Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PBB agih makanan sedang Israel tangguh operasi tentera di Gaza

Jul 28, 2025 | 2:44 PM
bantuan makanan, Gaza,  Beit Lahia
Warga Palestin mengangkat bantuan makanan yang diagihkan selepas ia disalurkan menerusi Israel di Beit Lahia, di utara Gaza pada 27 Julai. - Foto REUTERS

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata ia akan cuba mencapai seramai mungkin penduduk Gaza yang kelaparan selepas Israel mengumumkan akan membuka laluan darat selamat untuk konvoi kemanusiaan.

Program Makanan Sedunia (WFP) PBB berkata ia mempunyai makanan yang mencukupi termasuk yang kini dalam perjalanan ke wilayah Palestin itu untuk menampung keperluan makanan sekitar 2.1 juta penduduk bagi tempoh selama hampir tiga bulan.

Penyelaras bantuan kecemasan PBB, Encik Tom Fletcher, berkata pihaknya akan cuba mengaihkan makanan kepada “sebanyak mungkin orang yang kelaparan” dalam tempoh tersebut.

Israel pada 27 Julai memulakan “penangguhan taktikal” dalam operasi ketenteraan untuk membolehkan PBB dan agensi bantuan menangani krisis kelaparan yang semakin meruncing di Gaza.

“Kami mengalu-alukan keputusan Israel untuk menyokong peningkatan bantuan selama seminggu, termasuk menghapuskan sekatan kastam terhadap makanan, ubat-ubatan dan bahan api dari Mesir dan penetapan laluan selamat untuk konvoi bantuan kemanusiaan PBB,” kata Encik Fletcher dalam satu kenyataan.

Menurutnya, beberapa sekatan pergerakan nampaknya telah dilonggarkan pada 27 Julai, memetik laporan awal menunjukkan bahawa lebih 100 trak muatan bantuan telah bergerak masuk ke Gaza.

“Tetapi kami memerlukan tindakan yang berterusan dan pantas, termasuk pelepasan yang lebih cepat untuk konvoi yang melintas persimpangan dan penghantaran ke Gaza.

“Ini bagi membolehkan rakan kongsi kami mengambil kargo di laluan selamat dan tiada lagi serangan terhadap orang yang berhimpun bagi mendapatkan makanan,” katanya.

Ketua bantuan PBB itu selanjutnya berkata bahawa dunia menyeru agar bantuan kemanusiaan segera disalurkan bagi menyelamatkan nyawa rakyat Palestin.

“Sejumlah besar bantuan diperlukan untuk mengelakkan kebuluran dan krisis kesihatan yang melanda.

“Akhirnya sudah tentu kita tidak hanya memerlukan penangguhan operasi tentera tetapi gencatan senjata kekal,” tambahnya.

WFP berkata gencatan senjata sepatutnya membenarkan makanan kecemasan dihantar dengan selamat.

“Bantuan makanan adalah satu-satunya cara sebenar bagi mengatasi masalah kebuluran di Gaza,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut WFP, sepertiga daripada penduduk tidak makan selama beberapa hari, dan 470,000 orang di Gaza “mengalami keadaan seperti kebuluran” yang mengundang kematian.

WFP berkata lebih 62,000 tan bantuan makanan diperlukan setiap bulan untuk menampung keseluruhan penduduk Gaza.

Agensi itu menyatakan bahawa Israel telah juga berjanji membenarkan lebih banyak trak memasuki Gaza dengan pelepasan yang lebih cepat dan “jaminan tiada pasukan bersenjata atau tembakan berhampiran konvoi”. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg