BANDAR GAZA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) dan kumpulan kebebasan media antarabangsa pada 11 Ogos mengecam keras serangan udara Israel yang membunuh sepasukan wartawan Al Jazeera di Gaza.
Kejadian itu mencetuskan kemarahan sejagat serta memburukkan lagi ketegangan diplomatik antara Israel dengan Qatar, penyandang utama dana stesen televisyen tersebut dan pengantara penting dalam rundingan menamatkan perang di Gaza.
Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman al-Thani, menyifatkan serangan itu sebagai “sasaran yang disengajakan terhadap wartawan” dan menyifatkannya sebagai “jenayah yang melampaui batas imaginasi”.
Beliau turut mengkritik kegagalan masyarakat antarabangsa “menghentikan tragedi ini”.
Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, “amat bimbang” mengenai kejadian berulang yang menyasarkan wartawan di Gaza, kata jurucakapnya seperti dilaporkan agensi berita, Reuters, susulan kejadian yang meragut nyawa ramai pihak media.
Puluhan rakyat Gaza berkumpul di pekarangan Hospital Al-Shifa untuk memberi penghormatan kepada Allahyarham Anas Al-Sharif, koresponden terkenal Al Jazeera berusia 28 tahun; dan empat rakan sekerjanya yang terbunuh pada 10 Ogos.
Pengarah hospital, Dr Mohammed Abu Salmiya, memaklumkan bahawa seorang lagi wartawan bebas, Allahyarham Mohammed Al-Khaldi, turut terkorban dalam serangan tersebut.
Jenazah para wartawan itu dibalut kain kafan putih dan diusung oleh rakan media serta penduduk, termasuk yang memakai jaket kalis peluru bertanda ‘Press’, melalui lorong sempit menuju ke tanah perkuburan.
Pihak tentera Israel mendakwa Allahyarham Sharif pernah menyertai Hamas pada 2013 dan mengeluarkan dokumen yang kononnya menunjukkan butiran pendaftaran, laporan kecederaan 2017 serta unit dan pangkat ketenteraannya.
Beberapa wartawan tempatan yang mengenali beliau mengesahkan Allahyarham Sharif pernah bekerja di pejabat komunikasi Hamas pada awal kerjayanya, namun hanya untuk meliputi acara awam anjuran kumpulan itu.
Allahyarham Sharif dikenali sebagai antara wajah paling menonjol Al Jazeera di Gaza, melaporkan perkembangan perang yang telah berlarutan selama 22 bulan.
Pejabat Hak Asasi Manusia PBB menyifatkan serangan itu sebagai, “pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa”.
Ketua Dasar Luar EU, Cik Kaja Kallas, berkata: “EU mengutuk pembunuhan lima wartawan Al Jazeera.”
Pertubuhan media antarabangsa termasuk Jawatankuasa Perlindungan Wartawan (CPJ) menuduh Israel mempunyai “pola” melabel wartawan sebagai militan tanpa bukti kukuh.
Ketua Eksekutif CPJ, Cik Jodie Ginsberg, menegaskan, “Undang-undang antarabangsa jelas hanya askar tempur aktif yang boleh menjadi sasaran.
“Jika Israel tidak dapat membuktikan Sharif masih seorang kombatan aktif, maka tiada pewajaran untuk membunuhnya.”
Dalam kenyataannya, Al Jazeera menyifatkan serangan itu sebagai “usaha terdesak untuk membungkam suara yang mendedahkan pendudukan Israel” dan mendakwa ia berlaku selepas “serangan berulang dan gesaan terbuka” pegawai Israel untuk menyasarkan Allahyarham Sharif dan rakan-rakannya.
Qatar, negara Teluk kaya sumber tenaga dan pemilik Al Jazeera, menjadi pengantara utama antara Hamas dengan negara seperti Israel dan Amerika Syarikat.
Walaupun Israel sering mengkritik Qatar, kededua pihak secara senyap-senyap bekerjasama dalam pelbagai isu, termasuk bantuan kemanusiaan dan rundingan gencatan senjata.
Namun, pembunuhan wartawan Al Jazeera itu telah menambah ketegangan hubungan.
Penganalisis keselamatan Israel, Encik Yoel Guzansky, berkata:
“Israel mengkritik Qatar, tetapi pada masa yang sama, bekerjasama rapat dalam banyak perkara. Perlu melihat apa yang Israel sendiri lakukan sebelum menuding jari.”
Qatar telah lama menjadi sasaran kecaman ahli politik kanan Israel yang menuduhnya menyokong Hamas.
Malah, sebelum ini Encik Yair Netanyahu anak Perdana Menteri Benjamin Netanyahu – menuduh Qatar menyumbang kepada peningkatan anti-Semitic – anti-Yahudi – di peringkat sejagat.
Sejak bermulanya perang pada Oktober 2023, Israel menghalang wartawan antarabangsa memasuki Gaza kecuali melalui lawatan kawalan ketat bersama tentera.
Wartawan Tanpa Sempadan atau Reporters Without Borders melaporkan hampir 200 wartawan telah terbunuh sepanjang konflik.
Pertubuhan bukan meraih untung dan bukan pemerintah yang beribu pejabat di Paris itu memberi tumpuan kepada menjaga hak kebebasan maklumat.
Israel juga pernah menutup operasi Al Jazeera di Tebing Barat pada 2024.
Namun, rangkaian itu mengekalkan kehadiran besar di Gaza, menyiarkan laporan harian tentang penderitaan rakyat Palestin akibat pengeboman dan sekatan bantuan yang menyebabkan kebuluran meluas.
Serangan terhadap pasukan berita itu berlaku beberapa hari selepas Kabinet keselamatan Israel meluluskan rancangan menghantar tentera ke kawasan Bandar Gaza dan Al-Mawasi, zon selamat yang dipenuhi pelarian.
Rancangan itu dikritik oleh masyarakat antarabangsa, termasuk Jerman yang menghentikan penghantaran senjata ke Israel, dan Australia yang mengumumkan pengiktirafan negara Palestin.
PBB memberi amaran bahawa serangan terkini itu “berkemungkinan mencetuskan satu lagi malapetaka di Gaza”.
Menurut Kementerian Kesihatan di Gaza yang ditadbir Hamas, sekurang-kurangnya 61,499 rakyat Palestin terbunuh sejak permulaan perang – angka yang disahkan PBB sebagai boleh dipercayai.
Perang tercetus selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mengorbankan 1,219 orang di Israel. – Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg