Kesan konflik Iran berpotensi mengubah secara menyeluruh keutamaan strategik jangka panjang Singapura, dengan Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, berkata isu keselamatan tenaga mungkin menjadi cabaran paling penting bagi republik itu dalam tempoh 50 tahun akan datang.

Dalam sesi soal jawab di Persidangan Tahunan Institut Timur Tengah (MEI) Universiti Nasional Singapura (NUS) di Hotel Orchard pada 23 Jun, Encik Chan berkata ketidakstabilan geopolitik global, gangguan terhadap laluan perdagangan dunia dan konflik di Timur Tengah telah menunjukkan betapa rapuhnya sistem ekonomi dan tenaga antarabangsa ketika ini.

“Di Singapura, selama 50 tahun lalu, air merupakan cabaran utama kami. Untuk 50 tahun akan datang pula, tenaga akan menjadi cabaran utama Singapura,” katanya.

Menurut Encik Chan, konflik di Iran dan perang Russia-Ukraine bukan sahaja memberi kesan kepada harga minyak dunia, malah membangkitkan persoalan lebih besar mengenai keselamatan tenaga, kestabilan rantaian bekalan dan daya tahan ekonomi negara-negara kecil yang bergantung kepada perdagangan global seperti Singapura.

Beliau berkata Singapura tidak lagi boleh menganggap bahawa laluan perdagangan antarabangsa, aliran tenaga global dan kestabilan geopolitik akan sentiasa terjamin dalam dunia yang semakin berpecah-belah akibat persaingan kuasa besar.

Katanya, konflik semasa turut menyerlahkan kelemahan laluan maritim strategik seperti Selat Hormuz yang menjadi laluan utama penghantaran minyak dan gas dunia.

Encik Chan berkata sebarang cubaan untuk “mempersenjatakan geografi” dengan menggunakan laluan perdagangan atau kedudukan strategik sebagai alat tekanan politik boleh menjejaskan kestabilan sistem perdagangan antarabangsa.

“Ada pihak mungkin berfikir mereka boleh menggunakan kelebihan geografi untuk kepentingan sendiri. Tetapi kita perlu ingat, apa yang dilakukan terhadap orang lain akhirnya boleh kembali kepada diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata jika negara-negara mula menyekat akses kepada laluan perdagangan penting atas sebab politik atau keselamatan, tindakan itu boleh mencetuskan ketidakstabilan lebih besar dan menghakis keyakinan terhadap sistem antarabangsa berasaskan peraturan.

Menurut Encik Chan, keadaan sedemikian amat berbahaya bagi negara kecil seperti Singapura yang bergantung sepenuhnya kepada perdagangan antarabangsa dan laluan laut terbuka.

Dalam konteks itu, beliau berkata Singapura dan Asean perlu mempercepat usaha memperkukuh kerjasama tenaga dan prasarana serantau bagi mengurangkan risiko gangguan akibat konflik global.

Beliau menekankan bahawa pembangunan Grid Tenaga Asean boleh menjadi antara penyelesaian strategik paling penting bagi rantau ini dalam jangka panjang.

Katanya, rangkaian tenaga serantau yang lebih bersepadu akan membolehkan negara-negara Asean berkongsi sumber tenaga yang lebih bersih, murah dan stabil merentasi sempadan.

Pada masa ini, menurut beliau, banyak negara di Asia Tenggara terpaksa membina kapasiti tenaga berlebihan masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku gangguan bekalan.

Namun, sistem tenaga serantau yang saling berhubung boleh membantu mengurangkan kos, meningkatkan kecekapan dan memperkukuh daya tahan ekonomi rantau ini.

“Ada manfaat ekonomi yang besar untuk semua pihak jika kita dapat bekerjasama,” katanya ketika menyentuh mengenai kerjasama tenaga Asean.

Beliau turut mengaitkan isu keselamatan tenaga dengan masa depan ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI), yang memerlukan penggunaan tenaga elektrik pada skala jauh lebih besar.

Menurut Encik Chan, daya saing ekonomi masa depan Singapura dan Asean bergantung kepada kemampuan mendapatkan sumber tenaga yang bersih, mampan dan boleh dipercayai.

“Jika kita mempunyai sumber tenaga yang lebih bersih, mampan dan boleh dipercayai, kita akan lebih mampu bersaing dalam ekonomi baharu yang sangat memerlukan tenaga, termasuk pusat data, kuasa pengkomputeran dan industri berkaitan AI,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa halangan politik dan kebimbangan domestik masih menjadi cabaran utama kepada integrasi tenaga serantau yang lebih mendalam.

Selain isu tenaga, Encik Chan turut memberi amaran mengenai hakisan undang-undang dan norma antarabangsa akibat konflik global yang semakin meningkat.

Beliau berkata konflik di Timur Tengah dan Ukraine telah menimbulkan persoalan sama ada negara-negara masih komited menghormati peraturan antarabangsa berkaitan perdagangan, laluan maritim dan kedaulatan negara.

Menurutnya, kelemahan sistem antarabangsa berasaskan peraturan akan menjadikan dunia lebih tidak stabil dan berbahaya, terutama bagi negara kecil.

Encik Chan turut menyentuh ancaman terhadap prasarana bawah laut seperti kabel komunikasi dan saluran tenaga yang kini menjadi tulang belakang ekonomi digital global.

“Hari ini, sebarang serangan terhadap prasarana sedemikian sebenarnya adalah serangan terhadap keseluruhan rangkaian,” katanya.

Beliau berkata Singapura sedang bekerjasama dengan beberapa negara lain untuk membincangkan keperluan mewujudkan peraturan dan perlindungan baharu bagi prasarana bawah laut.

Menjawab soalan mengenai keselamatan serantau dan peranan kuasa besar dunia, Encik Chan berkata Singapura tidak pernah menganggap negara lain akan datang menyelamatkannya jika berlaku krisis.

Di Singapura, kita tidak pernah membuat andaian bahawa akan ada pihak lain datang membantu jika sesuatu berlaku,” katanya.

Beliau berkata republik itu akan terus melabur secara konsisten dalam pertahanan, daya tahan nasional dan kerjasama strategik bagi memastikan negara mampu melindungi kepentingannya sendiri.

Encik Chan juga mengingatkan bahawa bahaya terbesar dalam geopolitik bukan semata-mata soal kekuatan ketenteraan, tetapi salah tanggapan mengenai niat sesebuah negara.

“Bahaya terbesar dalam dunia keselamatan bukan hanya mengenai kemampuan, tetapi juga niat,” katanya.

Menurut beliau, ketidakpastian dan rasa saling curiga antara negara boleh meningkatkan risiko salah perhitungan yang akhirnya membawa kepada konflik lebih besar.

Mengenai Timur Tengah, Encik Chan berkata keamanan jangka panjang hanya dapat dicapai jika negara-negara di rantau itu berhenti melihat keselamatan sebagai persaingan sifar dan mula membina visi bersama untuk kemakmuran serantau.

Jika ada pihak beranggapan kewujudan mereka hanya boleh dijamin dengan melemahkan atau menghapuskan pihak lain, maka kita tidak akan menemui jalan penyelesaian,” katanya.

Sesi tersebut dikendalikan oleh Pengerusi Institut Timur Tengah, Profesor Joseph Liow, dan memberi tumpuan kepada kesan geopolitik serta ekonomi susulan perang Iran terhadap Singapura, Asia dan aturan dunia secara keseluruhan.