ISLAMABAD: Cadangan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, supaya Pakistan menyertai Perjanjian Abraham dan mengiktiraf Israel kini meletakkan Islamabad dalam dilema strategik yang sukar, ketika Asia Barat terus bergolak akibat konflik melibatkan Iran, Israel dan Amerika.

Encik Trump baru-baru ini memberi bayangan negara yang mahu menjadi sebahagian daripada perjanjian damai baharu di Asia Barat perlu menyertai Perjanjian Abraham, iaitu rangka kerja diplomatik yang dipelopori Washington untuk memulihkan hubungan dengan Israel.

Cadangan itu menimbulkan tekanan baharu terhadap Pakistan yang selama ini mempertahankan pendirian tegas menyokong penubuhan negara Palestin merdeka sebelum sebarang hubungan rasmi dengan Israel boleh dipertimbangkan.

Berbeza dengan beberapa negara Arab seperti Amiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Maghribi dan Sudan yang menyertai Perjanjian Abraham tanpa tentangan besar dalam negara, keadaan Pakistan jauh lebih rumit.

Penganalisis berkata Pakistan bukan sahaja berdepan tekanan politik domestik, malah perlu menimbang hubungan strategiknya dengan China, dunia Islam dan pihak tentera sendiri.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan, Encik Ishaq Dar, menegaskan Islamabad tidak akan mengubah pendirian terhadap Israel selagi tiada kemajuan ke arah penubuhan negara Palestin.

“Ada banyak khabar angin mengenai Perjanjian Abraham. Biar saya jelaskan bahawa pendirian Pakistan sangat jelas dan tekal,” katanya selepas bertemu Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio, di Washington.

“Selagi Palestin tidak diiktiraf berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmakdis Timur sebagai ibu negara, tidak akan ada sebarang kelonggaran.”

Beliau turut menegaskan Pakistan kekal komited terhadap perjuangan Palestin dan rakyat Gaza.

“Israel mesti bergerak ke arah penubuhan negara Palestin sebelum ada perubahan dalam pendirian Pakistan,” katanya.

Walaupun berbeza pandangan mengenai Israel, hubungan Washington dan Islamabad dilihat semakin penting dalam usaha menamatkan konflik Iran-Amerika.

Encik Rubio memuji peranan Pakistan dalam membantu usaha pengantaraan bagi meredakan perang antara Amerika Syarikat, Israel dengan Iran.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika, Encik Tommy Pigott, berkata Encik Rubio menghargai “peranan membina Pakistan dalam merealisasikan visi keamanan Encik Trump di Asia Barat”.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Pakistan, kedua-dua pihak turut membincangkan kerjasama ekonomi, perdagangan, keselamatan dan usaha memerangi keganasan.

Pakistan sebelum ini memainkan peranan penting sebagai pengantara sehingga gencatan senjata antara Iran dengan Amerika berjaya dicapai pada 8 April lalu.

Namun rundingan susulan di Islamabad gagal menghasilkan perjanjian damai berkekalan.

Pemerhati berkata Pakistan kini berada dalam keadaan sukar kerana perlu mengimbangi hubungan dengan Amerika, China dan negara Arab.

Jika Islamabad menolak cadangan Encik Trump secara terbuka, ia mungkin menjejas hubungan dengan Washington ketika Pakistan masih bergantung kepada bantuan kewangan antarabangsa dan sokongan negara Teluk.

Namun, jika Pakistan mengiktiraf Israel, langkah itu boleh mencetuskan bantahan besar dalam negara dan menggugat imej politik pemerintah serta tentera Pakistan.

Penganalisis juga berkata pengiktirafan terhadap Israel tidak semestinya menyelesaikan masalah utama Pakistan seperti krisis ekonomi, ketidakstabilan politik dan ketegangan antara kerajaan awam dengan tentera.

Selain itu, langkah mendekati pakatan Amerika-Israel juga berisiko menjejas hubungan Islamabad dengan Beijing.

China merupakan rakan strategik utama Pakistan menerusi projek mega Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC).

Keadaan geopolitik Asia Barat kini jauh berbeza berbanding 2020 ketika Encik Trump mula memperkenalkan Perjanjian Abraham.

Perang Gaza, konflik Iran-Israel dan usaha damai antara Arab Saudi dengan Iran yang dijalankan oleh China pada 2023 telah mengubah landskap politik rantau itu.

Iran pula cuba membentuk kerangka alternatif sendiri dikenali sebagai Persatuan Dialog Negara-Negara Muslim Asia Barat (MWADA) yang bertujuan menggalakkan kerjasama negara Islam dalam bidang keselamatan dan perdagangan.

Turkey juga sedang mengembangkan pengaruh ekonomi menerusi projek, Laluan Pembangunan yang menghubungkan Asia dan Eropah melalui Iraq.

Dalam persaingan geopolitik baharu ini, Pakistan dilihat masih berada di luar kebanyakan inisiatif utama rantau tersebut.

Walaupun Encik Trump terus memberi tekanan supaya lebih banyak negara Islam menyertai Perjanjian Abraham, perang Gaza menjadikan usaha itu semakin rumit.

Kempen ketenteraan Israel di Gaza dan Lebanon menyebabkan sentimen anti-Israel meningkat di banyak negara Islam.

Penganalisis berkata sukar bagi mana-mana kerajaan Muslim untuk memulihkan hubungan dengan Israel ketika konflik Palestin masih belum selesai.

“Pakistan bukan negara Arab dan tidak mempunyai ruang politik yang sama seperti beberapa negara Teluk,” kata Encik Michael Kugelman, penganalisis Asia Selatan dan Pengarah Pusat Asia Selatan Wilson Center yang sering mengulas hubungan Pakistan, Asia Barat dan dasar luar Amerika Syarikat.

Menurut beliau, isu Palestin mempunyai nilai emosi dan ideologi yang sangat kuat dalam masyarakat Pakistan.

Encik Trump pula dilihat cuba menggunakan Perjanjian Abraham sebagai sebahagian daripada strategi lebih besar untuk membentuk pakatan serantau baharu menentang Iran.

Namun, ramai pemerhati percaya tekanan terhadap Pakistan mungkin tidak akan menghasilkan keputusan yang diharapkan Washington.

Buat masa ini, Islamabad dilihat cuba mengambil pendekatan berhati-hati dengan terus mengekalkan hubungan baik dengan Amerika sambil mempertahankan pendirian tradisional terhadap Palestin.

Dalam keadaan Asia Barat terus bergolak dan rundingan damai Iran-Amerika masih belum pasti, Pakistan kini terpaksa berdepan tekanan geopolitik, kepentingan ekonomi dan sentimen domestik yang kian kompleks. – Agensi berita.