RIYADH: Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdulaziz bin Abdullah Al-Sheikh, meninggal dunia pada 23 September selepas lebih dua dekad memegang jawatan sebagai autoriti agama tertinggi.
Pengumuman rasmi dibuat oleh Mahkamah Diraja dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh Agensi Berita Arab Saudi (SPA). “Kerajaan Arab Saudi dan dunia Islam telah kehilangan seorang ulama terkemuka yang banyak menyumbang dalam perkhidmatan ilmu, Islam dan umat Islam,” menurut kenyataan itu.
Solat jenazah diimamkan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman di Riyadh, sebelum ia turut dilaksanakan serentak di masjid-masjid seluruh negara.
Dilahirkan pada 1940-an, Sheikh Abdulaziz kehilangan penglihatan sejak usia 14 tahun tetapi berjaya menghafal al-Quran pada usia muda. Beliau kemudian berkhidmat sebagai guru, ahli akademik dan pendakwah, sebelum dilantik sebagai Mufti Besar pada 1999 serta mengetuai Majlis Ulama Kanan, badan rasmi yang mengeluarkan fatwa di Arab Saudi.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau menjadi wajah utama aliran Wahhabi, tradisi Islam konservatif yang lama membentuk identiti negara itu. Beliau juga mengendalikan rancangan radio popular yang menerima soalan daripada pendengar dan menjawab secara langsung dengan fatwa.
Sheikh Abdulaziz memimpin institusi agama ini pada saat-saat genting, termasuk selepas serangan 11 September 2001, di mana 15 daripada 19 penyerang adalah warganegara Arab Saudi. Peristiwa itu membawa kepada proses muhasabah besar-besaran dalam negara.
“Pemergiannya menutup tirai era ulama Wahhabi besar terakhir,” kata Encik Mansour al-Nogaidan, bekas pendakwah yang kini menjadi penulis reformis di Amiriah Arab Bersatu (UAE). “Sepanjang 25 tahun sebagai mufti, beliau cuba menyesuaikan diri dengan perubahan dan cabaran selepas 11 September.”
Sebagai ulama konservatif, beliau terkenal dengan pandangan tegas. Pada 2004, beliau mengkritik percampuran lelaki dan wanita tidak bertudung di sebuah forum ekonomi di Jeddah, menyifatkan ia sebagai punca “kejahatan dan bencana.”
Beliau pernah mengharamkan permainan catur dengan menyifatkannya sebagai “perbuatan syaitan” dan mengecam Twitter sebagai sumber “kemudaratan.”
Namun, ada juga fatwa progresif yang dikeluarkan, antaranya mengharamkan perkahwinan paksa pada 2005 serta menyokong keputusan kerajaan membenarkan wanita memandu pada 2018. Langkah itu dilihat sebagai usaha menyesuaikan pandangan agama dengan dasar negara yang semakin terbuka.
Walaupun Majlis Ulama Kanan yang dipimpinnya berperanan memberi nasihat agama, kuasa sebenar tetap di tangan keluarga diraja. Sejak satu dekad lalu, pengaruh institusi agama semakin berkurangan di bawah pimpinan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang memperkenalkan reformasi sosial meluas.
Antara langkah besar termasuk mengurangkan kuasa polis agama pada 2016, membenarkan wanita memandu pada 2018, membuka negara kepada pelancong antarabangsa pada 2019, dan melonggarkan syarat pemakaian wanita.
Pengaruh ulama konservatif semakin diketepikan, malah ramai tokoh agama ditahan kerana menentang kadar perubahan yang pesat. Ulama rasmi seperti Sheikh Abdulaziz pula dilihat memilih untuk akur dengan dasar baru negara.
Sejarawan Arab Saudi, Profesor Mohammed Alazzam, menulis di platform X bahawa beliau mengenali Sheikh Abdulaziz ketika masih menuntut. “Sepanjang hidupnya, beliau dikenali dengan keimanan, akhlak mulia, warak serta dedikasi tinggi terhadap ilmu,” katanya.
Bagi ramai pemerhati, pemergian beliau melambangkan berakhirnya satu era dominasi ulama konservatif yang sinonim dengan Arab Saudi. Negara itu kini berada dalam fasa transformasi pantas menuju model lebih sekular dan dikawal oleh negara, berbanding berlandaskan autoriti agama.
Seorang penulis Arab menggambarkan detik ini sebagai “pengakhiran simbolik sebuah era yang mengikat masyarakat Saudi dengan tafsiran agama paling ketat.”
“Beliau terhimpit antara kesetiaan kepada ajaran Wahhabi yang diwarisi dan tuntutan moden yang semakin mendesak. Kadang kala beliau terpaksa berundur bagi mengelakkan kerajaan daripada dimalukan,” kata Encik Mansour al-Nogaidan, mengimbas dilema sepanjang kepimpinan Sheikh Abdulaziz.
Pemergian Mufti Besar Arab Saudi itu bukan sahaja meninggalkan kekosongan pada institusi agama negara, tetapi juga isyarat perubahan haluan Arab Saudi yang kini semakin beranjak daripada pengaruh konservatisme agama kepada hala tuju yang lebih moden. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg