DAMSYIK: Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dengan tegas mengecam serangan udara terbaru Israel ke atas wilayah Syria, sambil mengulangi sokongan padu terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah negara tersebut serta menolak campur tangan asing yang hanya akan menambah penderitaan rakyat Syria.
Setiausaha Agung GCC, Jassem Albudaiwi, dalam satu kenyataan rasmi pada Rabu, menyifatkan tindakan Israel itu sebagai “pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan Syria dan pencabulan undang-undang serta norma antarabangsa.”
Sementara itu, Liga Dunia Islam (MWL) turut menyuarakan solidariti bersama pemerintah dan rakyat Syria dalam menghadapi ancaman terhadap keselamatan dan perpaduan mereka. Menurut kenyataan Sekretariat Agung MWL, liga tersebut menyokong usaha Syria untuk memulihkan keamanan dalaman, menegakkan kedaulatan undang-undang dan melindungi semua lapisan masyarakatnya. MWL turut mengutuk pencerobohan Israel secara berulang kali terhadap wilayah Syria sebagai satu bentuk pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio, dalam kenyataannya pada 16 Julai berkata: “Kami amat prihatin terhadap keganasan yang sedang berlaku dan telah bersetuju untuk mengambil langkah-langkah konkrit bagi menamatkan situasi yang membimbangkan dan mengerikan ini secepat mungkin, bermula malam ini.”
Beberapa negara Arab seperti Lebanon, Iraq, Qatar, Jordan, Mesir dan Kuwait turut mengecam tindakan ketenteraan Israel yang menyasarkan pasukan keselamatan dan pemerintah Syria.
Kementerian Luar Negeri Arab Saudi menyifatkan serangan itu sebagai “serangan terang-terangan Israel ke atas Syria,” manakala Iran menyebutnya sebagai tindakan yang “sudah dijangka”.
Turkey, yang menjadi pemain utama dalam era pasca-Assad di Syria, menyifatkan serangan Israel itu sebagai “sabotaj terhadap usaha Syria mencapai keamanan dan kestabilan.”
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, turut mengutuk serangan udara Israel di Suweida dan Damsyik yang disifatkannya sebagai “memuncak dan memburukkan keadaan.”
Media Syria melaporkan bahawa serangan pada 16 Julai telah menyasarkan Bangunan Staf Am Tentera di Damsyik, menyebabkan kerosakan besar.
Kementerian Kesihatan Syria melaporkan seramai 13 orang cedera dalam serangan itu. Serangan tambahan dilaporkan berlaku di wilayah selatan Suweida, yang mengorbankan tiga pegawai kanan tentera dan keselamatan Syria serta mencederakan beberapa orang awam.
Kementerian Luar Syria mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan Israel itu sebagai pelanggaran jelas terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Damsyik menyeru Majlis Keselamatan PBB supaya segera campur tangan dan mengambil “langkah konkrit dan mendesak” bagi menghentikan siri pencerobohan berulang Israel terhadap negara anggota berdaulat PBB.
Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan, mengadakan panggilan telefon pada 16 Julai dengan rakan sejawatannya dari Turkey, Encik Hakan Fidan, untuk membincangkan ketegangan keselamatan serantau yang semakin memuncak susulan serangan udara terbaru Israel.
Panggilan itu memberi tumpuan kepada siri serangan terbaru yang meningkat pada Rabu, termasuk serangan ke atas kompleks Presiden Qasr al-Shaab dan bangunan utama tentera Syria di Damsyik.
Agensi berita rasmi Syria, SANA, melaporkan bahawa jet pejuang Israel telah mengebom kedua-dua sasaran tersebut, menyebabkan asap tebal kelihatan dari kawasan impak.
Serangan itu berlaku tidak lama selepas Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, mengeluarkan amaran bahawa “pukulan menyakitkan” akan dilancarkan ke atas Damsyik. Media tempatan turut melaporkan bahawa kawasan Suweida turut menjadi sasaran serangan udara Israel.
Utusan Khas PBB untuk Syria, Encik Geir Pedersen, dalam kenyataannya pada 16 Julai turut mengutuk keras tindakan Israel yang semakin meningkat, termasuk serangan ke atas kawasan berpenduduk padat dan bangunan rasmi di tengah-tengah Damsyik.
Menurut kenyataan pejabatnya, Encik Pedersen memberi amaran bahawa serangan tersebut mengancam nyawa orang awam dan membahayakan kestabilan serantau. “Saya menyeru Israel agar segera menghentikan semua pelanggaran terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah Syria, serta mengelakkan sebarang tindakan unilateral yang memburukkan konflik,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan semula prinsip Resolusi 2254 Majlis Keselamatan PBB, yang menyediakan kerangka bagi penyelesaian politik di Syria menjelang tahun 2025, dan menggesa semua pihak agar tidak mengambil tindakan yang boleh menjejaskan usaha damai atau memburukkan lagi konflik. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg