhadap negara tersebut.
Drama menjadi instrumen kuasa lembut tanpa perlu membawa mesej politik secara langsung.
Tetapi pengaruh itu terjejas apabila hubungan politik Ankara-Kahirah merosot selepas 2013.
Kini Salah berpotensi memainkan peranan serupa malah mungkin lebih berkesan.
Perbezaannya ialah masyarakat Mesir bukan sekadar menonton produk budaya Turkey.
Mereka kini mempunyai sebab emosi untuk mengikuti Turkey hampir setiap minggu.
Setiap kali Trabzonspor bermain, jutaan peminat Salah di Mesir berpotensi mengikuti Liga Super Turkey.
Mereka akan mengenali pemain Turkey, kelab tempatan, bandar Trabzon dan budaya wilayah Laut Hitam yang sebelum ini mungkin asing kepada mereka.
Inilah kuasa lembut dalam bentuk paling mudah: menarik perhatian masyarakat negara lain tanpa paksaan.
Salah memberikan Turkey sesuatu yang sukar dibeli melalui kempen pengiklanan biasa – hubungan emosi dengan jutaan rakyat Mesir.
Persoalan lain ialah mengapa Salah memilih Trabzonspor.
Dari sudut bola sepak, pilihannya agak mengejutkan.
Selepas meninggalkan Liverpool, beliau dikaitkan dengan beberapa kelab, termasuk Besiktas dan kelab Liga Saudi.
Laporan sebelum perpindahan menyebut Besiktas gagal mencapai persetujuan berhubung aspek kewangan, manakala Trabzonspor menawarkan kontrak bernilai sekitar €17 juta setahun.
Trabzonspor pula tidak mempunyai kekuatan kewangan tradisional seperti beberapa kelab terbesar Eropah.
Ini menyebabkan timbul dakwaan bahawa pihak berpengaruh di Turkey mungkin membantu membuka jalan bagi perpindahan tersebut.
Bagaimanapun, setakat ini tiada bukti kukuh yang menunjukkan pemerintah Turkey terlibat secara langsung dalam rundingan.
Justeru, adalah terlalu jauh untuk menyifatkan perpindahan Salah sebagai projek rasmi Ankara.
Yang lebih penting ialah kesannya.
Dalam konsep kuasa lembut, pemerintah tidak semestinya perlu merancang sesuatu dari awal untuk memperoleh manfaat daripadanya.
Kehadiran seorang tokoh yang mempunyai pengaruh budaya besar boleh menghasilkan kesan geopolitik secara tidak langsung.
Salah mempunyai kedudukan yang jarang dimiliki atlet lain.
Di Mesir, beliau bukan sekadar pemain bola sepak, malah ikon nasional.
Di Britain pula, kejayaannya bersama Liverpool menjadikan beliau antara wajah Muslim paling dikenali dalam sukan Eropah.
Kini buat pertama kali sejak meninggalkan Mesir pada 2012, beliau bermain untuk sebuah kelab di negara majoriti Muslim.
Di media sosial, kesannya sudah kelihatan apabila penyokong Turkey dan Mesir saling berinteraksi.
Bahasa Arab dan Turkey digunakan untuk meraikan perpindahan tersebut, manakala jenaka mengenai sejarah politik kedua-dua negara turut muncul.
Perkara seperti itu mungkin kelihatan remeh, tetapi diplomasi antara masyarakat sering bermula melalui interaksi sedemikian.
Lawatan presiden dan perjanjian perdagangan biasanya hanya menarik perhatian mereka yang mengikuti politik.
Bola sepak sebaliknya mampu membawa hubungan antarabangsa terus ke ruang tamu jutaan keluarga.
Namun, kesan Salah tidak semestinya sentiasa positif.
Popularitinya yang begitu besar bermakna setiap kontroversi yang melibatkannya boleh mendapat perhatian luar biasa di Mesir.
Sekiranya prestasinya merosot dan penyokong atau media Turkey mengkritiknya secara keras, kritikan terhadap seorang pemain boleh dengan mudah ditafsirkan sebahagian peminat Mesir sebagai penghinaan terhadap ikon negara mereka.
Hubungan berasaskan sukan dan budaya juga mudah berubah apabila berlaku krisis politik.
Hubungan yang benar-benar kukuh memerlukan asas lebih mendalam – perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan, hubungan institusi dan kerjasama keselamatan.
Bola sepak hanya boleh membantu menyediakan suasana dan mempercepat proses yang sudah bermula.
Hakikatnya, proses pemulihan hubungan Turkey-Mesir bermula beberapa tahun sebelum Salah tiba di Trabzon.
Justeru, Salah bukan pencipta pemulihan tersebut.
Tetapi beliau mungkin menjadi wajah paling mudah dikenali bagi perubahan itu.
Sepanjang dua tahun kontraknya, setiap gol, kemenangan dan penampilan Salah akan memastikan Turkey terus mendapat perhatian masyarakat Mesir.
Trabzonspor pula berpotensi menikmati peningkatan hak penyiaran, penajaan, jualan barangan, pelancongan sukan dan pengikut digital dari dunia Arab.
Malah penampilan sulungnya dalam Liga Super Turkey pada 15 Ogos sudah mendapat perhatian media antarabangsa apabila beliau diturunkan pada babak kedua ketika Trabzonspor seri 1-1 dengan Kasimpasa.
Salah sendiri selama ini berhati-hati untuk tidak terlibat secara langsung dalam politik.
Oleh itu, kesan terbesarnya terhadap hubungan Turkey-Mesir mungkin bukan melalui kenyataan politik, tetapi sesuatu yang lebih halus.
Beliau membuatkan jutaan rakyat Mesir mempunyai alasan untuk melihat Turkey, mengikuti masyarakatnya dan mengenali sebuah bandar di pesisir Laut Hitam yang sebelum ini mungkin tidak pernah mereka fikirkan.
Salah tidak akan menentukan hubungan Turkey-Mesir.
Tetapi selama dua tahun akan datang, seorang pemain bola sepak dari Mesir mungkin menjadi jambatan masyarakat paling berpengaruh antara dua negara yang hanya beberapa tahun lalu berada di pihak bertentangan dalam hampir setiap pertikaian utama rantau itu.
Itulah kekuatan sebenar kuasa lembut – apabila geopolitik tidak lagi hanya berlaku di meja rundingan, tetapi turut dimainkan selama 90 minit di atas padang bola sepak. – Agensi berita.
