Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Palestin, Saudi bincang sidang puncak damai PBB, kempen iktiraf negara

Aug 12, 2025 | 11:01 AM
Mahmoud Abbas, Mohammed bin Salman
Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman (kiri), bertemu Presiden Penguasa Palestin, Encik Mahmoud Abbas, di Arab Saudi, dalam foto fail ini. - Foto REUTERS

RIYADH: Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, mengadakan perbualan telefon dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, pada 11 Ogos bagi membincangkan persiapan bagi Sidang Puncak Damai Antarabangsa di New York pada September dan kempen sejagat yang kian berkembang untuk mengiktiraf negara Palestin.

Menurut agensi berita Palestin, Wafa, Encik Abbas menyampaikan penghargaan kepada Riyadh atas sokongan berterusan terhadap hak rakyat Palestin.

Beliau turut memaklumkan perkembangan politik terkini termasuk sidang kemuncak pada 22 September yang akan menghimpunkan pemimpin dunia bagi membincangkan konflik.

Perbincangan turut memberi tumpuan pada kemajuan diplomatik terkini bagi mengiktiraf negara Palestin, dengan Perancis, United Kingdom, Canada, Australia, dan beberapa negara lain telah mengumumkan atau memberi isyarat kesediaan untuk berbuat demikian.

Putera Mahkota menegaskan kecaman kerajaan Saudi terhadap “jenayah, amalan kejam, dan cubaan pengusiran” yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.

Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa supaya menghentikan “kesan bencana” perang Israel dan melindungi orang awam.

“Arab Saudi akan terus berdiri bersama rakyat Palestin dan berusaha sedaya upaya bagi memastikan keamanan dan kestabilan dapat dipulihkan,” katanya lapor, Agensi Berita Saudi (SPA).

Encik Abbas berkata langkah itu meningkatkan prospek untuk mencapai keamanan yang adil dan menyeluruh berdasarkan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Inisiatif Damai Arab.

Beliau memuji pendirian tegas Arab Saudi dalam mengumpul sokongan antarabangsa untuk mengiktiraf Palestin berasaskan sempadan sebelum Perang Asia Barat 1967, dengan Baitulmakdis Timur sebagai ibu negara.

Kededua pemimpin bersetuju mengekalkan jalinan pertalian rapat bagi mengukuhkan perpaduan Arab dan antarabangsa terhadap rakyat Palestin.

Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, pada 11 Ogos mengumumkan hasrat negaranya untuk mengiktiraf negara Palestin semasa sesi Perhimpunan Agung PBB akan datang.

Pada akhir Julai, 15 negara Barat termasuk Perancis, Canada, Australia, New Zealand dan Portugal mengeluarkan kenyataan bersama menyeru pengiktirafan Palestin dan gencatan senjata di Gaza.

Sejak Israel melancarkan operasi ketenteraan di Gaza selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, lebih 61,500 rakyat Palestin terbunuh, kata Kementerian Kesihatan Gaza yang ditadbir Hamas – angka yang disahkan PBB sebagai boleh dipercayai.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dan mantan Menteri Pertahanannya, Encik Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Israel turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Di Neom, Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman, mengadakan pertemuan dengan Raja Abdullah II dari Jordan bagi membincangkan hubungan dua hala dan isu serantau, termasuk peningkatan berterusan di Gaza dan Tebing Barat.

Kededua pemimpin menegaskan keazaman untuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang, menyokong isu Arab dan Islam, serta berpegang pada penyelesaian dua negara sebagai asas keamanan.

Pertemuan itu disertai Putera Mahkota Al Hussein bin Abdullah II, sebagai sebahagian daripada rundingan berterusan antara kededua negara yang berkongsi pendirian selaras mengenai kebanyakan isu serantau, khususnya perang di Gaza. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg