ANKARA (Turkey): Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 22 Jun menyatakan bahawa ia akan menubuhkan satu kumpulan hubungan peringkat menteri untuk menjalin komunikasi tetap dengan pihak antarabangsa dan serantau.
Penubuhan kumpulan hubungan itu bertujuan meredakan ketegangan susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas tapak nuklear Iran.
Dalam satu kenyataan bersama selepas satu mesyuarat Menteri Luar OIC di Istanbul, kumpulan yang dianggotai 57 negara itu mengecam “pencerobohan Israel” terhadap Iran, sambil menekankan “keperluan mendesak untuk menghentikan serangan Israel serta kebimbangan besar terhadap peningkatan ketegangan yang berbahaya ini”.
OIC turut menggesa masyarakat antarabangsa supaya mengambil langkah bagi mencegah serangan ke atas Iran dan “memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas jenayah yang dilakukan”.
Namun, kenyataan tersebut tidak mengulas serangan yang dilakukan Amerika ke atas Iran pada 21 Jun.
Kumpulan tersebut turut bersetuju dengan satu ketetapan berasingan yang mengandungi 13 perkara berhubung konflik Israel-Iran.
Dalam ketetapan tersebut, kumpulan itu mengecam kededua serangan Israel dan Amerika ke atas kemudahan nuklear Iran, sambil menyatakan bahawa OIC menyokong Teheran sepenuhnya.
Ketetapan tersebut turut menyeru Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) supaya “mengecam serangan tersebut secara jelas dan melaporkannya kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)”.
Ia menambah bahawa serangan “kejam” itu melanggar undang-undang antarabangsa, menurut draf ketetapan tersebut.
Ia turut menyatakan bahawa OIC menyeru Israel agar “menyertai tanpa berlengah Perjanjian Pencegahan Penularan Senjata Nuklear (NPT) dan meletakkan kesemua kemudahan dan kegiatan nuklearnya di bawah perlindungan menyeluruh IAEA”.
Sekutu Amerika, Israel, satu-satunya negara di Timur Tengah yang dipercayai memiliki senjata nuklear, menyatakan bahawa serangannya terhadap Iran bertujuan menghalang Teheran daripada membangunkan senjata nuklear sendiri.
Negara anggota OIC turut menegaskan sekali lagi “hak sedia ada Iran untuk mempertahankan diri dan mengambil segala langkah yang perlu bagi melindungi sepenuhnya kedaulatan dan rakyatnya, serta mencegah berulangnya tindakan jenayah sedemikian ke atas wilayahnya pada masa depan,” tambah kenyataan tersebut. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg