TEHERAN: Pengebumian mantan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, bukan sekadar menamatkan pemerintahan seorang tokoh paling berkuasa di republik Islam itu selama lebih tiga dekad.

Sebaliknya, ia membuka satu fasa baharu yang penuh ketidakpastian mengenai masa depan politik, ekonomi dan dasar luar Iran selepas perang dengan Israel dan Amerika Syarikat.

Di sebalik upacara pengebumian besar-besaran yang menghimpunkan jutaan rakyat Iran, banyak pihak mula mempersoalkan sama ada sistem yang dibina Allahyarham selama 36 tahun mampu bertahan tanpa tokoh yang selama ini menjadi pusat kuasa mutlak negara itu.

Penganalisis politik Iran, Timbalan Direktorat Strategik Pejabat Presiden Iran, Dr Abed Akbari, berkata pengaruh Allahyarham sebenarnya jauh melangkaui individu kerana beliau berjaya membentuk satu “budaya strategik” yang kini tertanam dalam institusi negara Iran.

Menurut beliau, legasi terbesarnya bukan hanya terletak pada keputusan politik atau ketenteraan tertentu, sebaliknya kejayaannya membentuk institusi fahaman bahawa keselamatan Iran mesti dibina atas tiga teras utama – kemerdekaan mutlak, kekuatan tentera dan pencegahan strategik.

“Khamenei melihat dunia sebagai sistem yang tidak adil dan dikuasai kuasa besar.

“Pada pandangannya, keselamatan bukan hadiah daripada negara besar tetapi sesuatu yang mesti dipertahankan sendiri,” katanya.

Fahaman itu membentuk keseluruhan dasar luar Iran sejak 1989 termasuk pembangunan program peluru berpandu, pengukuhan Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) dan sokongan terhadap kumpulan “paksi penentangan” seperti Hamas dan Hezbollah.

Namun, bagi ramai rakyat Iran, legasi itu turut dibayar dengan harga yang amat mahal.

Penganalisis Institut Washington, Cik Holly Dagres, berkata sepanjang pemerintahannya, Iran menjadi negara yang semakin terasing akibat sekatan ekonomi, tekanan antarabangsa dan dasar konfrontasi berterusan terhadap Barat.

Walaupun Allahyarham berjaya menjadikan Iran kuasa utama di Asia Barat, ekonomi negara itu terus bergelut dengan inflasi tinggi, kejatuhan nilai mata wang dan kemarahan rakyat terhadap rasuah serta penindasan politik.

Menurut Cik Dagres, Allahyarham memerintah melalui gabungan ideologi agama, kuasa ketenteraan dan pengawasan ketat terhadap masyarakat.

Beliau mempunyai kuasa mutlak dalam hampir semua keputusan penting negara termasuk program nuklear, hubungan luar dan operasi ketenteraan serantau.

Di bawah pemerintahannya juga, IRGC berkembang menjadi kuasa politik dan ekonomi terbesar Iran.

“Khamenei menggalakkan IRGC memainkan peranan utama dalam politik, ekonomi dan keselamatan negara,” kata Cik Dagres.

Peranan IRGC semakin kuat selepas bantahan besar-besaran rakyat Iran pada 2009, 2019 dan 2022 yang disambut dengan tindakan keras pihak keselamatan.

Dalam kebangkitan gerakan kebebasan wanita pada 2022, yang tercetus selepas kematian Cik Mahsa Amini, ketika dalam tahanan polis moral kerana didakwa melanggar peraturan hijab, lebih 500 orang dilaporkan terbunuh manakala puluhan ribu lagi ditahan, tambah laporan antarabangsa.

Namun, tekanan paling besar terhadap pemerintahan Allahyarham Khamenei muncul selepas perang Israel-Amerika terhadap Iran pada Februari 2026.

Serangan udara yang membunuh beliau serta beberapa anggota keluarganya mencetuskan kejutan besar dalam republik Islam itu.

Selepas kematiannya, anak beliau, Encik Mojtaba Khamenei, dilantik sebagai pemimpin tertinggi baharu Iran dan mewarisi dasar keselamatan yang dibentuk bapanya selama lebih tiga dekad.

Dalam pendekatan itu, diplomasi tidak dilihat sebagai pengganti kekuatan ketenteraan, sebaliknya pelengkap kepada strategi pertahanan negara.

“Perjanjian politik boleh berubah mengikut keadaan, tetapi kekuatan negara adalah perlindungan sebenar yang berada di tangan rakyat sendiri,” tulis Dr Akbari ketika menjelaskan pemikiran strategik kepimpinan Iran.

Namun, perang terkini dengan Israel dan Amerika memperlihatkan bahawa strategi tersebut turut dicabar terutama apabila Iran berdepan tekanan ekonomi, sekatan antarabangsa dan kemusnahan akibat konflik berpanjangan.

Walaupun Iran berjaya membina rangkaian sekutu serantau dan keupayaan ketenteraan yang kuat, negara itu tetap bergelut mengelak kemusnahan ekonomi dan ketidakstabilan dalaman.

Cik Dagres berkata rakyat Iran kini semakin penat dengan konflik berterusan dan penindasan politik.

Beliau turut menyatakan bahawa bantahan besar-besaran pada akhir 2025 akibat kejatuhan mata wang rial menjadi ancaman terbesar terhadap pemerintahan Allayarham Khamenei sebelum kematiannya.

Malah, tindakan keras terhadap penunjuk perasaan yang mengorbankan puluhan ribu rakyat hanya meningkatkan lagi kemarahan terhadap pemerintah.

Kini, selepas kematian Allahyarham Khamenei, Iran bukan sahaja berdepan cabaran ekonomi dan geopolitik, bahkan juga persoalan besar mengenai identiti masa depannya.

Pensyarah Universiti Johns Hopkins, Profesor Vali Nasr, berkata apa yang berlaku di Teheran hari ini adalah pertarungan mengenai masa depan republik Islam itu sendiri.

“Ali Khamenei bukan sekadar seorang pemimpin politik, malah, tonggak utama keseluruhan sistem republik Islam,” katanya.

Menurut beliau, cabaran terbesar Iran selepas ini adalah sama ada sistem yang dibina beliau mampu bertahan tanpa tokoh yang selama ini menjadi lambang utama kuasa dan kestabilan negara.

Ketika jutaan rakyat Iran turun ke jalanan bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham, persoalan besar masih belum terjawab – adakah Iran akan terus bergerak mengikut legasi tegar beliau atau mula mencari jalan baharu selepas era seorang pemimpin paling berpengaruh republik Islam itu berakhir. – Agensi berita.

Khamenei melihat dunia sebagai sistem yang tidak adil dan dikuasai kuasa besar. Pada pandangannya, keselamatan bukan hadiah daripada negara besar tetapi sesuatu yang mesti dipertahankan sendiri.
Timbalan Direktorat Strategik Pejabat Presiden Iran, Dr Abed Akbari.