Perang Iran telah mencetuskan ketidaktentuan baharu mengenai peranan kuasa besar dunia di Timur Tengah.

Beberapa penganalisis memberi pandangan negara seperti China dan India tidak dijangka menggantikan Amerika Syarikat sebagai pelindung keselamatan utama rantau itu walaupun pengaruh ekonomi mereka kian berkembang.

Pakar yang berucap dalam panel kedua, Persidangan Tahunan Institut Timur Tengah (MEI) Universiti Nasional Singapura (NUS) 2026 berkata, konflik tersebut menyerlahkan keterbatasan kuasa Asia yang sedang meningkat naik dalam mengurus krisis dan menstabilkan rantau itu ketika negara Teluk semakin menilai semula pergantungan mereka pada Washington.

Panel bertajuk, ‘Kuasa Luar dan Realiti Baharu Timur Tengah’, itu membincangkan bagaimana perang berkenaan mengubah persepsi negara rantau terhadap Amerika, China dan India, selain kesan geopolitik lebih luas terhadap Timur Tengah dan Asia.

Panel itu dikendalikan Pengarah Institut Pengajian Asia Selatan (Isas) NUS, Dr Iqbal Singh Sevea.

Profesor Madya Universiti Zayed, Dr Jonathan Fulton, berkata perang tersebut menunjukkan pendekatan China terhadap Timur Tengah yang selama ini lebih berteraskan ekonomi, kini berdepan tekanan semakin besar dalam suasana rantau yang kian tidak stabil.

“Pendekatan China terhadap Timur Tengah kini dilihat tidak lagi mencukupi dalam keadaan semasa,” katanya.

Menurut beliau, China selama ini meraih manfaat daripada struktur keselamatan serantau yang banyak disokong oleh kehadiran tentera Ameria.

Ia sekali gus membolehkan Beijing memperluas pengaruh ekonomi tanpa perlu memikul tanggungjawab keselamatan secara langsung.

Keadaan itu ujar beliau, membolehkan China mengembangkan pengaruhnya dengan pantas di rantau Teluk menerusi pelaburan, projek prasarana dan kerjasama perdagangan sambil mengelakkan penglibatan terus dalam konflik serantau.

Perang ubah imej Teluk sebagai hab selamat

Namun, perang tersebut telah mengubah tanggapan rantau Teluk merupakan hab ekonomi yang stabil dan selamat.

“Rantau Teluk yang kita kenali sejak 30 tahun lalu kini tidak lagi sama,” katanya.

Dr Fulton berkata konflik itu turut meningkatkan ketegangan strategik dalam kalangan negara Teluk sendiri, terutama membabitkan pendekatan berbeza dalam hubungan dengan Iran, Israel dan kuasa besar dunia.

Beliau merujuk pada perbezaan kian ketara antara Amiriah Arab Bersatu (UAE) dengan beberapa negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) mengenai cara menangani hubungan dengan Teheran dan Washington.

Menurut beliau, sesetengah negara Teluk kini melihat hubungan dengan negara seperti Amerika, Israel dan Korea Selatan, sebagai lebih penting kerana negara tersebut memberi bantuan keselamatan secara langsung ketika konflik berlaku.

“Ada negara yang membantu kami, ada yang menjejaskan kami dan ada juga yang tidak memainkan sebarang peranan,” katanya mengenai pandangan beberapa pemimpin Teluk terhadap kuasa luar sepanjang perang tersebut.

Pada masa sama, beliau berkata strategi China yang cuba mengekalkan hubungan baik dengan Iran dan negara Teluk pada masa serentak menjadi semakin sukar selepas tercetusnya perang.

“Perang yang mengganggu kestabilan ini sebenarnya tidak memberi manfaat kepada kepentingan China,” katanya.

Dr Fulton turut mempertikaikan tanggapan bahawa China mahu menggantikan Amerika sebagai kuasa dominan di Timur Tengah.

Menurutnya, keutamaan strategik Beijing masih tertumpu kepada kawasan berhampiran seperti Laut China Selatan, Taiwan, Korea Utara dan hubungan dengan Amerika.

“Timur Tengah ialah tempat China untuk menjana keuntungan dan mendapatkan tenaga,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program China di Pusat Stimson, Dr Sun Yun, berkata China tetap mahu memperluas peranan diplomatik dan politiknya di Timur Tengah tetapi bukan melalui campur tangan ketenteraan.

“China mahu memainkan peranan lebih besar dalam hal ehwal keselamatan Timur Tengah,” katanya.

Menurut beliau, Beijing lebih selesa bertindak sebagai pemudah cara, pengantara dan penganjur dialog berbanding menjadi pelindung keselamatan secara langsung.

Beliau merujuk kepada peranan China dalam memudah cara pemulihan hubungan Arab Saudi-Iran pada 2023 serta rundingan membabitkan puak Palestin sebagai contoh cita-cita diplomatik Beijing yang semakin berkembang.

Peranan China dan India

Dr Sun berkata China tidak dijangka menghantar tentera atau membentuk pakatan keselamatan ala Amerika di Timur Tengah, tetapi akan terus memperluas pengaruh menerusi usaha pengantaraan, diplomasi dan kerjasama ekonomi.

Beliau juga berkata kebergantungan China pada tenaga dari Timur Tengah semakin berkurangan susulan usaha mempelbagaikan sumber tenaga dan peralihan besar ke arah tenaga boleh diperbaharui.

Menurutnya, usaha China mempelbagaikan sumber tenaga serta memperluas pembangunan tenaga boleh diperbaharui telah mengurangkan kebimbangan terhadap pergantungan negara itu kepada minyak dari rantau Teluk.

“Ekonomi China kini berkembang pesat ke arah penggunaan tenaga elektrik dan tenaga alternatif,” katanya sambil menambah bahawa tenaga boleh diperbaharui telah mengatasi minyak sebagai sumber tenaga kedua terbesar China pada 2024.

Panel tersebut turut membincangkan kedudukan India dalam landskap baharu Timur Tengah.

Pengarah Eksekutif, Yayasan Penyelidikan Pemerhati Timur Tengah, Encik Kabir Taneja, berkata pendekatan India terhadap rantau itu masih banyak dipengaruhi oleh faktor keselamatan tenaga, perdagangan dan perlindungan jutaan rakyat India yang bekerja di negara Teluk.

Beliau berkata New Delhi mengekalkan hubungan dua hala yang kukuh dengan hampir semua pihak di rantau tersebut termasuk Iran, negara Teluk dan Israel, tetapi berhati-hati untuk tidak terlibat secara langsung dalam konflik serantau.

“Penyelesaian perlu datang dari rantau itu sendiri. Kuasa luar tidak akan mampu menentukan masa depan Timur Tengah,” katanya.

Ketidakstabilan Timur Tengah ancam ekonomi Asia

Encik Kabir berkata jangkaan bahawa China atau India akan menggantikan Amerika dari segi ketenteraan di Timur Tengah adalah tidak realistik.

“Jika ada pihak menjangkakan China atau India akan menghantar penempatan tentera secara besar-besaran ke rantau ini, itu tidak akan berlaku,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa keutamaan strategik India masih tertumpu pada kawasan berhampiran termasuk Pakistan, Afghanistan dan Lautan Hindi.

Pada masa sama, India terus memperkukuh hubungan perdagangan dan ekonomi dengan negara Teluk terutama UAE yang dianggap antara rakan ekonomi strategik paling penting bagi New Delhi.

Perdagangan antara India dengan UAE kini melebihi AS$100 bilion ($129 bilion) dan dijangka terus meningkat dalam beberapa tahun akan datang, sekali gus menunjukkan kepentingan Teluk dalam strategi ekonomi jangka panjang India.

Namun, Encik Kabir mengakui ketidakstabilan di Timur Tengah masih memberi risiko besar kepada ekonomi Asia yang bergantung pada import tenaga dan laluan perdagangan maritim.

Beliau berkata negara seperti India telah lama dipaksa memikirkan semula strategi keselamatan tenaga susulan gangguan bekalan berkaitan sekatan terhadap Iran dan ketegangan di Selat Hormuz.

Perbincangan itu turut memperlihatkan ketidakpastian lebih besar mengenai sama ada negara Teluk akan terus bergantung pada Amerika untuk keselamatan jangka panjang atau mula mempelbagaikan kerjasama strategik mereka.

Beberapa anggota panel berkata walaupun keyakinan terhadap kepimpinan Amerika semakin terhakis susulan konflik berulang di Timur Tengah, tiada kuasa lain ketika ini yang benar-benar bersedia atau mampu menggantikan sepenuhnya peranan keselamatan Washington di rantau tersebut.