GAZA: Rancangan kontroversi Israel untuk memindahkan sehingga 600,000 rakyat Palestin ke kawasan yang digelar “bandar kemanusiaan” di Rafah telah mencetuskan tuduhan pembersihan etnik dan pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, mengumumkan pelan untuk membina kem besar di atas runtuhan bandar Rafah, yang pada akhirnya dijangka menempatkan kesemua 2.1 juta penduduk Gaza.
Akses ke kawasan itu akan dikawal ketat, dengan saringan keselamatan untuk memastikan tiada anggota Hamas yang memasuki kawasan tersebut.
Sebaik sahaja berada di dalam, penduduk tidak akan dibenarkan keluar, dan perimeter akan dipagari oleh tentera Israel.
“Bandar kemanusiaan ini bertujuan melindungi orang awam,” kata Encik Katz, namun kenyataan beliau mengundang kritikan hebat.
Seorang ahli sejarah Holocaust dari Universiti Ibrani di Baitulmakdis, Encik Amos Goldberg, menegaskan: “Ini adalah kem transit sebelum pelarian Palestin diusir. Ia bukan bandar, dan tidak berperikemanusiaan.”
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan kemanusiaan antarabangsa menyatakan kebimbangan serius terhadap rancangan ini.
Pelarian secara paksa dalam wilayah yang diduduki adalah dilarang di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Jika dilakukan dalam skala sebesar ini, ia boleh dianggap sebagai jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Walaupun Encik Katz mendakwa pelan itu bersifat sementara, undang-undang antarabangsa menetapkan bahawa sebarang pemindahan atas alasan keselamatan perlu diikuti dengan pemulangan segera ke kediaman asal.
“Alasan ketenteraan tidak boleh dijadikan justifikasi untuk menindas rakyat awam,” kata seorang pegawai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB.
Tambah membimbangkan, Israel berhasrat menyerahkan pengurusan bantuan dan perkhidmatan dalam kawasan itu kepada agensi kemanusiaan antarabangsa.
Namun, sejarah menunjukkan Israel sering mengingkari perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa untuk membenarkan kemasukan bantuan ke Gaza.
Badan bantuan kini berdepan dilema moral: menyertai pelan yang bercanggah dengan prinsip kemanusiaan, atau menarik diri dan meninggalkan pelarian tanpa sebarang perlindungan.
Encik Katz turut dipetik sebagai berkata Israel akan “melaksanakan pelan penghijrahan” untuk menggalakkan rakyat Gaza meninggalkan wilayah itu secara “sukarela”.
Namun dalam keadaan 90 peratus kediaman musnah, sistem kesihatan lumpuh, dan lebih 100 orang mati setiap hari ketika cuba mendapatkan makanan, ramai mempertikaikan sama ada penghijrahan itu benar-benar dilakukan atas pilihan sendiri.
Sementara itu, rundingan gencatan senjata yang diusahakan Qatar dan disokong Amerika Syarikat menunjukkan perkembangan positif.
Hamas pada 9 Julai mengumumkan persetujuan untuk membebaskan 10 tebusan sebagai sebahagian daripada rundingan gencatan selama 60 hari.
“Walaupun rundingan ini sukar kerana kedegilan pendudukan Israel, kami bersikap fleksibel dan positif demi mengakhiri penderitaan rakyat kami,” kata Hamas dalam kenyataan.
Utusan khas Amerika, Encik Steve Witkoff, mengesahkan bahawa hanya tinggal satu isu utama yang menghalang perjanjian.
“Saya yakin kita hampir mencapai persetujuan yang akan membawa pulang tebusan dan menamatkan pertempuran,” katanya.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, yang baru bertemu Presiden Trump di Washington, turut menyatakan harapan serupa.
“Saya rasa kita semakin hampir dengan satu perjanjian,” katanya kepada FOX Business Network.
Namun begitu, Hamas tetap bertegas bahawa gencatan senjata mesti disertai pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza dan jaminan untuk keamanan jangka panjang.
“Gaza tidak akan tunduk,” tegas kumpulan itu.
Sementara itu, serangan udara Israel yang berterusan telah menyebabkan sekurang-kurangnya 74 rakyat Palestin terbunuh, termasuk lapan mangsa yang maut ketika menunggu bantuan kemanusiaan daripada Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF).
Hospital utama di Gaza, termasuk Hospital Nasser, kini berada di ambang kejatuhan akibat kekurangan bahan api.
Doktor dilaporkan bekerja dalam keadaan panas melampau tanpa pendingin udara, sambil berjuang menyelamatkan nyawa pesakit dalam “perlumbaan melawan masa, kematian dan kegelapan”.
Pada 9 Julai, 26 orang terbunuh dalam serangan udara Israel termasuk enam kanak-kanak.
“Letupan itu seperti gempa bumi. Mayat bergelimpangan. Ia benar-benar satu pembunuhan beramai-ramai,” kata saksi, Encik Zuhair Judeh, 40 tahun.
Tentera Israel mengesahkan mereka menyasarkan “beberapa pengganas Hamas” di kem Al-Shati.
Namun disebabkan sekatan media dan akses terhad ke Gaza, jumlah korban tidak dapat disahkan secara bebas. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg