Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PBB: 875 terbunuh di lokasi agihan bantuan Gaza dalam 6 minggu

Jul 15, 2025 | 7:26 PM
Penduduk Palestin menunggu untuk menerima makanan daripada dapur amal ketika krisis kebuluran berterusan di Bandar Gaza, 14 Julai 2025.
Penduduk Palestin menunggu untuk menerima makanan daripada dapur amal ketika krisis kebuluran berterusan di Bandar Gaza, 14 Julai 2025. - Foto REUTERS

GENEVA: Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 15 Julai melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 875 orang telah terbunuh dalam tempoh enam minggu lalu di kawasan agihan bantuan di Gaza yang dikendalikan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong Amerika Syarikat dan Israel, serta konvoi bantuan lain termasuk yang dikendalikan PBB.

Kebanyakan mangsa terbunuh berhampiran tapak agihan GHF, manakala 201 lagi maut di laluan konvoi bantuan lain.

GHF menggunakan syarikat keselamatan dan logistik swasta dari Amerika Syarikat untuk menyalurkan bantuan ke Gaza, dengan sebahagian besarnya mengelak sistem agihan yang diketuai PBB. Israel mendakwa sistem PBB sebelum ini telah membolehkan militan diketuai Hamas merampas bantuan yang sepatutnya untuk orang awam. Hamas menafikan dakwaan itu.

GHF, yang mula mengagihkan bantuan makanan di Gaza pada akhir Mei selepas Israel menarik balik sekatan bantuan selama 11 minggu, sebelum ini memberitahu Reuters bahawa insiden seperti itu tidak pernah berlaku di tapak mereka dan menuduh PBB menyebarkan maklumat yang tidak benar, dakwaan yang dinafikan PBB.

GHF belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan komen berhubung angka terbaharu yang diumumkan PBB.

“Data yang kami kumpulkan adalah berdasarkan sumber kami sendiri yang boleh dipercayai, termasuk organisasi perubatan, hak asasi manusia dan kemanusiaan,” kata jurucakap Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Thameen Al-Kheetan kepada wartawan di Geneva.

PBB sebelum ini menyifatkan model bantuan yang digunakan GHF sebagai “secara asasnya tidak selamat” dan melanggar piawaian ketidakberpihakan dalam bantuan kemanusiaan.
GHF pada 11 Julai lalu menyatakan bahawa mereka telah menghantar lebih 70 juta hidangan kepada penduduk Palestin di Gaza dalam tempoh lima minggu, dan mendakwa hampir semua bantuan yang dihantar oleh kumpulan kemanusiaan lain telah “dirampas” oleh Hamas atau kumpulan jenayah.

Tentera Israel sebelum ini memberitahu Reuters bahawa mereka sedang menyemak insiden korban besar-besaran terkini dan telah berusaha mengurangkan ketegangan antara rakyat Palestin dan Pasukan Pertahanan Israel dengan memasang pagar, papan tanda dan membuka laluan tambahan.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB sebelum ini telah melaporkan kejadian rompakan ganas terhadap bantuan, manakala Program Makanan Sedunia PBB minggu lalu menyatakan bahawa kebanyakan trak yang membawa bantuan makanan ke Gaza telah diserbu oleh “komuniti awam yang kelaparan”. – REUTERS

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg