BANDAR GAZA: Serangan berterusan tentera Israel di Jaluran Gaza telah mengorbankan sekurang-kurangnya 95 rakyat Palestin, termasuk dalam serangan ke atas pasar yang sibuk dan kawasan pengumpulan air.
Jumlah korban keseluruhan kini melepasi 58,000 orang sejak perang bermula pada 7 Oktober 2023.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, serangan peluru berpandu Israel ke atas pasar di Bandar Gaza pada 13 Julai telah membunuh sekurang-kurangnya 17 orang, termasuk seorang doktor terkemuka, Dr Ahmed Qandil.
Di kem pelarian Nuseirat pula, serangan ke atas lokasi pengumpulan air menyebabkan 10 lagi terbunuh, kebanyakannya kanak-kanak yang sedang beratur bagi mendapatkan air minuman.
Sekurang-kurangnya 17 mangsa turut cedera.
Angkatan Pertahanan Israel (IDF) mengakui bahawa serangan tersebut berpunca daripada “kesilapan teknikal”, apabila peluru berpandu tersasar beberapa puluh meter dari sasaran asal – seorang anggota Jihad Islam yang didakwa berada di kawasan itu.
IDF menyatakan bahawa siasatan sedang dijalankan dan mereka “kesal atas sebarang kemudaratan terhadap orang awam yang tidak terlibat”.
Serangan ini berlaku ketika krisis bekalan air di Gaza semakin meruncing berikutan loji nyahgaram dan sanitasi terpaksa ditutup akibat sekatan bahan api oleh Israel.
Penduduk terpaksa menempuh perjalanan bahaya ke lokasi pengumpulan air yang semakin terhad.
Kementerian Kesihatan Palestin turut mengesahkan bahawa jumlah korban kini mencecah 58,026 orang, dengan lebih separuh daripadanya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Seramai 138,500 lagi cedera sejak konflik bermula.
Krisis ini turut mengakibatkan 2.1 juta penduduk Gaza berada di ambang kebuluran.
Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) melaporkan kematian seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan, Salam, akibat kekurangan zat makanan pada 13 Julai.
Sehari sebelumnya, pihak berkuasa Gaza mengesahkan sekurang-kurangnya 67 kanak-kanak telah meninggal dunia akibat masalah yang sama sejak perang bermula.
Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) pula melaporkan lebih 5,800 kanak-kanak didiagnosis dengan kekurangan zat makanan pada Jun, termasuk lebih 1,000 dalam keadaan serius.
“Tubuh kanak-kanak ini semakin lemah. Ini bukan sekadar krisis pemakanan. Ini adalah kecemasan kelangsungan hidup kanak-kanak,” kata Unicef dalam satu kenyataan di X.
Unicef bersama tujuh agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) lain turut mengeluarkan kenyataan bersama, memberi amaran bahawa sekatan bahan api Israel akan menjejaskan operasi hospital, sistem air, sanitasi dan perkhidmatan ambulans.
“Ini bermakna tiada perkhidmatan kesihatan, tiada air bersih, dan tiada keupayaan untuk menyalurkan bantuan,” menurut kenyataan itu. Agensi-agensi berkenaan termasuk Program Makanan Sedunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Pejabat Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA).
Dalam kenyataan berasingan, Pejabat Media Pemerintah Gaza menuduh Israel dan kontraktor keselamatan di pusat agihan bantuan sengaja mensasarkan orang awam.
Mereka menyifatkan tapak kendalian Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong Amerika sebagai “perangkap maut” dan “kejuruteraan pembunuhan beramai-ramai yang disokong Amerika”.
Sejak GHF mula beroperasi Mei lalu, sekurang-kurangnya 805 orang telah terbunuh dan 5,250 cedera ketika cuba mendapatkan bantuan.
Wartawan Al Jazeera melaporkan dari Bandar Gaza bahawa ratusan telah maut ketika cuba mendapatkan bantuan.
“Orang ramai berjalan sehingga 15 kilometer dari utara ke Rafah – ada yang bermalam hanya untuk mendapatkan satu bungkusan makanan. Namun mereka disambut dengan tembakan hidup oleh tentera Israel,” katanya.
Usaha menamatkan perang diteruskan di ibu negara Qatar, Doha.
Utusan Timur Tengah Amerika, Encik Steve Witkoff, berkata beliau masih “berharap” terhadap rundingan gencatan senjata. Beliau dijangka bertemu pegawai Qatar sempena perlawanan akhir Piala Dunia Kelab Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).
Namun, cadangan Amerika untuk gencatan senjata 60 hari masih terhalang oleh perbezaan pendapat, dengan kedua-dua pihak saling menyalahkan.
Timbalan Ketua Jihad Islam Palestin, Muhammad al-Hindi, berkata Israel enggan memberikan komitmen terhadap syarat utama.
“Kami sedang berbincang mengenai kerangka perjanjian yang merangkumi tiga perkara: menghentikan pencerobohan, pengunduran dari Gaza dan agihan bantuan yang selamat,” katanya kepada Al Jazeera.
“Israel mahu terus lompat ke isu tahanan tanpa jaminan terhadap perkara pokok.”
Encik Al-Hindi juga menuduh Israel mahu mengawal bandar selatan Rafah dan memaksa orang awam berhimpun di kawasan yang sudah dibom atas alasan agihan bantuan.
“Kami tidak akan mengiktiraf perangkap bantuan ini yang membunuh rakyat kami. Penentangan tidak akan menandatangani sebarang perjanjian yang menyerupai penyerahan diri,” katanya.
Sementara itu di Israel, Peguam Negara Encik Gali Baharav-Miara mengesahkan bahawa penasihat rapat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, Encik Jonatan Urich, berdepan kemungkinan didakwa kerana membocorkan maklumat ketenteraan sulit kepada akhbar Jerman, Bild.
Encik Urich dan seorang lagi pembantu dituduh menyalurkan maklumat sulit untuk mempengaruhi pandangan awam selepas enam tebusan Israel maut di Gaza pada Ogos lalu.
Encik Netanyahu menafikan siasatan itu.
Encik Urich pula menafikan sebarang salah laku.
Artikel di Bild yang diterbitkan selepas penemuan mayat tebusan selaras dengan naratif Encik Netanyahu yang menyalahkan Hamas atas kegagalan rundingan terdahulu.
Gencatan senjata dua bulan sebelum ini menyaksikan 38 tebusan dibebaskan sebelum Israel melanggar perjanjian dan menyambung serangan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg