Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PBB agih pek makanan kepada sejuta penduduk Gaza

Ribuan keluarga masih berdepan keadaan amat getir menjelang musim sejuk, risiko banjir di Gaza
Nov 5, 2025 | 10:34 AM
Seorang penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal membaiki khemahnya ketika gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza City, 4 November 2025.
Seorang penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal membaiki khemahnya ketika gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza City, 4 November 2025. - Foto REUTERS

GAZA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan bahawa sebanyak satu juta penduduk Gaza telah menerima pek makanan sejak gencatan senjata diumumkan bulan Oktober lalu dan turut menggesa semua pintu masuk ke Semenanjung Gaza dibuka bagi membolehkan bantuan makanan disalurkan secara besar-besaran ke wilayah Palestin yang dilanda kebuluran.

Jurucakap Program Makanan Dunia (WFP) bagi Timur Tengah, Cik Abeer Etefa, berkata usaha itu sebahagian daripada operasi besar-besaran untuk membendung kebuluran yang semakin memburuk di wilayah tersebut.

“Tiga setengah minggu selepas gencatan senjata di Gaza, kami telah mengagihkan pek makanan kepada sekitar satu juta orang di seluruh Jaluran Gaza,” katanya kepada wartawan di Geneva melalui sidang video dari Kaherah.

Cik Etefa menjelaskan bahawa setiap pek makanan mengandungi bekalan yang mencukupi untuk satu keluarga selama 10 hari, namun untuk mencapai sasaran keseluruhan 1.6 juta orang, lebih banyak akses dan laluan sempadan perlu dibuka segera.

“Kami benar-benar memerlukan lebih banyak akses, lebih banyak pintu sempadan dibuka dan jalan utama di dalam Gaza dapat digunakan. Tanpa itu, operasi kami tidak dapat berkembang pada tahap yang diperlukan,” tambahnya.

Gencatan senjata yang ditaja oleh Amerika Syarikat antara Israel dan Hamas berkuat kuasa pada 10 Oktober. Namun, meskipun situasi dilihat lebih tenang, aliran bantuan kemanusiaan masih terbatas di pintu-pintu sempadan akibat sekatan yang ketat.

Menurut Cik Etefa, hanya dua lintasan utama, iaitu Kerem Shalom dan Kissufim, kini dibuka kepada lori bantuan. Ketiadaan akses di utara menyebabkan penghantaran ke kawasan yang paling teruk terjejas menjadi amat sukar.

“Kami masih belum diberi penjelasan mengapa lintasan di utara masih ditutup,” katanya. “Kami berada dalam perlumbaan dengan masa untuk menyelamatkan nyawa.”

Setakat ini, WFP telah membuka 44 daripada 145 pusat pengagihan makanan yang dirancang, manakala 700,000 orang menerima roti segar setiap hari hasil operasi 17 kilang roti yang disokong WFP - sembilan di selatan dan tengah Gaza, serta lapan di utara. Agensi itu menyasarkan 25 kedai roti beroperasi sepenuhnya.

Pihak berkuasa Gaza berkata antara 10 Oktiber hingga 31 Oktober, hanya 3,203 lori bantuan dan komersial dibenarkan masuk - purata 145 lori sehari, iaitu hanya 24 peratus daripada 600 lori yang sepatutnya dibenarkan di bawah perjanjian gencatan senjata.

Walaupun penghantaran bantuan dan lori komersial kini lebih kerap masuk ke Gaza, tahap pemakanan penduduk masih jauh di bawah paras normal sebelum perang. Ramai keluarga hanya makan bijirin dan kekacang, manakala daging, telur, sayur-sayuran dan buah-buahan hampir tidak wujud di pasaran.

“Kebanyakan isi rumah hanya mampu makan makanan kering. Daging dan sayur-sayuran hampir mustahil untuk diperoleh,” kata Cik Etefa.

Jurucakap WFP di Gaza, Cik Nour Hammad, berkata harga makanan komersial juga kekal tidak masuk akal bagi kebanyakan keluarga. “Sebiji epal kini berharga seperti sekilogram epal sebelum perang,” katanya.

Walaupun operasi pengagihan diteruskan, bantuan makanan yang masuk ke Gaza hanya separuh daripada jumlah sebenar yang diperlukan untuk menampung 2.3 juta penduduk di wilayah itu. “Keperluan terlalu besar. Kami dalam perlumbaan untuk menyelamatkan nyawa,” tegas Cik Etefa.

Agensi-agensi bantuan lain memberi amaran bahawa keadaan bakal menjadi lebih kritikal dengan musim sejuk semakin hampir. Ramai keluarga kini masih tinggal dalam khemah sementara atau tinggal di runtuhan rumah mereka sendiri.

Agensi Berita Palestin (WAFA) melaporkan pusat operasi pemerintah untuk intervensi kecemasan di Gaza merayu PBB dan organisasi antarabangsa serta kemanusiaan supaya mengambil tindakan segera menjelang ketibaan musim sejuk.

Pusat operasi itu memberi amaran situasi kemanusiaan kini berada pada tahap bahaya, terutama di kawasan yang paling terdedah kepada risiko banjir, takungan air hujan serta limpahan air laut, berikutan kemusnahan besar infrastruktur akibat pencerobohan dan serangan berterusan oleh Israel sejak dua tahun lalu.

Antara lokasi paling berisiko mengalami banjir serta runtuhan ialah kawasan Al-Jazira di sepanjang Jalan Salah al-Din dari persimpangan Maghazi hingga ke Bureij, Sahn al-Barka, dan lembangan Wadi al-Salqa di wilayah tengah.

Mereka yang kehilangan tempat tinggal juga dilaporkan terpaksa berkumpul di sepanjang Jalan Al-Rashid di pesisir pantai yang menjangkau 26 kilometer dari utara ke selatan Jaluran Gaza, serta di kem pelarian di timur Deir al-Balah dan Jalan Al-Nafaq di Bandar Gaza.

Seorang penduduk Gaza City, Encik Khalid al-Dahdouh, bapa kepada lima anak, kembali ke rumahnya yang musnah selepas serangan udara dan terpaksa membina semula tempat berteduh menggunakan bahan dari runtuhan.

“Kami cuba membina semula kerana musim sejuk akan tiba,” katanya. “Kami tidak mempunyai khemah, jadi kami bina struktur primitif daripada lumpur. Ia melindungi kami daripada kesejukan dan hujan, lebih baik daripada khemah yang bocor.”

Pertubuhan bantuan kemanusiaan melaporkan bahawa kekurangan khemah dan bahan api terus menjejaskan kehidupan penduduk. Ramai terpaksa memasak dengan membakar sisa buangan, menambahkan risiko penyakit. Khemah lama kini semakin lusuh dan mungkin tidak tahan menghadapi cuaca sejuk serta hujan yang bakal melanda.

Keadaannya sangat buruk. Tiada khemah yang sempurna, tiada air bersih, tiada makanan yang mencukupi,” kata Encik Manal Salem, 52 tahun, yang tinggal di khemah di Khan Younis. “Saya takut khemah ini tidak akan bertahan bila hujan tiba.”

Agensi bantuan memberi amaran bahawa tanpa tindakan segera, Gaza bakal berdepan musim sejuk paling sukar dalam sejarah moden wilayah itu. Pegawai tempatan Encik Amjad al-Shawa berkata hanya 25 hingga 30 peratus bantuan yang dijangka tiba telah benar-benar sampai ke Gaza. “Keadaan hidup di sini tidak dapat digambarkan,” katanya.

Menurut anggaran terkini, kira-kira 1.5 juta penduduk Gaza masih memerlukan tempat perlindungan kukuh, namun bantuan khemah dan peralatan pembinaan masih menunggu kelulusan Israel untuk dibawa masuk.

Meskipun pengagihan makanan kepada sejuta penduduk dianggap pencapaian besar selepas dua tahun serangan berterusan, keperluan di Gaza masih jauh daripada mencukupi. Tanpa pembukaan lintasan baharu dan peningkatan jumlah lori bantuan, ribuan keluarga akan terus berjuang untuk bertahan dalam kesejukan dan kelaparan.

“Kita memerlukan akses penuh. Kita perlukan semua bergerak pantas. Bulan-bulan musim sejuk semakin hampir,” ujar Cik Etefa. “Orang ramai masih lapar, dan keperluan mereka terlalu besar.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg