Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PBB: Perintah pemindahan Israel di Gaza Tengah jejas bantuan kemanusiaan

93 lagi terbunuh ketika dapatkan bantuan makanan
Jul 21, 2025 | 11:36 AM
Penduduk Palestin membawa kampit tepung di sepanjang Jalan Rashid di barat Jabalia, utara Jaluran Gaza, pada 20 Julai 2025. Menurut Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza, sekurang-kurangnya 90 orang terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan kemanusiaan di kawasan Zikim, utara Gaza.
Penduduk Palestin membawa kampit tepung di sepanjang Jalan Rashid di barat Jabalia, utara Jaluran Gaza, pada 20 Julai 2025. Menurut Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza, sekurang-kurangnya 90 orang terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan kemanusiaan di kawasan Zikim, utara Gaza. - Foto EPA

GAZA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan arahan terbaru tentera Israel untuk memindahkan penduduk di kawasan Deir el-Balah, Gaza tengah, sebagai satu lagi tamparan hebat kepada usaha kemanusiaan yang semakin rapuh di wilayah yang dilanda perang.

“Perintah pemindahan besar-besaran hari ini (20 Julai) telah memberikan satu lagi tamparan hebat kepada talian hayat yang sudah pun rapuh dan menjadi satu-satunya harapan hidup berjuta-juta penduduk di Gaza,” kata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) dalam satu kenyataan.

Arahan itu dikeluarkan pada 19 Julai oleh tentera Israel yang mengarahkan penduduk di kawasan tengah Gaza berpindah segera ke arah selatan, atas alasan operasi ketenteraan yang bakal dilancarkan.

Ribuan keluarga dilihat meninggalkan kawasan terbabit hanya dengan membawa barangan asas. Menurut OCHA, dianggarkan antara 50,000 hingga 80,000 orang berada di kawasan itu semasa arahan dikeluarkan.

“Kami tetap berada di lapangan dan telah memaklumkan koordinat pasukan kami kepada pihak-pihak berkaitan,” kata OCHA. “Semua lokasi ini – seperti mana-mana lokasi awam – mesti dilindungi tanpa mengira arahan pemindahan,” tambahnya.

OCHA turut memberi amaran bahawa sebarang kerosakan terhadap klinik kesihatan, sistem air dan gudang bantuan di kawasan terjejas akan mengundang kesan yang mengancam nyawa.

Arahan terkini bermakna hampir 88 peratus kawasan Gaza kini berada di bawah perintah pemindahan atau zon ketenteraan Israel, menyebabkan lebih dua juta penduduk Gaza terpaksa berhimpit dalam hanya 12 peratus wilayah yang masih berbaki.

“Situasi ini bukan sahaja menghimpit rakyat awam ke kawasan yang padat dan tidak selamat, malah menyekat pergerakan kami dan rakan-rakan kemanusiaan lain ketika akses sangat diperlukan,” jelas OCHA.

Kementerian Kesihatan di wilayah yang diperintah Hamas melaporkan jumlah korban perang kini mencecah 58,895 orang, kebanyakannya penduduk awam. PBB menyatakan bahawa angka itu boleh dipercayai.

Seramai 93 orang dilaporkan terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan makanan. Agensi Pertahanan Awam Gaza memaklumkan bahawa tentera Israel melepaskan tembakan ke arah orang awam yang berkumpul bagi mendapatkan bantuan.

Menurut jurucakap agensi itu, Encik Mahmud Basal, seramai 80 orang terbunuh ketika trak bantuan tiba di utara Gaza, manakala sembilan lagi maut berhampiran pusat bantuan di Rafah dan empat di Khan Yunis.

“Konvoi bantuan membawa 25 trak berdepan lautan manusia yang kelaparan sebelum kawasan itu dihujani tembakan,” kata Program Makanan Sedunia (WFP) PBB dalam kenyataan.

Insiden korban ketika mengambil bantuan bukanlah perkara baru. Sejak akhir Mei, hampir 800 orang dilaporkan terbunuh dalam situasi serupa menurut rekod PBB.

Encik Qasem Abu Khater, 36, menceritakan pengalaman ngerinya kepada AFP.

“Saya hanya ingin mendapatkan sekampit tepung, tapi ribuan orang berebut dan keadaan jadi sangat huru-hara. Kereta kebal tembak secara rawak, penembak tepat menembak seperti memburu haiwan di hutan,” katanya. “Berpuluh-puluh orang mati di depan mata saya. Tiada siapa dapat membantu,” tambahnya lagi.

WFP mengecam sekeras-kerasnya tindakan keganasan terhadap penduduk awam yang sedang menerima bantuan, menyifatkannya sebagai “tidak boleh diterima sama sekali”.

Situasi semakin tegang apabila Israel turut menarik balik permit kediaman Ketua Pejabat OCHA di Israel, Encik Jonathan Whittall, yang terkenal kerana kritikannya terhadap krisis kemanusiaan di Gaza.

Menteri Luar Israel, Encik Gideon Saar, dalam satu kenyataan di platform X, menuduh Encik Whittall menyebarkan “pembohongan tentang perang Gaza”.

Dengan hampir keseluruhan wilayah Gaza kini terjejas akibat pertempuran, agensi bantuan memberi amaran bahawa usaha menyelamat, penghantaran bekalan dan pemulihan semakin mustahil dilakukan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg